Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) berpendapat isu rumah ibadat “haram" yang mencetuskan kontroversi perlu diselesaikan secara harmoni dan pada masa sama berlandaskan undang-undang.
Ketua Penerangan DHPP, Balachandran Gopal Krishnan berkata, ia selaras dengan tauladan Nabi Muhammad yang menekankan prinsip keadilan, hikmah, dan hidup bersama secara aman dalam masyarakat pelbagai agama.
"Sebagai sebuah sayap yang mewakili masyarakat bukan Islam dalam PAS, DHPP berpandangan pendekatan terbaik dalam isu seperti ini adalah dengan memastikan undang-undang dilaksanakan secara adil, konsisten, dan tanpa dipengaruhi sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.
"Undang-undang sedia ada memberikan kuasa yang jelas kepada pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah untuk menyiasat, mengeluarkan notis, dan mengambil tindakan sewajarnya. Di situlah ruang tindakan yang sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Balachandran turut membangkitkan Piagam Madinah yang memperakui hak komuniti bukan Islam untuk mengamalkan agama sendiri tanpa gangguan, selagi mana peraturan dipatuhi.
Terdahulu, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah menegaskan penyelesaian isu pencerobohan tanah melibatkan rumah ibadat bukan Islam perlu ditangani melalui pendekatan harmoni dan bukannya secara konfrontasi.
Menurut Fahmi, walaupun undang-undang sedia ada membolehkan tindakan eksekutif diambil secara pantas, namun faktor sejarah sesuatu kawasan perlu diambil kira demi menjaga kestabilan masyarakat berbilang kaum.
Dia diminta mengulas kes spesifik rumah ibadat bukan Islam yang dibina di atas tanah kerajaan dan swasta yang terus menjadi isu, khususnya gesaan agar kerajaan negeri bertindak lebih pantas dalam proses memindahkannya.
Antaranya melibatkan tapak gantian bagi sebuah kuil di PJS 4, Petaling Jaya yang dikatakan menceroboh tanah perkuburan Islam merupakan kawasan yang asalnya dizonkan untuk pembinaan surau.

Bagaimanapun semakan dengan Pejabat Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan tapak gantian itu dizonkan sebagai tapak rumah ibadat bukan islam (Ribi).
Menurut Fahmi, kerajaan negeri memilih untuk memberi masa kepada pihak kuil untuk berpindah memandangkan mungkin tiada keperluan lain yang mendesak untuk tanah tersebut.
Mengulas lanjut, Balachandran naratif awam berkaitan isu tersebut perlu dikendalikan dengan cermat agar tidak menimbulkan salah faham atau menyentuh sensitiviti mana-mana komuniti.
"DHPP ingin menegaskan sebarang isu berkaitan pembinaan struktur tanpa kebenaran, termasuk rumah ibadat, adalah perkara yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah, dan agensi penguat kuasa yang berkaitan.
“Tumpuan seharusnya diberikan kepada aspek pematuhan undang-undang dan penambahbaikan sistem pemantauan serta kelulusan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Ia sewajarnya ditangani melalui saluran peraturan serta penguatkuasaan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya lagi.
