Ketua bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin berhasrat mendedahkan dakwaan dua kes salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sebuah pusat zakat di peringkat negeri serta agensi perkhidmatan awam.
Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, pihaknya akan menyerahkan maklumat dan data baru berkaitan dua kes itu kepada Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, esok.
Menurutnya, pendedahan itu membabitkan pemilikan harta ketua sebuah agensi perkhidmatan awam yang disifatkan sebagai 'sangat menjolok mata', sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai sumber kekayaan berkenaan.
Dia juga akan mendedahkan sebuah pusat zakat peringkat negeri yang didakwa terbabit penyelewengan dan penyalahgunaan kedudukan, termasuk penggunaan wang zakat bagi pembelian tanah yang didakwa memberi manfaat kepada kroni serta kenalan tertentu.
"Wang zakat sepatutnya digunakan untuk membantu asnaf, namun apa yang didakwa berlaku amat mengecewakan," katanya dipetik Berita Harian.

Aktivis politik itu juga menegaskan pendedahannya bukan bertujuan menyerang institusi Islam atau mana-mana badan tertentu, sebaliknya untuk membersihkan institusi daripada salah laku.
"Sama seperti apabila ada pihak menuduh kita menyerang angkatan tentera, hakikatnya kita mahu membela anggota bawahan, khususnya yang berpangkat lain-lain pangkat (LLP)," jelasnya.
Pada Dis tahun lalu, Badrul mendakwa bahawa hasil semakan dokumen forensik yang diterimanya secara tanpa nama menunjukkan terdapat kemasukan bulanan berjumlah puluhan ribu ringgit ke akaun seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.
Pendedahan itu menyebabkan pelantikan Panglima Tentera Darat, Hafizuddeain Jantan sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baru ditangguhkan, walaupun pelantikan itu telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Angkatan Tentera dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 23 Jan tahun ini, Hafizuddeain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap dua pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM145,000.
Sehari sebelumnya, dia juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM2.12 juta.
Bekas ketua angkatan tentera, Nizam Jaffar, turut didakwa dengan empat pertuduhan menyalahgunakan jawatan dan menerima RM752,481.90, serta pecah amanah jenayah melibatkan RM3 juta.
Semalam, Hafizuddeain membuat dua laporan polis terhadap Badrul berhubung dokumen bank yang didedahkan dan penyebaran kenyataan yang didakwa fitnah.
Peguam Hafizuddeain, Aizul Rohan Anuar, turut berkata anak guamnya sedang mempertimbangkan tindakan sivil terhadap institusi perbankan terbabit dan Badrul atas dakwaan fitnah.
Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini mengambil alih siasatan terhadap laporan Hafizuddeain.
