Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Yunos secara sinikal berkata, dia akan melelong selipar dan kasutnya bagi menyelesaikan kos penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Ditemui di kediamannnya di Ampang, Kuala Lumpur hari ini, Jamal mengakui dirinya kecewa dengan tindakan Kok yang melalui peguamnya menyerbu rumahnya pagi tadi.
Sebaliknya kata Jamal, isu berkenaan boleh diselesaikan melalui perbincangan memandangkan mereka sebelum ini telah mencapai persefahaman melalui perbincangan antara peguam masing-masing.

"RM66,000 insya-Allah bukanlah jumlah yang banyak, tetapi juga bukan jumlah yang sikit memandangkan keadaan saya masih lagi dalam rawatan kerana sakit kanser dan sebagainya.
"Media melaporkan, barang-barang rumah saya disita, tetapi sebenarnya barulah diambil senarai, (barangan) masih ada di rumah lagi. Bagi saya tak patut Teresa sebagai wakil rakyat atau ahli Parlimen nak (tuntut) RM66,000 sampai nak pecah rumah saya.
"Saya rasa ini bukan tujuan tujuan yang murni dan niat baik untuk menyelesaikan perkara ini jadi esok saya nak jual dua, tiga (pasang) kasut, selipar saya untuk tender nak bayar RM66,000 duit Terasa...jadi saya rasa selipar saya boleh selesaikan masalah ini," katanya kepada media.
Terdahulu, pegawai polis diarahkan untuk masuk ke rumah Jamal bagi melaksanakan writ penyitaan dan penjualan bagi mendapatkan semula kos penghakiman tertunggak dalam saman yang difailkan oleh ahli parlimen DAP itu.
Dalam satu kenyataan, peguam Ahli Parlimen Seputeh itu, Sankara Nair, berkata penolong pendaftar Qasiratul Jannah Usmani Othman memberi arahan itu selepas penghuni rumah di Ampang Jaya, Selangor gagal menjawab panggilan telefon atau loceng pintu.
"Setibanya di lokasi, Penolong Kanan Pendaftar dan bailif cuba menghubungi penghuni rumah berkenaan dengan memanggil serta membunyikan loceng pintu namun tiada sebarang maklum balas diterima.

“Writ Penyitaan telah dilaksanakan dengan sewajarnya, dan sejumlah 14 barang telah dirampas dari premis tersebut. Pelaksanaan Writ Penyitaan telah selesai kira-kira jam 12:36 tengah hari. Barang-barang yang dirampas kini sedang menunggu pelupusan melalui lelongan,” tambahnya.
Pada April 2017, pemimpin DAP itu memfailkan saman fitnah terhadap Jamal, ketua kumpulan "baju merah" yang terkenal dengan kaitannya dengan Umno, atas kenyataan yang dibuatnya semasa sidang akhbar mengenai dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Kok mendakwa Jamal membayangkan bahawa dia telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk keuntungan peribadi dan telah menggambarkan pemimpin DAP itu sebagai tidak beretika.
Pada Julai 2022, Mahkamah Tinggi menganugerahkan Kok ganti rugi RM300,000 dan memerintahkan Jamal membayar kos RM50,000.
Jamal yang tidak berpuas hati kemudian mengemukakan rayuan. Dua tahun kemudian, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Jamal dan sekali lagi mengarahkannya membayar kos guaman RM50,000.

Pada 29 Mac 2023, panel Mahkamah Rayuan yang berbeza membenarkan Jamal menangguhkan pembayaran ganti rugi RM300,000 tetapi mewajibkannya mendepositkan jumlah tersebut dengan firma guaman Kok sementara menunggu penyelesaian rayuan Mahkamah Persekutuannya.
Bagaimanapun, akhirnya, pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk kebenaran merayu, dan memutuskan bahawa ia tidak memenuhi ambang batas di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Sementara itu, Jamal berkata dia kecewa dengan tindakan peguam Kok yang mengarahkan pintu pagar serta pintu kediamannya dipecahkan.
Oleh itu katanya, dia akan membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Ampang esok.
Tindakan Kok yang membawa ramai pengamal media serta polis di kediamannnya pagi tadi dianggap sebagai satu provokasi terhadapnya.
"Bagi saya tindakan tersebut patutnya boleh bincang, setakat pecah pintu pagar saja saya boleh terima lagi lah, kerana di dalam pagar ini pun terdapat beberapa buah kereta yang atas nama saya, yang nilainya saya rasa, lebih daripada RM60,0000.

"Saya rasa (tindakan ini) disengajakan dan sengaja untuk memalukan saya, kalau betul dia nak tuntut RM66,000, boleh maklumkan kepada peguam maksudnya dia tak setuju dengan persefahaman sebelum ini, dan tak perlulah nak bawa media ramai-ramai serbu rumah saya," katanya lagi.
