Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, untuk mendapatkan pembebasan penuh daripada 47 pertuduhan rasuah melibatkan dana Yayasan Akalbudi pada 24 Februari ini.
Peguamnya, Hisyam Teh Pok Teik, mengesahkan perkara tersebut kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
Dia menambah bahawa pendengaran itu pada mulanya dijadualkan berlangsung hari ini, tetapi ditangguhkan ke tarikh baru memandangkan pihak pendakwaan memohon masa untuk menjawab beberapa hujahan daripada pihak Zahid.

Menurut Hisyam lagi, permohonan tersebut telah difailkan pada 28 Januari lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden, atas alasan utama iaitu Peguam Negara dalam satu kenyataan media pada 8 Januari lalu, memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan.
Peguam itu berkata ia berikutan sudah lebih dua tahun anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi.
"Jadi tak adil untuk seseorang itu, jika pertuduhan sentiasa tergantung atas kepala beliau. Dia perlu mencari kebenaran," katanya.
Zahid sebelum ini diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada 4 September 2023.
Hisyam berkata, permohonan itu yang turut disertakan dengan sijil perakuan segera untuk didengar, diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 30 Januari lalu dan Hakim Nurulhuda Nur'Ain Mohamad Nor kemudian menetapkan pada 24 Februari ini untuk pendengaran.
Sementara itu, Bernama melaporkan pada prosiding hari ini, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Badius Zaman Ahmad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memohon supaya pendengaran permohonan hari ini ditangguhkan kerana pihaknya baru menerima permohonan itu pada Jumaat lepas.
"Jadi pihak kami mohon penangguhan kerana perlu memfailkan afidavit jawapan terlebih dahulu," katanya dan pihak peguam tidak membantah perkara berkenaan.
Hakim Nurulhuda Nur’aini kemudian membenarkan prosiding pendengaran ditangguhkan serta memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan pada 13 Feb ini, dan menetapkan 24 Feb sebagai tarikh pendengaran.

Difahamkan, Ahmad Zahid akan hadir pada prosiding pendengaran itu.
Pada 8 Jan lepas, AGC dalam kenyataan media memaklumkan, tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid, selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.
Pada 12 Jan lepas, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan untuk mengklasifikasikan kes Ahmad Zahid sebagai tiada tindakan lanjut dibuat hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden Umno itu.
Mohd Dusuki berkata keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara 'suka-suka' dan jabatan itu tidak akan memberikan ‘No Further Action’ tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.
Pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
