mk-logo
Berita
Polis selamatkan 138 mangsa pemerdagangan manusia
Diterbitkan:  Jan 29, 2026 6:51 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 138 mangsa pemerdagangan manusia dalam 77 serbuan yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara menerusi Op Pintas Khas (Pemerdagangan Orang) semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 58 lelaki, 23 wanita, 39 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan berusia antara 12 hingga 51 tahun termasuk seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya.

Beliau berkata mangsa yang terlibat masing-masing lapan warga tempatan dan Filipina, Myanmar (75), Indonesia (34) dan Bangladesh (13).

“Fokus operasi adalah untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi buruh) dalam sektor perladangan kelapa sawit, pembuatan sarung tangan getah serta sektor perkilangan dan perkhidmatan, dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata daripada 77 serbuan dijalankan, 12 melibatkan sektor perkilangan, perladangan (19), perkhidmatan dan perniagaan (41) dan lima serbuan melibatkan sektor lain.

Beliau berkata indikator buruh paksa dan pemerdagangan orang yang telah dikenal pasti adalah mengeksploitasi kerentanan, pemerdayaan, kawalan terhadap pergerakan, pengurungan, penahanan dokumen identiti, penahanan gaji, kondisi kerja dan tempat tinggal yang terabai serta kerja lebih masa yang melampau.

Dalam operasi sama, sebanyak 67 individu terdiri daripada 42 warga tempatan dan 25 warga asing berusia antara 30 hingga 69 tahun yang disyaki majikan dan penyelia kepada mangsa turut ditahan.

Beliau berkata kesemuanya disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

Kumar berkata PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah pemerdagangan orang dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan jenayah pemerdagangan orang melalui balai polis berhampiran bagi membantu usaha pembanterasan jenayah itu,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS