Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco nafi tapak surau di PJ diberi pada kuil
Diterbitkan:  Jan 27, 2026 2:56 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Kerajaan Selangor menafikan dakwaan bahawa tapak gantian bagi sebuah kuil di PJS4, Petaling Jaya yang dikatakan menceroboh tanah perkuburan Islam merupakan kawasan yang asalnya dizonkan untuk pembinaan surau. 

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Mohammad Fahmi Ngah berkata, semakan dengan Pejabat Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan kawasan itu dizonkan sebagai tapak rumah ibadat bukan islam (Ribi). 

Justeru, dia menyifatkan dakwaan di media sosial berkaitan “tapak ganti” untuk Kuil Sri Maha Mariamman itu pernah dicadangkan sebagai kawasan surau, sebagai tohmahan melulu.

“Persepsi yang mungkin mahu dizahirkan di sini adalah bahawa ada tapak surau yang telah diambil oleh pemaju untuk dijadikan tapak kuil India. “Daripada komen-komen di posting itu, ternyata ramai netizen telah menzahirkan rungutan dan kebimbangan akibat persepsi yang tidak benar ini,” kata Fahmi.

Isu ini mula mendapat perhatian selepas tular dakwaan di media sosial yang mendakwa berlaku pencerobohan tanah perkuburan Islam oleh dua buah kuil dan sebuah gurdwara di kawasan PJS4.

Dakwaan itu antaranya disebarkan oleh seorang aktivis yang antikuil haram yang banyak

berkempen supaya orang ramai membuat laporan polis terhadap pembinaan rumah ibadat tanpa lesen.

Rancangan perobohan Jun 2026

Dalam kenyataan petang ini, Fahmi menjelaskan bahawa pihak kuil masih perlu mengemukakan permohonan kepada MBPJ dan pejabat tanah sekiranya berhasrat untuk menduduki tapak tersebut secara sah. 

Dia turut memaklumkan kerajaan negeri mempunyai garis masa khusus untuk merobohkan binaan tidak sah di tanah perkuburan Islam berkenaan bagi membolehkan kerja-kerja oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dimulakan seawal Jun 2026. 

"Saya minta kesemua pihak yang terlibat dalam isu ini, baik yang Islam atau bukan Islam agar bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan sentimen perkauman yang negatif," tambahnya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS