Ahli perniagaan Albert Tei, yang mendedahkan dakwaan skandal perlombongan Sabah, dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman esok.
Tei berkata dia dimaklumkan bahawa perkara itu bertujuan membantu siasatan berhubung laporan polis mengenai Sofia Rini Buyong, yang muncul dalam video mengaitkan bekas setiausaha politik perdana menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Md Akin.
Mereka akan menggunakan apa jua cara untuk menutup skandal ini supaya tidak mengaitkannya. Mereka pasti akan cuba sedaya upaya untuk menyukarkan saya, mendera mental serta menakutkan saya supaya saya kunci mulut.
Mereka mempunyai kuasa sekarang, boleh buat apa sahaja terhadap saya. Namun saya ingin memberitahu mereka bahawa saya tidak akan berundur walau apa pun yang terjadi terhadap saya, lawan tetap lawan.

Berkemungkinan saya akan ditangkap dan direman oleh pihak polis semasa siasatan,”tambah Tei dalam kenyataan.
Dalam video tersebut, wanita yang dituduh sebagai proksi Shamsul itu turut mengaitkan Anwar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Dia dirakam memberitahu Tei bahawa Shamsul didakwa meminta Azam untuk “memudahkan kesnya (Tei)”.
Apabila Tei bertanya kepada wanita itu sama ada Shamsul memberitahu Ketua SPRM bahawa rakaman skandal Sabah itu adalah “arahan PMX”, wanita itu menjawab: “Azam tahu”.
Bagaimanapun, wanita itu kemudian menafikan dia proksi Shamsul tetapi mengaku bertemu Tei. Dia menuduh ahli perniagaan itu menyebarkan pembohongan dan fitnah.
Shamsul mengumumkan peletakan jawatannya pada 25 November lalu, pada hari yang sama Malaysiakini menghubunginya untuk mendapatkan ulasan mengenai dakwaan Tei bahawa dia membelanjakan RM629,000 untuknya, bagi mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.
Kedua-dua Tei dan Shamsul didakwa berkaitan kes tersebut.
Sejak November 2024, Tei mengeluarkan siri video dan tangkapan skrin mesej WhatsApp yang mengaitkan berbelas-belas ahli politik dalam skandal perlombongan tersebut.
