PARLIMEN l Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin mahu Kementerian Pendidikan (KPM) supaya meneliti secara menyeluruh kapasiti bilik darjah, guru dan fasiliti sekolah sebelum melaksanakan kemasukan murid tahun satu pada usia enam tahun mulai tahun depan.
Ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini, ahli Parlimen Bersatu yang juga bekas menteri pendidikan itu berkata, gesaan tersebut menyusul selepas keputusan terbaru kerajaan untuk membatalkan ujian diagnostik awal yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada proses saringan kemasukan.
"Berdasarkan data kelahiran 2021, dianggarkan sekitar 440,000 kanak-kanak akan mencapai usia enam tahun pada 2027. Jika purata saiz kelas adalah 35 murid, lebih 12,500 bilik darjah diperlukan.

"Sudah tentu ini sangat mencabar bagi KPM untuk menyiapkan semua bilik darjah ini dalam tempoh 11 bulan akan datang. Ini belum termasuk keperluan menyediakan guru dan kemudahan lain,” katanya.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia bersetuju membatalkan cadangan ujian saringan diagnostik tersebut setelah mempertimbangkan pelbagai pandangan, termasuk kebimbangan mengenai kesan psikologi terhadap kanak-kanak.
Menyentuh isu kepadatan sekolah, Anwar, yang juga pernah berkhidmat sebagai menteri pendidikan dari 1987 hingga 1990, mengakui kesesakan kekal menjadi cabaran terutamanya di kawasan bandar.
Namun, katanya sistem sekolah dua sesi boleh dipertimbangkan untuk murid prasekolah dan Tahun Satu.

Selaku menteri kewangan, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM800 juta dalam belanjawan tahun ini bagi memenuhi keperluan mendesak, termasuk pengambilan 18,000 guru baharu.
Sementara itu, Radzi mencadangkan proses kemasukan secara berfasa berdasarkan tarikh lahir bagi menggantikan ujian saringan diagnostik yang tidak akan dilaksanakan, sekali gus menguruskan kesesakan bilik darjah.
"Katakan pada 2027 kementerian mempunyai kapasiti untuk mengambil tambahan 100,000 pelajar berusia enam tahun. Maka kementerian boleh menentukan siapakah 100,000 pelajar ini.
"Dalam konteks ini, mungkin kanak-kanak enam tahun yang lahir antara Januari hingga April boleh dibenarkan mendaftar terlebih dahulu. Ini akan mengelakkan persoalan mengapa sesetengah pelajar dibenarkan masuk manakala yang lain tidak," katanya.
Radzi berkata, dengan peningkatan kapasiti pada tahun-tahun berikutnya, pengambilan murid berusia enam tahun boleh diperluaskan merangkumi julat bulan kelahiran yang lebih besar.

Mengenai pelaksanaan sekolah dua sesi, Radzi berkata terdapat 655 sekolah rendah di seluruh negara yang sekarang ini beroperasi dalam sesi pagi dan petang.
"Jadi saya meminta KPM menjelaskan, berdasarkan unjuran, berapa banyak sekolah satu sesi akan menjadi sekolah dua sesi jika pengambilan murid Tahun Satu berusia enam tahun dilaksanakan?
“Saya juga meminta kementerian menyenaraikan sekolah-sekolah ini," katanya.
Dia turut mempersoalkan sama ada sekolah rendah dua sesi sedia ada mempunyai kapasiti untuk menerima kemasukan tambahan murid enam tahun ke Tahun Satu.
Kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun tidak diwajibkan, namun ibu bapa digalakkan untuk mempertimbangkan pendaftaran anak-anak mereka, selaras dengan dasar baharu yang mewajibkan kemasukan prasekolah pada usia lima tahun.
Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden, Shakira Buang
