Bekas anggota Jawatankuasa PAS Pusat mempertikaikan fasal 15A perlembagaan parti itu terkait pemberhentian keahlian seseorang yang diluluskan muktamar beberapa tahun lalu.
Menurut Mohd Zuhdi Marsuki, pindaan terhadap fasal tersebut dibuat secara "serang hendap" semasa ia dibentangkan di Temerloh, Pahang pada Sept 2024.
Membangkitkan perkara tersebut semasa mengulas keabsahan seorang mursyidul am sebagai pemimpin tertinggi parti, Mohd Zuhdi berkata, sesuatu pindaan perlembagaan biasanya dibawa ke majlis syura ulama terlebih dulu bagi memastikan ia selaras dengan dasar parti.
Badan itu pula, jelasnya, akan mengadakan muzaarah bagi meneliti cadangan yang dibawa secara mendalam dan ia melambangkan ketelitian anggotanya.
"Adapun pindaan Perlembagaan PAS yang dibawa ke dalam Muktamar PAS kali ke-70 di Temerloh, Pahang, dilakukan secara culas dan curang.
"Draf pindaan itu tidak dibawa ke dalam perbincangan Majlis Syura Ulama secara mendalam. Draf itu hanya dibentangkan dalam mesyuarat bersama Majlis Syura Ulama secara atas talian.
"Dengan sebab itu, diyakini ia bukanlah seperti kelaziman yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama sebagaimana sebelum-sebelum ini," tulisnya semalam.
Mohd Zuhdi yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS akhir-akhir ini semakin lantang menyatakan rasa tidak selesanya dengan perjalanan parti, terutama terkait dengan kemelut di Perlis.
Turut ditegurnya ialah perancangan PAS mahu mengetuai PN bagi menggantikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, selaku pengerusi.
Dakwa ada kelompongan besar
Senada dengan Mohd Zuhdi ialah Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad.
Menantu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, itu juga merupakan bekas anggota majlis syura ulama parti berkenaan dan berperanan besar dalam kemelut dalaman mereka yang mencapai kemuncaknya pada 2015.
Fasal 15A itu menyentuh kedudukan seorang Adun atau ahli parlimen PAS yang mengingkari arahan parti.
Fasal 15A (1) misalnya menyatakan "Setelah seorang ahli melanggar mana-mana satu perkara di Fasal 15A(1), setiausaha agung hendaklah mengeluarkan satu notis keberhentian kepada ahli tersebut dan memaklumkan keberhentian ahli yang berkenaan kepada PAS kawasan yang berkaitan, dan keputusan adalah muktamad."
Ia menjadi perhatian kerana baru-baru ini Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, melihat kemelut pemecatan parti itu ke atas tiga Adun di Perlis masih belum muktamad.

Bagaimanapun pandangan tersebut dibantah oleh beberapa pemimpin parti termasuk Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud.
Mereka berpendapat pemberhentian keanggotaan ke atas Adun Chuping, Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) adalah muktamad.
Mereka juga menegaskan pendirian yang dinyatakan Abdul Hadi bukan bersifat peribadi sebaliknya menggambarkan sikap PAS secara keseluruhan.
Dakwa Mohd Zuhdi, cadangan pindaan fasal tersebut dibentang kepada muktamar menjelang masuknya waktu Maghrib sehingga perwakilan tidak dapat memberi tumpuan penuh.
"Saya sendiri yang berada di dalam dewan muktamar ketika itu mengharapkan pindaan tersebut tidak perlu perbahasan yang panjang," katanya.
Menurut Mohd Zuhdi, fasal 15A yang dipertahankan oleh Luham itu mempunyai "kelompongan besar."
"Dalam PAS, pihak yang boleh menjatuhkan sesuatu tindakan tatatertib ialah Jawatankuasa Disiplin, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama.
"Majlis Syura Ulama ada kuasa untuk menjatuhkan tindakan disiplin kerana majlis itu juga ada kuasa mengampunkan sesuatu kesalahan.
"Antara ketiga-tiga badan itu, keputusan jawatankuasa disiplin dan keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak muktamad.
"Sebagaimana yang disebut pada fasal 77, hanya keputusan Majlis Syura Ulama yang bersifat muktamad," katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi pemimpin PAS untuk mendapatkan komen mereka terhadap dakwaan Mohd Zuhdi.
