Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menyuarakan keraguan terhadap komitmen Putrajaya dalam memerangi rasuah sistemik di negara ini.
Ia susulan laporan ekstensif oleh Bloomberg baru-baru ini mengenai ‘sisi gelap’ Bestinet – sistem pengambilan pekerja asing Bangladesh yang diterima pakai oleh Malaysia pada 2015 - dan diteruskan oleh kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim pada 2024 meskipun menerima pelbagai kritikan.
Dalam satu hantaran di laman X, Latheefa mempersoalkan tindakan kerajaan yang berdiam diri mengenai artikel bertarikh 23 Januari itu—yang mengandungi dakwaan berat terhadap Malaysia dan pegawai kerajaan.
"Di mana kemegahan cakap-ckap mahu lawan rasuah, kartel dan sebagainya? Ia adalah kisah yang memualkan dan menjijikkan tentang eksploitasi pekerja asing, sementara golongan elit politik dan perniagaan meraih manfaat serta keuntungan.
"Kita sekarang kedengaran seperti salah sebuah negara Afrika korup yang dikuasai panglima perang (warlord) yang sering kita baca. Jangan cuba nafikan, kita tahu ia benar – penyalahgunaan pengambilan pekerja asing di Malaysia sudah lama diketahui dan ia memalukan kita.
"Tetapi berbangkit daripada pendedahan baru ini, persoalan besarnya ialah – mengapa kabinet di bawah Anwar memperbaharui Bestinet pada 2024?
"Dan mengapa kerajaan Madani menutup mata terhadap perdagangan manusia yang keji dalam sistem pengambilan pekerja asing Bangladesh di Malaysia?" soalnya.
Artikel Bloomberg bertajuk Everyone Gets A Cut, And Migrant Workers Pay The Price atau terjemahannya ‘Semua Orang Ada Bahagian, Pekerja Asing Tanggung Akibatnya’, memfokuskan kepada nasib pekerja Bangladesh yang terpaksa meminjam wang dalam jumlah besar bagi membayar "yuran sindiket" yang didakwa untuk bekerja di Malaysia.

Laporan itu menyebut walaupun pekerja asing di seluruh dunia menghadapi masalah serupa, warga Bangladesh terpaksa membayar lebih dua kali ganda berbanding orang lain selepas Putrajaya menerima pakai sistem yang diperkenalkan oleh Bestinet, yang diasaskan oleh Aminul Islam, seorang warga Bangladesh yang telah diberikan kerakyatan Malaysia.
Keadaan menjadi parah apabila penggunaan sistem itu pada 2015 turut melibatkan aturan yang memaksa Bangladesh menyalurkan pekerjanya melalui hanya 10 daripada lebih 1,000 agensi di negara tersebut.
Menurut Bloomberg, Aminul dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang ketika itu merupakan Menteri Dalam Negeri, didakwa memainkan peranan penting dalam perkara ini, namun laporan itu menyatakan Zahid pada 2018 telah menafikan sebarang penglibatan dengan Bestinet.

Sistem baharu itu didakwa menyaksikan 10 agensi tersebut mengenakan bayaran tambahan secara haram yang dipanggil "yuran sindiket" ke atas setiap pekerja asing.
Bersama beberapa caj lain, kos tersebut dilaporkan melonjak setinggi ASD6,600, yang disifatkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai lebih dua kali ganda daripada apa yang dibayar oleh warga Bangladesh sebelum Bestinet terlibat.
Bloomberg memetik puluhan individu yang ditemu bual sebagai berkata bahawa "tokoh-tokoh elit pemerintah Malaysia, termasuk di peringkat tertinggi kerajaan, menyedari isu ini tetapi tidak cuba memperbaikinya kerana yuran pengambilan itu mengisi poket semua pihak yang terlibat."
Bestinet telah lama terpalit dengan kontroversi bermula pada 2015, apabila Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dibekalkannya kepada kerajaan digantung ekoran dakwaan ia memenangi kontrak melalui hubungan politik, kononnya dengan bekas menteri dalam negeri Azmi Khalid.
Meskipun digantung pada mulanya, sistem itu kemudian dikembalikan dan digunakan oleh agensi kerajaan untuk memproses ratusan ribu pekerja asing yang memasuki Malaysia setiap tahun.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara mendapati tidak pernah wujud kontrak rasmi antara kerajaan dan Bestinet, yang mengutip RM100 daripada setiap pekerja bagi perkhidmatan tersebut.
PAC mendapati kabinet pada Ogos 2015 bersetuju untuk menguji FWCMS dan satu lagi sistem daripada penyedia lain yang dipanggil ePPAx, yang dimenangi oleh Syarikat Ivy Matrix Sdn Bhd melalui tender terbuka bernilai RM20 juta.
Walaupun ePPAx dibangunkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk menggunakan FWCMS dan pada 2018 mengeluarkan surat kelulusan kepada Bestinet untuk membangunkan dan menyelenggara sistem tersebut selama enam tahun sehingga Mei 2024.
Pada 22 Disember 2021, kabinet pimpinan Ismail Sabri Yaakob bersetuju menggunakan FWCMS secara eksklusif tetapi tiada kontrak rasmi dirangka. Hamzah Zainudin merupakan menteri dalam negeri pada masa itu.
"Ini bermakna kerajaan/KDN telah menggunakan sistem FWCMS selama kira-kira enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan, jelas melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan," kata PAC dalam satu kenyataan.

PAC turut membangkitkan isu lain termasuk kerentanan sistem terhadap penggodaman dan potensi penipuan dalam pengurusan pekerja asing.
Namun begitu, pada Jun lalu, kabinet bersetuju untuk melanjutkan kontrak Bestinet selama tiga tahun lagi dengan penambahbaikan dalam tadbir urus.
