mk-logo
Berita
Nurul Izzah, NGO kecam Lembaga Keamanan Trump
Diterbitkan:  Jan 28, 2026 4:08 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Beberapa NGO mengecam keras penubuhan Lembaga Keamanan oleh Donald Trump, dengan menyifatkan inisiatif itu sebagai cubaan mengesahkan rampasan tanah dan pembersihan etnik di Gaza menerusi penjenamaan semula projek pembangunan hartanah.

Dalam kenyataan bersama, kumpulan itu mendakwa Lembaga Keamanan bertujuan mengubah Gaza menjadi destinasi mewah yang dikenali sebagai "Gaza Riviera" demi keuntungan pelabur asing tanpa menghiraukan hak penduduk Palestin.

"Ia adalah tumpuan kuasa kekal yang direka untuk menghalalkan pelucutan hak milik, mengkomersialkan kemusnahan, dan menukarkan pelanggaran berat undang-undang antarabangsa kepada projek pembangunan hartanah berjenama," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif Polity Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Bersama Anggota Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR) Charles Santiago.

Ia turut disokong Third World Network (TWN), Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar), Pure Hands Malaysia, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Trump minggu lepas secara rasmi melancarkan Lembaga Keamanan dan menyatakan akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menangani bukan hanya krisis di Semenanjung Gaza malah di luar wilayah itu.

Perkara itu turut dibangkitkan dalam Dewan Rakyat, apabila Syahredzan Johan (PH-Bangi) menggesa menolak sebarang jemputan ke acara anjuran Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sebagai tanda protes terhadap Trump,

Katanya, lembaga yang ditubuh bagi membangunkan semula Gaza, kini seakan-akan mahu menjadi pengganti kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Malah, terdapat perkara pelik apabila negara anggota harus membayar AS$ 1 bilion untuk menggotainya.

Menurut Bernama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah mengemukakan pandangan mengenai perkara itu dan terus memantau perkembangan berkaitan, khususnya hakikat bahawa serangan kejam Israel belum dihentikan sepenuhnya, selain keperluan untuk mengembalikan bantuan kemanusiaan.

Pengerusi seumur hidup

Kumpulan itu berkata tindakan Trump membina badan yang mengekalkan kuasa sendiri dengan melantik dirinya sebagai pengerusi seumur hidup dan diberi kuasa memilih pengganti, mengetepikan prinsip ketelusan undang-undang.

Menurut mereka, pelan itu mencerminkan corak dominasi ekonomi dalam sejarah terdahulu, yang pembangunan dijalankan tanpa pemilikan oleh rakyat Palestin dan pembinaan semula dilakukan tanpa hak penentuan nasib sendiri.

Tunjuk perasaan anti-Israel di Kuala Lumpur

"Trump, sekutu, dan pelabur yang selaras bersedia untuk memiliki, mengawal, dan mendapat keuntungan daripada tanah, infrastruktur, dan aktiviti ekonomi sementara rakyat Palestin diletakkan sebagai tenaga kerja yang boleh dibuang," kata mereka..

Kenyataan itu turut berkata inisiatif tersebut dirancang tanpa kehadiran atau persetujuan wakil politik dan masyarakat sivil Palestin. 

Selain itu, penglibatan beberapa negara dalam badan tersebut didakwa diperolehi melalui paksaan ekonomi, termasuk ancaman tarif punitif.

Kumpulan aktivis ini menggesa masyarakat antarabangsa untuk menolak skim tersebut yang dianggap sebagai "moral inversion" kerana mengutamakan infrastruktur mewah di tengah-tengah keruntuhan kemanusiaan dan ketiadaan keperluan asas seperti makanan serta ubat-ubatan di Gaza.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS