Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Chegubard mohon ketepi perintah mahkamah bayar ganti rugi Farhash

Pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin memfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkannya membayar ganti rugi kepada ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Ia susulan perintah yang dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Apandi, terhadap Badrul dan seorang lagi defendan, YouTuber Nurpais Ismail, semalam selepas mendapati mereka memfitnah Farhash dalam satu podcast yang disiarkan pada 7 Mei tahun lalu.

Mengulas penghakiman tersebut, Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa dia tidak pernah menerima writ saman berkaitan saman fitnah berkenaan.

"Dalam kes ini saya tidak menerima writ saman dan saya tidak failkan kehadiran. Keputusan tanpa kehadiran saya dan peguam.

"Setelah berbincang dengan (Peguam) Muhammad Rafique Rashid Ali , kami putuskan akan failkan permohonan mengenepikan keputusan kes dan bersedia untuk perbicaraan penuh,” katanya menerusi Facebook semalam.

Selain Badrul, Rafique turut mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa firma guamannya juga mewakili Nurpais dalam kes sivil berkenaan.

Terkejut dengan keputusan mahkamah

Dalam satu kenyataan semalam, Rafique berkata Badrul dan Nurpais terkejut apabila mengetahui keputusan mahkamah itu menerusi laporan media.

“Kedua-dua mereka cuma mengetahui tentang kewujudan saman ini hanya selepas menerima pelbagai mesej, selain laporan media yang dikongsi oleh kenalan masing-masing.

“Firma kami juga dimaklumkan bahawa mereka tidak pernah, pada bila-bila masa, diserahkan writ saman, dan juga tidak mengetahui mengenai saman tersebut.

“Kami telah menasihati mereka berhubung hak masing-masing, dan mereka akan mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan menerusi firma guamannya.

Rafique berkata mereka menerima pelbagai maklum balas positif daripada orang ramai, termasuk menawarkan bantuan kewangan.

Peguam Farhash sahkan writ telah disrahkan

Bagaimanapun, peguam Farhash, Nurin Husnina Hussein, mempertikaikan dakwaan defendan dengan menyatakan bahawa mahkamah telah membenarkan perintah penyampaian ganti (substituted service) untuk menyampaikan writ saman kepada defendan dan penyampaian tersebut telah disempurnakan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa penyampaian itu telah dilaksanakan dengan betul dan selaras dengan undang-undang.

“Hakim telah mengesahkan perkara ini semasa perbicaraan, dan semua afidavit penyampaian telah difailkan dengan sewajarnya di mahkamah,” katanya kepada Malaysiakini.

‘Anak emas’ Anwar

Dalam penghakimannya semalam, Arziah menyatakan bahawa para defendan tidak memasukkan kehadiran dalam saman tersebut, menyebabkan perbicaraan diteruskan tanpa pembelaan mereka pada 12 Januari.

Dia mengarahkan kedua-dua defendan membayar RM300,000 sebagai ganti rugi am, RM100,000 ganti rugi teladan, RM150,000 ganti rugi teruk serta RM40,000 kos, dengan faedah lima peratus dikira bermula 26 Mei tahun lalu sehingga bayaran penuh dibuat.

Mahkamah mendapati kenyataan yang dibuat dalam podcast yang diterbitkan di saluran YouTube Nurpais berupaya mencemarkan reputasi Farhash, dan Badrul telah mengenal pasti plaintif dengan jelas dengan berulang kali menyebut namanya serta merujuknya sebagai bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan “anak emasnya”.

Farhash memfailkan saman tersebut pada 26 Mei tahun lalu berhubung podcast yang diterbitkan pada 7 Mei, dengan mendakwa bahawa kedua-dua mereka telah memfitnahnya dengan menggambarkannya sebagai individu yang keji, tidak bermoral dan berniat jahat, serta didakwa menggunakan dan mengawal perdana menteri serta pejabatnya untuk kepentingan peribadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS