Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa kegagalan kawal selia kerajaan membolehkan aktiviti pemberi pinjaman berlesen mensasarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali gus mengancam keselamatan kewangan golongan hampir bersara.
Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir berkata, pemberi pinjaman yang beroperasi di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu kini secara terbuka menawarkan skim “pinjam dulu, bayar bila keluar KWSP” kepada pencarum berusia 53 hingga 55 tahun dengan kadar faedah yang tinggi.
Menurutnya, amalan itu menjadikan simpanan persaraan sebagai cagaran hutang, sedangkan pencarum sendiri masih berdepan sekatan ketat untuk mengeluarkan wang simpanan mereka.

“Pencarum yang terdesak meminta akses kepada wang titik peluh mereka sendiri disekat daripada membuat pengeluaran sewajarnya, sedangkan wang tersebut bukan dana kerajaan tetapi hasil simpanan dan pengorbanan pencarum.
“Sementara itu, aktiviti tidak bermoral oleh along bawah KPKT terus berlaku, menawarkan pinjaman dengan cagaran wang titik peluh pencarum, tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi mempersoalkan peranan KWSP, KPKT dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang didakwanya gagal bertindak walaupun promosi pinjaman berisiko tinggi itu berlaku secara meluas.
Katanya, apabila tiba tempoh pengeluaran KWSP, wang pokok dan faedah selama satu hingga tiga tahun akan dibayar terus kepada pemberi pinjaman, menyebabkan pencarum kehilangan sebahagian besar simpanan persaraan mereka.
“Aktiviti ini jelas bercanggah dengan objektif kerajaan untuk menjaga simpanan persaraan pencarum secara beretika dan bertanggungjawab.
“PGIRM menegaskan bahawa melindungi simpanan persaraan bukan sekadar pada kertas, tetapi perlindungan sebenar termasuk memastikan pencarum tidak menjadi mangsa skim pinjaman tidak bermoral,” katanya.

Azmi berkata, bahawa apa yang belaku bukan perlindungan persaraan, sebaliknya membiarkan ahlong berlesen meraih keuntungan atas keputusasaan pencarum yang hampir bersara.
Justeru, NGO itu juga menuntut penjelasan terbuka daripada KWSP, KPKT dan MCMC mengenai bagaimana aktiviti sedemikian dibenarkan berterusan tanpa penguatkuasaan yang tegas.
Azmi turut menggesa kerajaan menyemak semula dasar perlindungan pencarum, sambil memberi amaran bahawa kegagalan bertindak akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara.
“Jika kerajaan serius mahu melindungi persaraan rakyat, ia tidak boleh membiarkan pencarum dipaksa memilih antara hutang berisiko tinggi atau kelangsungan hidup,” katanya lagi.
