Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh mahu menunaikan janji reformasi kerajaan Madani.
Sebagai menteri yang baru dilantik menjaga Wilayah Persekutuan, dia sangat faham bahawa pengenalan pilihan raya bagi datuk bandar dan ahli majlis bandar raya di KL sudah lama diperkatakan.
Partinya, DAP, meletakkan agenda memilih datuk bandar dan ahli majlis bandar raya di KL sebagai sebahagian daripada program reformasi yang lebih besar.
Mengadakan pilihan raya untuk ahli majlis bandar raya dan datuk bandar di KL sebenarnya lebih mudah diucap daripada dilaksanakan.
Terdapat cadangan pada masa lalu, namun konfigurasi etnik dan hala tuju undi membantutkan perbincangan serius mengenai pilihan raya itu.
Yeoh, sebagai menteri populis, sangat faham bahawa terdapat kekuatan politik yang menentang habis-habisan pilihan raya majlis bandar raya dan datuk bandar Wilayah Persekutuan.
Daripada menyatakan secara terus terang bahawa perlu ada pilihan raya bagi jawatan datuk bandar DBKL, dia tampil dengan cadangan lebih diplomatik iaitu menjalankan kajian sama ada pilihan raya sedemikian boleh dilaksanakan. Dia menolak pilihan raya segera bagi ahli majlis bandar raya dengan menyifatkannya sebagai kompleks.
Yeoh sangat faham akan wujud tentangan hebat terhadap idea pilihan raya datuk bandar di KL. Dia tahu jika ada tentangan terhadap kajian sekalipun, dia boleh berpusing dan menyatakan bahawa dia sudah mencuba tetapi gagal.
Sama ada Yeoh sedar atau tidak, cadangan untuk mengkaji idea memilih datuk bandar KL itu pun sudah menerima tentangan.
Malah sebelum sebarang kajian dimulakan — dengan andaian Yeoh serius mengenainya — Umno sudah pun membentuk sekretariat untuk menentang bukan sahaja kajian tersebut, tetapi idea pilihan raya bagi jawatan datuk bandar majlis bandar raya Kuala Lumpur itu sendiri.
Pemimpin Umno mengisytiharkan bahawa mereka akan menentang pilihan raya bagi jawatan datuk bandar di KL, sama seperti mereka menentang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Yeoh memahami sentimen konservatif Melayu-Islam di sebalik penentangan terhadap pilihan raya datuk bandar di Wilayah Persekutuan.
Mengetahui perkara ini dengan baik, dia mahu menguji penerimaan dengan mencadangkan kajian mengenai perkara itu.
Kini, dengan penentangan keras daripada Umno, dia boleh berpusing dan menyatakan bahawa jika kajian mengenai subjek itu pun dianggap tidak boleh diterima oleh pihak konservatif, maka idea pilihan raya mungkin tidak dapat dicapai.
Bagi Yeoh, dia tidak boleh disalahkan kerana tidak cuba melaksanakan dasar memilih datuk bandar KL. Bagaimanapun, dia mahu meneruskannya secara tidak langsung.
Bagi Yeoh, pilihan raya datuk bandar adalah mengenai membina naratif politik sambil sedar sepenuhnya tentang penentangan terhadapnya. Sekarang, dengan Umno khususnya menolak idea itu, dia mungkin terpaksa menggugurkan subjek tersebut sepenuhnya.
Bagi Umno yang mahu menjenamakan semula dirinya sebagai parti politik yang relevan untuk orang Melayu, penentangan terhadap kajian pilihan raya datuk bandar untuk majlis bandar raya Kuala Lumpur tidak memberi petanda baik bagi perkembangan masa depannya.
P RAMASAMY ialah pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) dan bekas pemimpin DAP yang keluar parti.
Tulisan ini diterjemah dari versi bahasa Inggeris dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
