PARLIMEN | Ahli Parlimen Langkawi, Mohd Suhaimi Abdullah, menyatakan sokongan penuh terhadap tuntutan kerajaan Kedah ke atas Pulau Pinang dan berpendapat isu berkenaan wajar diselesaikan melalui proses mahkamah.
Merujuk ucapan Ahli Parlimen Batu Kawan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang dibuat semalam, Mohd Suhaimi
Ketua Menteri Pulau Pinang semalam, Mohd Suhaimi berkata ini selepas Chow Kon Yeow secara berseloroh menyatakan bahawa jika ada mana-mana pihak mahu memperkatakan isu tersebut, ia boleh dibawa ke mahkamah.
“Semalam, semasa yang berhormat (Ahli Parlimen) Sik ingin mencelah (Chow berbahas), beliau secara berseloroh berkata: kalau mahu ucap, ucap nanti; kalau mahu tuntut, tuntut nanti; kalau mahu bicara pergi mahkamah.
“Kalau Batu Kawan (Chow) kata kita pergi ke mahkamah, maka saya rasa tidak ada isu lagi. Kita tumpu di mahkamah sahaja, kenapa perlu dibincangkan lagi,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam semasa membahaskan titah Agong, Chow menegaskan tuntutan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, terhadap Pulau Pinang adalah tidak berasas dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip federalisme.
Kata Chow, Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan kedudukannya diperkuatkan lagi dengan Perjanjian Malaysia 1963.
Mengulas lanjut Chow berkata, sempadan negeri Pulau Pinang dan Kedah turut ditetapkan secara sah melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 yang digubal di parlimen mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
Ketika berucap berhubung perkara itu Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) bangkit untuk mencelah namun ditolak oleh Chow kerana kesuntukan masa.
Tidak berpuas hati dengan penolakan itu, Ahmad Tarmizi sekali lagi cuba untuk mencelah namun tetap ditolak oleh Chow.
Kemudian Chow secara berseloroh berkata: kalau mahu ucap, ucap nanti; kalau mahu tuntut, tuntut nanti; kalau mahu bicara, pergi mahkamah.
Mohd Suhaimi turut menegaskan rakyat Kedah menyokong penuh pendirian Sanusi dalam isu tuntutan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tegas serta berlandaskan undang-undang.
“Kami rakyat Kedah hanya menjunjung titah Tuanku Sultan dengan membawa isu ini ke mahkamah. Tuanku Sultan telah memberi perkenan,” dakwanya.
Sehubungan itu, Mohd Suhaimi turut meminta Agong menyantuni hasrat wakil rakyat Kedah yang ingin membawa isu tersebut, yang menurutnya telah dibangkitkan secara langsung oleh Sultan Kedah.
Kata Mohd Suhaimi, sekiranya semua pihak termasuk Chow Batu Kawan dan menteri berkaitan bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu di mahkamah, maka laluan tersebut wajar diikuti.
“Kalau itulah semangatnya, kita jumpa di mahkamah. Insya-Allah, perkara ini akan selesai,” katanya.
Pada 2021, kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti hasil pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan, selepas pajakan itu tidak pernah dinilai semula sejak 1786.
Pada awal Jan lalu Sanusi dilaporkan berkata kerajaan Kedah yakin proses perundangan berhubung tuntutan mereka dapat dimulakan tahun ini selepas kerja menganalisis dokumen berkaitan selesai.
Kata Sanusi pasukan perundangannya sedang melihat sudut undang-undang yang sesuai sebelum kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
