Peguam kepada ahli perniagaan Albert Tei, Mahajoth Singh, gagal mendapat kebenaran untuk mencabar notis SPRM yang mengarahkannya hadir untuk soal siasat serta mengemukakan dokumen dan sebuah telefon.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Alice Loke menolak permohonan Mahajoth pagi tadi selepas mendapati hujah-hujahnya tidak kukuh.
Loke juga memutuskan bahawa perkara yang melibatkan proses siasatan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
“Berkaitan dakwaan niat jahat atas dasar pengeluaran (notis-notis) itu bercanggah dengan undang-undang, saya dapati ia tidak dibuktikan.
“Atas sebab-sebab ini, saya tidak dapati hujahan telah dibuat untuk kebenaran tersebut, dan atas alasan itu, saya menolak permohonan,” katanya.
Dia turut menolak permohonan intervensi yang difailkan Majlis Peguam dan tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.
Mahajoth (gambar utama) diwakili peguam N Surendran dan Rajesh Nagarajan, manakala peguam persekutuan kanan Krishna Priya Venugoppal mewakili kerajaan.
Pada 9 Disember lalu, Mahajoth memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan notis yang dikeluarkan pada 29 dan 30 November, serta menangguhkan sebarang tindakan undang-undang oleh SPRM terhadapnya mengikut Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(1)(b) Akta SPRM 2009.
Notis di bawah Seksyen 30(1)(a) akta itu meminta Mahajoth hadir di ibu pejabat SPRM, manakala notis di bawah Seksyen 30(1)(b) mengarahkannya mengemukakan dokumen dan sebuah telefon.
Dia memohon perintah mahkamah untuk menangguhkan sementara sebarang tindakan SPRM terhadapnya di bawah kedua-dua peruntukan tersebut serta Seksyen 48, yang berkaitan dengan menghalang siasatan dan pemeriksaan.
Dalam afidavit sokongannya, Mahajoth berhujah bahawa notis-notis tersebut jelas bercanggah dengan keistimewaan peguam-anak guam, yang dilindungi oleh Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 dan Seksyen 46(2) Akta SPRM.
Pada 3 Disember lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata Mahajoth dilihat sebagai saksi yang boleh membantu siasatan terhadap Tei, dan mereka telah memulakan siasatan terhadap peguam itu kerana enggan memberi kerjasama.
Anak guam Mahajoth, Tei telah didakwa pada akhir tahun lalu atas tuduhan memberi rasuah kepada bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Akin, manakala Shamsul pula didakwa menerima rasuah daripada Tei.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
