Parti Putra hari ini memberi amaran bahawa cadangan menghidupkan semula pilihan raya perbandaran di Kuala Lumpur berisiko mencetuskan ketegangan kaum jika tidak dikendalikan dengan cermat.
Naib Presidennya Asmawar Samat berkata keterbukaan melampau dalam sistem itu boleh menyebabkan jawatan Datuk Bandar KL terlepas ke tangan warga asing pada masa hadapan, menyamai trend politik di United Kingdom.
"Seorang warga veteran berpandangan sinikal bahawa warga Bangladesh mungkin boleh menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur suatu hari nanti, melihat kepada apa yang berlaku di UK sekarang.
"Komposisi perwakilan yang tidak seimbang di bandar-bandar besar telah menjadi benih kepada perpecahan sehingga tercetusnya peristiwa hitam rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
"Cadangan pilihan raya sesuatu yang sukar diterima oleh orang Melayu-Islam, malah seperti menghidangkan Bak Kut Teh kepada komuniti tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Demikian katanya susulan kenyataan Menteri Wilayah Hannah Yeoh baru-baru ini mengenai kajian untuk pilihan raya datuk bandar bagi Kuala Lumpur.
Yeoh dilaporkan berkata, pilihan raya itu dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya melalui pilihan raya kerajaan tempatan.
Menurut Asmawar sejarah pemilihan perbandaran pada tahun 1962 pernah dihentikan kerana dikhuatiri menjejaskan perpaduan kaum akibat komposisi perwakilan yang tidak seimbang di kawasan bandar.
"Menteri tahu perkara ini. Hebat apakah ini? Hebat dapat membuat pernyataan cadangan yang lepas itu mendapat tentangan orang Melayu yang dianggap sebagai berhaluan kanan.
"Ingatkan menteri akan melabel Melayu berhaluan kiri, tapi kerana ramai juga wakil Melayu berada dalam kerajaan PH berhaluan kiri dan berjaya disenyapkan, maka yang di luar kerajaan dianggap sebagai Melayu berhaluan kanan.
"Harus diingat keperluan mempertahankan kebenaran berdasarkan perlembagaan dan sistem pentadbiran dan sosial yang telah tersusun rapi, walaupun ada sedikit kecacatan hasil kontrak sosial yang kurang kemas dan sering dipolitikkan," katanya.
"Hati-hati, kalau pilihan raya perbandaran di Kuala Lumpur dahulunya ternyata dianggap berbahaya umpama api dalam sekam, mengapa mahu dihidupkan semula api dalam sekam itu?" soalnya lagi.
Sebagai alternatif, Asmawar mencadangkan agar Kuala Lumpur yang kini dihuni sembilan juta penduduk dibahagikan kepada dua atau tiga kawasan pentadbiran Datuk Bandar bagi mengurangkan beban tugas yang terlalu luas.
Dia juga mendesak agar pemilihan ahli majlis tidak lagi didominasi oleh orang kuat parti politik, sebaliknya memberi ruang kepada pemimpin komuniti seperti Persatuan Penduduk, KRT dan NGO.
"Rakyat masih tertunggu sesuatu yang konkrit daripada PMX (Anwar Ibrahim), bukannya cadangan yang belum tentu mampu menghasilkan buah yang enak untuk rakyat," katanya.
