PARLIMEN | Seorang ahli Parlimen pembangkang menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan Khaled Nordin di Kementerian Pertahanan (Mindef), di tengah siri kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan angkatan tentera.
Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN–Tanah Merah), yang sebelum ini lantang bersuara berhubung isu-isu yang dilihat membelenggu Kementerian Pertahanan, melontarkan pujian kepada Khaled ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Merujuk pertuduhan mahkamah terhadap bekas panglima tentera darat Hafizuddeain Jantan dan bekas panglima angkatan tentera Nizam Jaffar, Ikmal (gambar utama) berkata dia yakin Khaled mampu menangani kebimbangan yang mendesakberkaitan institusi pertahanan.
“Saya ingin menyatakan keyakinan dan kepercayaan saya terhadap keupayaan Menteri Pertahanan (Khaled) dalam menyelesaikan masalah ini.
“Amat malang sekali dia menerajui Mindef pada waktu yang sukar dan mencabar.
“Saya percaya dan menyokong penuh beberapa tindakan yang diambilnya sejak awal Januari apabila krisis kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berlaku.
“Setakat ini, bagi saya menteri has done a good job,” kata Ikmal.

Bagaimanapun, dia berkata situasi semasa ini memberi peluang kepada kementerian dan Putrajaya untuk menambah baik tadbir urus serta pengurusan perolehan pertahanan.
Justeru, dia menggesa Khaled agar menggunakan peluang ini dengan melaksanakan rombakan menyeluruh terhadap Kementerian Pertahanan, dan menegaskan usaha sedemikian tidak boleh dilakukan secara “hangat-hangat tahi ayam”.
Memulihkan kepercayaan rakyat
Semalam, Khaled mengakui usaha untuk menyingkirkan dan mendakwa anggota angkatan pertahanan yang terlibat dalam rasuah perlu disertai langkah jangka panjang, menegaskan kerajaan mengutamakan usaha untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap angkatan tentera.
“Mengenal pasti dan mendakwa mereka yang terlibat adalah jauh dari mencukupi. Ia tidak sama sekali akan menjadikan Kementerian ini suci dan bersih.
“Insya-Allah, ia tidak akan berhenti di situ sahaja. Mindef akan terus meneroka lebih banyak ikhtiar dan peluang yang akan terus memantapkan kewibawaan Kementerian ini dan juga ATM,” katanya semasa sesi taklimat menteri di Dewan Rakyat.

Taklimat itu diadakan susulan beberapa dakwaan di mahkamah melibatkan tentera, termasuk penyelewengan dan rasuah.
The session came following a series of allegations accusing the country’s defence forces of misdeeds, including financial misappropriation and graft.
Pada 23 Januari lalu, Hafizuddeain, yang pada asalnya dijangka akan dilantik menjadi Panglima Angkatan Tentera yang baru, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM145,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Sehari sebelumnya, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dia turut mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima lebih RM2.12 juta hasil daripada aktiviti haram.
Nizam pula didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan jawatan dan menerima RM752,481.90, selain pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan RM3 juta.
Apa jadi dengan siasatan LCS?
Sementara itu, Ikmal mengulangi kebimbangannya mengenai kurangknya tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai berbilion ringgit yang mencetuskan kontroversi sebelum ini, yang dikatakan melibatkan penyalahgunaan dana awam serta pelbagai masalah tadbir urus.
Menyorot bagaimana kos projek itu meningkat daripada RM9.13 bilion kepada RM11.2 bilion, sementara jumlah penghantaran dikurangkan daripada enam buah kapal kepada lima buah, dia mempersoalkan mengapa syarikat asal yang mendapat kontrak tersebut tidak dikenakan sebarang ganti rugi tertentu dan ditentukan dalam kontrak (liquidated ascertained damages).
Menyifatkan keadaan itu sebagai “aneh dan ganjil”, Ikmal mengingatkan kegagalan berterusan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam kontroversi LCS telah mewujudkan persepsi dwistandard, dengan merujuk kepada pertuduhan terhadap Hafizuddeain dan Nizam.
*Ini menunjukkan seolah-olah ada double standard dalam kalangan agensi penguatkuasa untuk hanya mendakwa individu tertentu berkait masalah penyelewengan aset pertahanan.
“Kesan daripada double standard ini adalah timbul rasa tidak percaya yang sangat tinggi di kalangan rakyat terhadap ketelusan SPRM dan juga kerajaan dalam menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu berkaitan masalah penyelewengan projek perolehan aset pertahanan,” katanya.

Pada Mac tahun lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ahmad Ramli Nor.
Ramli yang merupakan bekas panglima tentera laut dihadapkan ke mahkamah pada Ogos 2022 atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan RM21.08 juta yang berkaitan dengan projek LCS Tentera Laut Diraja Malaysia.
Keputusan itu diberikan selepas peguamnya memaklumkan kepada mahkamah bahawa seorang pakar psikiatri dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati Ramli tidak layak untuk dibicarakan berikutan keadaan mentalnya.
Ramli dan pengarah program LCS BNS, Anuar Murad berulang kali disebut dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mengenai projek tersebut.
Laporan yang dikeluarkan pada Ogos 2022 itu menyertakan dua bahagian yang dikhususkan sepenuhnya kepada Anuar dan Ramli, memperincikan penglibatan mereka dalam skandal yang didakwa, dengan nama Anuar disebut sebanyak 23 kali manakala nama Ramli sebanyak 14 kali.
