Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Istilah kesihatan mental digunakan untuk mudaratkan individu LGBTQ+'

Pengkritik mendakwa, tindakan mengaitkan tekanan kerja dengan bagaimana seseorang "menjadi" gay adalah contoh bahasa kesihatan mental boleh digunakan untuk menyebabkan kemudaratan kepada komuniti LGBTQ+.

Mereka berhujah “taktik” tersebut sama seperti patologis yang membingkaikan identiti atau tingkah laku tertentu sebagai gangguan perubatan untuk mewajarkan kawalan, diskriminasi atau hukuman terhadap kumpulan terbabit.

Psikologi klinikal Shaleen Chrisanne berkata strategi itu digambarkan sebagai kebimbangan atau pembetulan sambil mengekalkan stigma dan pertimbangan moral serta memperdalam hierarki sosial.

"Dalam komuniti lain, wacana kesihatan mental biasanya berorientasikan kepada sokongan, destigmatisasi dan akses kepada penjagaan.

"Bagaimanapun, apabila digunakan pada identiti LGBTQ+ di Malaysia, ia sering digunakan untuk mempersoalkan atau menolak identiti mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Dia menambah pihak berkuasa telah lama menggunakan taktik tersebut untuk patologis kumpulan minoriti, termasuk wanita dan kaum minoriti dalam masyarakat Barat.

Aktivis hak asasi kuira (queer), Gavin Chow, menyokong pandangan berkenaan dengan mengatakan bahawa amalan patologi komuniti LGBTQ+ di Malaysia tidak berkesan, tidak saintifik dan sangat berbahaya.

"Orang LGBTQ+ menjadi begitu bukan kerana tekanan, sebaliknya mereka mengalami tekanan harian sebagai kumpulan minoriti sambil menghadapi trauma, diskriminasi dan peminggiran," kata Chow, yang merupakan Pengarah Eksekutif People Like Us Hang Out (Pluho).

Dalam respons bertulis parlimen pada 26 Jan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata Jabatan Pembangunan Islam (Jakim) mempunyai maklumat yang terhad dan tiada data statistik mengenai komuniti LGBTQ+.

Memetik kajian pada 2017, Zulkifli memberitahu dapatan berkenaan mengenal pasti faktor-faktor seperti tekanan kerja, pengaruh komuniti, pengalaman seksual dan faktor peribadi lain menyumbang kepada "penglibatan dalam gaya hidup LGBTQ+".

Semakan oleh Malaysiakini mendapati satu kajian Indonesia oleh Sulaiman, Hasmiana Hasan, dan Hafidh Maksum bertajuk Model Projek Warganegara Untuk Mengatasi Gaya Hidup LGBT menyatakan lima faktor seseorang menjadi LGBTQ+: iaitu komuniti, kerja, seks, diri sendiri, dan kekuatan rohani.

Bagaimanapun, ia tidak menghuraikan faktor kerja, dan juga tidak menyebut tekanan kerja secara khusus.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada itu adalah kajian yang dirujuk oleh Zulkifli.

Mengulas mengenai isu tersebut, pengasas bersama Justice For Sisters (JFS) Thilaga Sulathireh berkata kerajaan sering penggunaan maklumat salah dalam komuniti kuira.

Menutnya, kajian mendapati kepelbagaian dalam orientasi seksual dan jantina adalah semula jadi dan normal.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan badan-badan lain telah menekankan bahawa orientasi seksual dan identiti jantina orang LGBTQ+ bukanlah kesan sebarang bentuk penyakit atau kekurangan perubatan, tingkah laku, seksual," katanya.

Merujuk kepada program keagamaan yang bertujuan untuk "memulihkan" identiti seksual dan jantina LGBTQ+, dia mendakwa, ia dibuat berdasarkan maklumat salah yang mengukuhkan andaian bahawa identiti sedemikian boleh diubah atau "diperbetulkan".

Tambahnya, ia juga mewujudkan kemudaratan dengan mengesahkan diskriminasi dan mengukuhkan ketidaksamaan, pengasingan dan pengecualian.

"Saya fikir kerajaan memang diberi maklumat salah dan mempunyai pandangan berat sebelah terhadap golongan LGBTQ+.

"Salah maklumat LGBTQ+ selalunya mempunyai persilangan agama.

“Saya fikir itu menjadikan ia lebih mencabar untuk diperbetulkan, terutamanya dalam persekitaran konservatif di mana terdapat tafsiran agama yang hegemonik dan patriarki dan di mana golongan LGBTQ+ menghadapi pengecualian agama yang tinggi," katanya.

JFS telah menggelarkan tahun 2025 sebagai tahun yang teruk untuk hak LGBTQ+, dengan lebih 307 tangkapan dibuat berdasarkan orientasi seksual sebenar atau yang disyaki, identiti jantina dan ekspresi jantina.

[Baca berita lanjut]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS