Sebagai seorang wartawan yang sudah bertahun menelusuri lorong gelap sindiket warga asing dan pemerdagangan manusia, penulis sudah terbiasa melihat bagaimana licinnya permainan ‘lorong tikus’ di sempadan negara.
Dari pesisir pantai di utara hingga ke pintu masuk udara di KLIA, naratifnya sering sama: kemasukan haram yang didalangi oleh kerakusan wang ringgit dan eksploitasi manusia.
Apabila seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditahan di Jitra pada 14 Januari lalu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), penulis cuba melihatnya dari sudut prosedur operasi pihak berkuasa.
Remaja itu berada dalam kenderaan MPV bersama bapanya, yang disyaki menjadi ‘transporter’ bagi 16 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar.
Secara prinsipnya, penulis antara individu yang tidak menyokong Sosma.
Akta drakonian ini sering kali menafikan proses keadilan, terutama peruntukan untuk menahan seseorang selama 28 hari tanpa perbicaraan. Namun, sebagai wartawan yang kerap berada di lapangan, penulis juga memahami beban tugas pihak polis.
Dalam situasi tertentu, polis menggunakan kuasa khas seperti Sosma untuk mematahkan rantaian sindiket yang kompleks.

Apabila melibatkan keselamatan sempadan, polis memilih langkah paling tegas demi memastikan tiada ancaman luar menembusi kedaulatan negara.
Dari sudut pandang polis, ini adalah isu keselamatan negara. Sesiapa yang berada dalam kenderaan itu, walaupun sekadar anak yang menumpang bapa, dianggap sebahagian daripada ekosistem penyeludupan sehingga siasatan selesai.
Namun, pemahaman penulis mengenai ketegasan polis ini mula teruji apabila dibandingkan dengan kes melibatkan pegawai penguatkuasa.
Kenapa taring Sosma yang begitu tajam terhadap seorang remaja bawah umur tiba-tiba menjadi tumpul apabila berdepan pegawai penguatkuasa?
Kes tentera Serbia dan warga Mongolia
Mari kita lihat fakta bercanggah yang berlaku di pintu masuk utama negara pada penghujung Disember lalu.
Pertama, kes dua anggota tentera Serbia yang ditahan di KLIA pada 12 Dis.

Pemeriksaan mendapati pasport mereka tidak mempunyai cap masuk terkini.
Semakan sistem MyIMMS mengesahkan kemasukan mereka adalah secara tidak teratur atau lebih dikenali sebagai sindiket ‘fly’. Ini bukan penyeludupan biasa; ini melibatkan anggota tentera negara luar yang membolosi pintu masuk udara kita dengan bantuan "orang dalam".
Laporan polis dibuat di Balai Polis KLIA, namun apa yang berlaku amat mengejutkan.
Pihak polis dilaporkan menyerahkan kes ini kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS). Hanya selepas pendedahan berani Malaysiakini pada 17 Disember, barulah unit integriti AKPS mengambil tindakan.
Lebih menjengkelkan, pada 24 Disember, pasukan siasatan hanya menyerahkan notis usir kepada dua warga Serbia tersebut. Mereka dihantar pulang ke negara asal tanpa sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah Malaysia.
Pegawai yang disyaki melakukan "flyi passport" itu pula berkemungkinan besar hanya berdepan tindakan tatatertib dalaman.

Soalan penulis kepada pihak polis adalah mudah: Membantu tentera asing masuk secara haram adalah ancaman keselamatan yang amat serius. Kenapa pegawai yang terlibat tidak ditahan di bawah Sosma oleh pihak polis?
Kenapa polis begitu mudah menyerahkan kes ini kepada "tindakan dalaman" agensi, sedangkan remaja 16 tahun di Jitra itu terpaksa meringkuk sembilan hari dalam lokap sehingga muntah-muntah dan mengalami alahan kulit yang teruk?
Adakah polis merasakan remaja itu lebih mengancam negara berbanding pegawai yang membolosi sempadan udara?
Kes kedua berlaku pada 29 Dis, melibatkan seorang wanita warga Mongolia. Modus operandinya serupa. Cop tidak teratur dilakukan di Terminal 2, dan dia ditahan di Terminal 1 ketika ingin pulang.
Pegawai AKPS yang disyaki membantunya dilaporkan sedang bercuti di Sabah ketika laporan polis dibuat. Sekali lagi, tiada tindakan tegas di bawah Sosma diambil oleh pihak polis.
Polis sekali lagi sekadar menyerahkan kes itu kepada AKPS untuk tindakan dalaman. Sehingga ulasan ini ditulis, kedua-dua pegawai dalam kes Serbia dan Mongolia ini masih belum dikenakan tindakan tegas.
Dua kes ini hanyalah puncak kepada gunung ais. Penulis boleh memberikan berpuluh-puluh contoh kes yang sama berlaku tiap-tiap hari dari Perlis hingga ke Sabah.
Jangan pilih kasih
Trendnya sangat jelas, polis seolah-olah mempunyai dwi-standard. Jika anda seorang rakyat marhaen atau remaja yang malang, polis akan menggunakan Sosma untuk menghambat anda.

Tetapi jika anda adalah pegawai penguatkuasa yang menjual kedaulatan negara melalui sindiket 'fly', polis seolah-olah memberikan 'laluan sutera' dengan menyerahkan tanggungjawab kepada unit integriti agensi masing-masing.
Kita tidak boleh mempunyai dua set undang-undang yang berbeza darjatnya. Mereka tidak boleh bersikap selektif.
Jika remaja 16 tahun itu dianggap begitu "berbahaya" hanya kerana duduk di sebelah bapanya, maka pegawai yang membenarkan warga asing masuk secara haram adalah "super bahaya" dan sepatutnya menjadi sasaran utama Sosma.
Ketegasan polis janganlah hanya terhenti pada mereka yang tidak berdaya. Polis perlu menjawab, mengapa Sosma tidak digunakan terhadap pengkhianat di pintu masuk rasmi negara?
Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia mesti dilihat dilaksanakan secara saksama oleh pihak polis.
Jangan biarkan rakyat melihat Sosma sebagai alat untuk membuli yang lemah, sementara "jerung" penguatkuasa terus tersenyum di balik meja pejabat mereka.
B NANTHA KUMAR ialah wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
