Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Status 3 Adun Perlis dihentikan PAS jadi tanda tanya
Diterbitkan:  Feb 1, 2026 12:13 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Majlis Syura Ulamak PAS hari ini mengumumkan mereka menerima rayuan tiga Adun Perlis yang diberhentikan keahliannya oleh parti terbabit pada 24 Dis lalu.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang pada 27 Jan lalu di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur.

“Adalah dimaklumkan, mesyuarat Majlis Syura Ulama tersebut menerima rayuan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga ahli PAS Perlis dan menyerahkan kepada PAS Pusat untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hashim berkata, rayuan dikemukakan Saad Seman (Adun Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Adun Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Adun Guar Sanji).

Bagaimanapun kenyataan media Hashim yang dimuat naik di Facebooknya ditarik balik kira-kira sejam kemudian sekali gus menimbulkan tanda tanya akan nasib ketiga-tiga Adun terbabit.

Hantaran tersebut kemudian muncul semula beberapa jam kemudian, malah disertai dengan klip video Hashim.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya, tampil menjelaskan Majlis Syura Ulama menolak daripada membuat keputusan atas nama rayuan atas alasan ia di luar bidang kuasa badan tersebut.

“(Sebaliknya) merima borang permohonan ahli baru PAS daripada tiga mantan Adun tersebut dan diserah kepada Setiausaha Agung PAS untuk pertimbangan PAS Pusat," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Ahmad merupakan seorang daripada anggota badan tersebut.

Pada 24 Dis lalu, PAS memberhentikan keanggotaan Saad Seman, Fakhrul Anwar dan Mohd Ridzuan atas ‘kesalahan’ mengemukakan perakuan berkanun (SD) yang membawa kepada tersingkirnya Mohd Shukri Ramli dari jawatan menteri besar.

Mohd Shukri – yang merupakan anggota Jawatankuasa PAS Pusat dan Adun Chuping – berdepan dengan lapan SD. Lima lagi SD dikemukakan Adun Bersatu.

PAS menganggap kejatuhan Mohd Shukri melibatkan “pengkhianatan” namun Hashim dan Dewan Ulama PAS Perlis mengambil pendekatan lebih lunak dan menafikan ketiga-tiga Adun terbabit sebagai pengkhianat.

Hashim juga menganggap PAS bertindak gopoh apabila menghentikan keanggotaan Saad, Fakhrul Anwar dan Mohd Ridzuan.

Kejadian itu juga mengeruhkan lagi hubungan di antara PAS dan Bersatu.

Buka pintu maaf, bukan gopoh menghukum

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, pula mengukuhkan lagi kenyataan dibuat Ahmad.

“Ini keputusan sebenar Majlis Syura Ulama PAS seperti disahkan oleh Ketua Dewan Ulama yang hadir dalam mesyuarat tersebut,” tulisnya di media sosial.

Nurul Islam mengiringi hantaran tersebut dengan kenyataan dikeluarkan Ahmad.

Dalam hantaran awal, Hashim berkata, antara sebab rayuan ketiga-tiga Adun terbabit diterima ialah kerana berlandaskan prinsip agama iaitu semua orang yang beriman itu bersaudara, justeru mereka perlu didamaikan.

"Rahmat Allah dan islah diutamakan, bukan menyemarakkan nafsu amarah dalam jemaah.

“Manhaj Nabi Muhammad SAW dalam hukuman mendahulukan (mengutamakan) taubat, membuka pintu kemaafan, bukannya tergesa-gesa menghukum seperti hadis al-Ghamidiyyah dan Juhainah,” katanya.

Ahmad Yahaya

Menurut Hashim lagi, kaedah fikah menyebut bahawa sesuatu kemudaratan perlu dihilangkan.

“Apabila tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tiada wakil rakyat berfungsi, maka terhasillah kemudaratan awam yang jelas.

"Kebajikan rakyat tidak boleh dikorbankan demi ketegasan pentadbiran parti. Siasah syar‘iyyah matlamatnya menjaga kesatuan saf, memelihara kepercayaan dalaman serta mengurus khilaf tanpa memusnahkan jemaah.

“Rakyat pula tidak boleh menjadi mangsa konflik dalaman parti," katanya.

Dalam hantaran sama Hashim turut menekankan bahawa PAS memperuntukkan kuasa yang besar kepada majlis syura ulamak dan mursyidul am dalam perlembagaannya.

Langkah itu, kata Hashim, ialah untuk memelihara perlembagaan supaya dasar PAS dipatuhi dalam kegiatan dan pentadbirannya.

Majlis syura ulamak perlu membawa watak adil, pendamai dan pemaaf dalam menyatukan ahli PAS yang berpecah, khasnya di Perlis supaya tidak berterusan.

“Ulama tidak boleh menambah api permusuhan yang marak menyala.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS