Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Lebih sebulan kes polis tembak tiga lelaki, kenapa belum ada tangkapan’
Diterbitkan:  Jan 28, 2026 6:28 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

PARLIMEN l Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer hari ini menambah tekanan agar tangkapan dilakukan segera selepas lebih sebulan Pejabat Peguam Negara mengklasifikasikan semula kes tembakan maut tiga suspek perompak di Durian Tunggal, Melaka sebagai kes bunuh.

Ketika sesi perbahasan Titah yang di-Pertuan Agong, Rayer mengajukan soalan tersebut kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya ingin bertanya kepada Menteri Dalam Negeri, kenapa pihak-pihak terlibat belum ditangkap dan dituduh untuk kesalahan membunuh?

“Hari ini kita melihat bahawa kejadian insiden ini masih disiasat, pihak forensik masih lagi menunggu untuk kelongsong peluru diperolehi untuk mengesahkan siapa sebenarnya mengeluarkan tembakan tersebut?” soalnya.

Saifuddin, dalam jawapan bertulis parlimen kepada Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) semalam, berkata siasatan menyeluruh berhubung kejadian tembakan pada November lalu masih dijalankan, dengan pihak polis sedang menunggu laporan forensik dan balistik.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa polis telah merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara sebanyak dua kali, iaitu pada 16 Disember dan sekali lagi pada 29 Disember — 13 hari selepas kes itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan berasingan, peguam bagi keluarga ketiga-tiga mangsa, Rajesh Nagarajan, berkata jawapan Saifuddin tidak menangani isu undang-undang utama yang berbangkit daripada insiden di Durian Tunggal itu.

“Dalam siasatan standard Seksyen 302, suspek ditahan untuk memudahkan siasatan, memelihara bukti, dan memastikan akauntabiliti.

“Ketiadaan langkah-langkah ini dalam kes ini adalah tanpa penjelasan,” katanya.

“Kewujudan laporan forensik atau balistik yang masih belum selesai tidak menangguhkan pemakaian prosedur jenayah biasa, mahupun mewajarkan layanan berbeza terhadap suspek.

“Analisis forensik adalah alat pembuktian. Ia bukan syarat sebelum tangkapan dilakukan, mahupun pengganti kepada siasatan dalam tahanan,” katanya sambil menambah bahawa memberi gambaran sebaliknya berisiko mewujudkan pengecualian undang-undang dalam kes di mana polis menggunakan kekerasan yang membawa maut.

Pada 24 Nov lalu, polis menembak mati tiga lelaki berusia antara 24 dan 29 tahun, selepas seorang daripada mereka didakwa menggunakan parang untuk menyerang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhair Mukhtar sebelum ini mempertahankan tindakan pasukannya, dengan mendakwa kejadian itu menyebabkan seorang koperal berusia awal 30-an mengalami kecederaan parah di lengan kirinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS