Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Provokasi pegawai polis: Mandiri gesa Saifuddin nyata pendirian
Diterbitkan:  Jan 28, 2026 2:41 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Kumpulan belia Mandiri menggesa Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan pendirian berhubung dakwaan provokasi yang dilakukan oleh seorang pegawai polis semasa satu demonstrasi minggu lalu.

Penyelaras kumpulan tersebut, Wong Ku Kui, berkata Saifuddin sebelum ini pantas mengecam kekerasan terhadap anggota polis semasa insiden pengusiran di Kampung Sungai Baru pada Sept tahun lalu, namun berdiam diri apabila kekasaran didakwa dilakukan pihak polis.

Ketika itu, Saifuddin mengeluarkan kecaman keras terhadap serangan ke atas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, dan menyifatkannya sebagai satu bentuk “perbuatan tidak bertamadun”.

"Tapi bila institusi di bawah jagaan Saifuddin sendiri sudah menyalahguna kuasa dan melakukan intimidasi terhadap rakyat, beliau senyap.

"Jadi saya rasa tidak patutlah. Saifuddin sepatutnya menyatakan pendirian beliau dan mengambil tindakan (terhadap pegawai berkenaan),” kata Wong.

Pagi ini Wong membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul terhadap seorang pegawai polis yang didakwa memprovokasi peserta perhimpunan aman di luar Parlimen pada 22 Jan lepas.

Insiden tersebut berlaku sekitar tengah hari apabila kumpulan itu berkumpul di hadapan pintu masuk utama Parlimen untuk menuntut reformasi undang-undang Malaysia berkaitan kanabis.

Wong berkata dalam satu kenyataan pada hari yang sama pegawai berkenaan mendakwa para peserta menggunakan dadah serta mengugut untuk menahan mereka.

Dia turut berkongsi satu klip video pendek berkaitan kejadian tersebut, yang menunjukkan sekumpulan peserta bertengkar dengan seorang lelaki berpakaian kemeja-T kelabu gelap dan seluar hitam, yang dipercayai seorang pegawai polis berdasarkan senjata api di pinggangnya.

Menurut laporan polis yang dilihat oleh Malaysiakini, Wong berkata tindakan pegawai tersebut jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa, kelakuan tidak profesional dan perbuatan intimidasi semasa satu protes aman yang dijalankan selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10 menjamin hak kebebasan berhimpun secara aman dan tanpa senjata kepada semua rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Wong menyatakan harapan agar sebarang tindakan yang diambil terhadap pegawai terbabit dilakukan secara telus supaya keyakinan orang ramai terhadap pihak polis dapat dipulihkan.

Dia turut menggesa kerajaan melaksanakan reformasi terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang dicadangkan, serta mewajibkan penggunaan kamera badan.

"Ini adalah salah satu reform yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan ketika mereka masih di bangku pembangkang.

“Tapi apabila sudah jadi kerajaan, sudah tiga tahun lebih, hampir empat tahun, masih tidak ada proses dan tidak ada usaha untuk menuju kepada reformasi institusi PDRM,” katanya dengan nada kesal.

Selain itu, Wong berkata dia akan bertemu dengan pegawai penyiasat kes tersebut pada 3 Feb.

Selepas itu, tindakan lanjut akan diambil jika perlu, termasuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan Suhakam, tambahnya.

Buat masa ini, katanya, pihak polis akan diberikan masa dan ruang untuk menjalankan siasatan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS