Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PAS: Batalkan sepenuhnya projek ternak babi di Bukit Tagar
Diterbitkan:  Jan 28, 2026 6:31 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

PARLIMEN | Seorang Ahli Parlimen PAS menggesa kerajaan Selangor membatalkan sepenuhnya cadangan projek ladang ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar dan bukannya sekadar menangguhkan projek tersebut.

Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Hasnizan Harun (PN–Hulu Selangor), yang kawasan parlimennya merangkumi Bukit Tagar, berkata tindakan kerajaan negeri menghentikan sementara projek itu ketika ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.

"Rakyat mahukan ia dibatalkan sepenuhnya bukan dibatalkan sementara.

"Suara hati rakyat dan khususnya yang beragama Islam, saya mohon kerajaan negeri Selangor agar pemilihan ladang babi di Bukit Tagar ini dibatalkan sepenuhnya bukan pembatalan sementara,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat.

Dia menegaskan bantahan penduduk itu adalah “jelas berasas” memandangkan Hulu Selangor merupakan kawasan tadahan air dan sumber air utama.

"Terdapat juga penempatan yang berdekatan dengan Bukit Tagar iaitu empat gugusan Felda, perkampungan Orang Asli, penempatan ladang estet penduduk Bestari Jaya, pusat pengajian Unisel dan sebagainya," katanya.

Pada Isnin (26 Jan), Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (PH–Gombak) berkata kerajaan negeri telah memutuskan untuk menangguhkan projek Bukit Tagar susulan bantahan penduduk di kawasan berhampiran.

Amirudin turut berkata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim, telah diarahkan untuk mengenal pasti lokasi alternatif.

Keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim (PH–Tambun) mencadangkan supaya projek tersebut ditangguhkan terlebih dahulu atau dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai, dengan syarat teknologi yang digunakan “benar-benar terjamin”.

Bagaimanapun, Hasnizan menegaskan kaedah penternakan moden tidak semestinya menjamin keselamatan, sambil merujuk kepada kejadian di negara-negara yang lebih maju di mana masalah bau dan pencemaran sumber air masih berlaku walaupun teknologi canggih digunakan.

Dia juga mempertikaikan kenyataan Amirudin hari ini bahawa kini terdapat pelabur yang sanggup membiayai projek tersebut, selain mengingatkan bantuan sedemikian boleh membawa kepada peluasan operasi bagi membolehkan eksport dilakukan untuk menampung kerugian dan meningkatkan keuntungan pada masa hadapan.

Amirudin sebelum itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa usaha memindahkan ladang babi tradisional dan mewujudkan sistem yang lebih berpusat di lokasi sesuai telah lama dirancang dan hanya kini baru dilaksanakan.

Menteri besar itu juga menegaskan bahawa ladang-ladang berkenaan yang kini terletak di Tanjung Sepat adalah tidak mampan kerana sekurang-kurangnya enam tahun diperlukan bagi pemulihan tanah untuk memulihkan kawasan tersebut.

Sehubungan itu, Hasnizan merayu kerajaan menjalankan kajian yang lebih menyeluruh sekiranya ingin mengenal pasti lokasi alternatif bagi ladang ternakan babi dan menegaskan bahawa keputusan sedemikian tidak seharusnya “diumumkan terlebih dahulu dan kemudian meminta rakyat menerimanya”.

Dia menegaskan bahawa pemilihan lokasi baru mesti didahului dengan penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian impak sosial (SIA), serta sesi libat urus awam yang melibatkan komuniti setempat sebelum sebarang keputusan dasar diumumkan.

“Saya mencadangkan sekiranya kerajaan Selangor tidak menemui lokasi baru yang sesuai untuk penternakan babi, maka daging babi boleh sahaja diimport, sebagaimana daging lembu diimport kerana bekalan tempatan tidak mencukupi,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS