Selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mendakwa PN bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi gabungan itu, pemimpin akar umbi PAS dilihat memberi pelbagai reaksi.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar turut tampil menyinggung Muhyiddin secara terbuka susulan perkembangan isu dalaman PN itu.
"Letak jawatan pengerusi PN, tiba-tiba nak lead (ketuai) Majlis Presiden PN. Masalah tetap tak selesai," katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden turut memberi gambaran yang mereka tidak berpuas hati dengan perkembangan isu dalaman PN.
Krisis itu berlarutan selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN pada hujung tahun lalu ekoran insiden bertukarnya Menteri Besar Perlis, daripada Adun PAS, Mohd Shukri Ramli, kepada pengerusi Bersatu negeri itu, Abu Bakar Hamzah.

Semalam Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata, Bersatu serta PAS bersetuju untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada rancangan mereka menstruktur semula gabungan terbabit.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendakwa, penstrukturan itu meletakkan Bersatu menerajui Majlis Presiden PN, manakala PAS akan mengetuai jawatankuasa eksekutif.
Bagaimanapun, dakwaan itu kemudian dinafikan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sukri turut menegaskan bahawa masa untuk Muhyiddin sudah tamat.
"Your time is finished. What goes around comes around," katanya.
