PARLIMEN | Tabung Haji merekodkan penurunan ketara jumlah pendeposit yang menangguhkan tawaran menunaikan ibadah haji, iaitu daripada 50 peratus pada musim haji lalu kepada 18 peratus tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, kadar penurunan itu dicatatkan hasil daripada pelaksanaan inisiatif persediaan kewangan serta pendidikan jemaah yang dilaksanakan secara lebih sistematik.
Katanya, ibadah haji memerlukan persediaan yang lengkap termasuk kewangan mencukupi, kesihatan baik, keselamatan perjalanan serta kuota yang diperoleh daripada pihak kerajaan Arab Saudi.
“Penting bagi umat Islam tahu bahawa syarat ini perlu dipenuhi, iaitu merangkumi empat elemen utama: kewangan yang mencukupi, kesihatan yang baik, keselamatan perjalanan dan kebenaran ataupun kuota daripada pihak kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Marhamah berkata demikian menjawab soalan lisan Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang meminta kerajaan mengemukakan langkah jangka pendek dan jangka panjang kerajaan bagi mempermudah akses pendeposit Tabung Haji menunaikan ibadah haji.
Langkah itu supaya mereka tidak menghadapi kebimbangan dari segi kewangan dan kesihatan bagi memastikan pendeposit tidak ketinggalan atau menolak tawaran menunaikan ibadah haji seperti yang berlaku pada musim haji 1446H.
Mengulas lanjut, Marhamah berkata berdasarkan data Tabung Haji antara faktor utama penangguhan tawaran haji ialah kekurangan simpanan mencukupi, selain masalah kesihatan, urusan peribadi dan pendidikan anak-anak.
Menurutnya lebih 53 peratus daripada sembilan juta pendeposit mempunyai simpanan kurang RM1,300.
Bagi menangani isu itu, Tabung Haji telah memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk penetapan kadar simpanan minimum RM15,000 bagi memastikan bakal jemaah menepati syarat kewangan sebelum tahun giliran mereka.
Usaha ini juga katanya bertujuan mempromosikan Tabung Haji sebagai institusi simpanan dan kewangan Islam pilihan utama masyarakat Muslim di Malaysia.
“Usaha yang dilakukan oleh Tabung Haji ini telah menunjukkan hasil yang amat positif. Bagi musim haji tahun ini, data merekodkan penurunan ketara untuk penundaan tawaran haji daripada 50 peratus kepada 18 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Marhamah berkata 36 peratus penolakan adalah atas faktor masalah kesihatan, 37 peratus masalah peribadi dan 10 peratus atas faktor-faktor lain.
Selain itu, Tabung Haji melancarkan inisiatif simpanan sistematik jangka panjang, dan memperkasakan pendidikan bakal jemaah dengan kursus asas dua tahun sebelum tahun giliran haji, termasuk persediaan kesihatan.
Menjawab soalan tambahan mengenai model pemilihan jemaah, Marhamah berkata kerajaan sedang meneliti pendekatan bersasar dengan mengambil kira giliran pendaftaran, kemampuan kewangan minimum, umur dan kesiapsiagaan jemaah.
“Banyak perkara perlu diambil kira, termasuk kos haji dan kuota. Insya-Allah, pihak Tabung Haji akan cuba seaktif mungkin menangani perkara-perkara ini,” katanya.
Tambahnya, dia juga menegaskan, langkah strategik ini bertujuan memastikan penyertaan ibadah haji lebih tersusun, berdisiplin dan memberi manfaat optimum kepada semua pendeposit.
