Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nafi Muhyiddin berbohong, Marzuki: Ini tindakan berniat jahat
Diterbitkan:  Feb 1, 2026 10:07 AM
Dikemaskini: 2:07 AM

Seorang bekas pegawai kanan Muhyiddin Yassin hari ini mempertahankan bekas perdana menteri itu dengan menegaskan ahli politik terbabit tidak berbohong dalam isu memansuhkan jawatan Pengerusi PN.

Menurut Marzuki Mohamad, keputusan untuk memansuhkan jawatan tersebut dicapai hasil perbincangan di antara Muhyiddin dengan pemimpin kanan PAS.

Kata Marzuki pertemuan tersebut berlangsung di rumah Muhyiddin pada 16 Jan lalu, dan dihadiri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin Hassan (setiausaha agung), Syahir Sulaiman ( penolong setiausaha agung dan setiausaha politik Abdul Hadi) serta Azmin Ali (bekas Setiausaha Agung PN).

“Pertemuan pada malam tersebut diadakan untuk mencari jalan keluar kepada deadlock (kebuntuan) berhubung pelantikan Pengerusi PN yang baru.

“PAS mahu menjadi Pengerusi PN tetapi ditentang oleh dua parti komponen yang lain, iaitu Gerakan dan MIPP (Parti Rakyat India Malaysia).

“Untuk rekod, pertemuan pada malam tersebut bukan atas jemputan Muhyiddin. Tetapi PAS yang mahu bertemu Muhyiddin,” katanya di media sosial.

Hubungan di antara PAS dan Bersatu belum menampakkan sebarang tanda akan lebih akrab selepas tercetus rasa tidak puas hati secara terbuka ekoran pertukaran jawatan Menteri Besar Perlis pada hujung Dis tahun lalu.

Di sebalik kemelut itu, PAS mengadakan beberapa pertemuan dengan Muhyiddin – yang menyatakan keinginannya meletak jawatan sebagai Pengerusi PN – namun tidak banyak butiran yang didedahkan.

‘Tiba-tiba menyuasat luar biasa’

Gambar-gambar yang dimuat naik di media sosial pula lebih menjurus kepada teka-teki dengan kedua-dua pihak biasanya mengiringi hantaran masing-masing dengan kapsyen yang ringkas seperti “alhamdulillah” dan “insya-Allah” saja.

Selepas pertemuan di antara Muhyiddin dan Abdul Hadi, Presiden Bersatu itu menyatakan bahawa PAS bersetuju agar jawatan Pengerusi PN dimansuhkan. Bagaimanapun PAS menafikan dakwaan Muhyiddin.

Ia membawa kepada situasi Muhyiddin didakwa bercakap bohong.

Untuk rekod, selain hubungan dengan PAS yang semakin renggang, Bersatu juga berdepan dengan konflik dalaman membabitkan kem Muhyiddin dengan timbalan presiden parti tersebut, Hamzah Zainudin.

Marzuki berkata tuduhan bahawa Muhyiddin tidak bercakap benar turut melibatkan beberapa pemimpin dalam Bersatu sendiri dalam usaha mereka menyingkirkan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan.

“Muhyiddin tidak berbohong. Saya ada bersama dalam pertemuan di antara Muhyiddin, Hadi Awang, Tuan Ibrahim dan Takiyuddin di rumah Muhyiddin pada malam 16 Jan 2026,” tulisnya.

Marzuki memberitahu, sebagai jalan keluar kepada kebuntuan kepimpinan dihadapi PN, pertemuan malam berkenaan memutuskan untuk memperkasa peranan Majlis Presiden PN – yang diketuai Muhyiddin.

Mereka juga, dakwa bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin itu, bersetuju agar sebuah majlis eksekutif ditubuhkan dengan diketuai oleh seseorang yang dicalonkan oleh PAS.

“Cadangan ini telah dipersetujui oleh Gerakan dan MIPP.  Mereka melihat kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Presiden PN boleh mengimbangi imej Islam PAS yang lebih bersifat hardline.

Maka selesailah kemelut yang sedang dihadapi oleh PN. Perlembagaan PN akan dipinda untuk tujuan ini,” katanya.

Cadangan tersebut, menurut Marzuki, sepatutnya dibincangkan dengan mendalam oleh jawatankuasa teknikal parti mengikut proses yang dipersetui bersama ketika pertemuan pada 16 Jan itu.

“Ini tidak. Jawatankuasa teknikal tidak dipanggil bermesyuarat, tetapi tiba-tiba keluar notis mesyuarat luar biasa PN yang agendanya bertentangan dengan persetujuan yang telah dicapai oleh Presiden Bersatu dan PAS, dan dipersetujui oleh Presiden Gerakan dan MIPP.

“Kalau hendak buat keputusan sendiri, bertindak sendiri, lebih baik tidak perlu berbincang. Ini tindakan berniat jahat.

“Lebih jahat, proses perbincangan belum tamat tetapi telah menghukum Muhyiddin berbohong hanya kerana sekeping surat yang diutus oleh Hadi.

“Nampaknya ada orang yang sengaja throw spanner (mahu menggagalkan rancangan) kepada persetujuan yang telah dicapai oleh Muhyiddin dan Hadi untuk kebaikan PN,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS