Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Na’imah Abdul Khalid untuk memfailkan permohonan rasmi jika dia ingin meneruskan perintah larangan bercakap terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Hakim Azura Alwi berkata demikian kepada peguam Na’imah, Rajesh Nagarajan, hari ini selepas mendengar permohonan lisan balu Daim Zainuddin itu yang memohon perintah larangan terhadap Anwar pagi tadi.
“Saya tidak akan membuat sebarang keputusan (atas permohonan ini) hari ini. Jika anda (ingin meneruskan), anda boleh memfailkan permohonan rasmi,” katanya dalam prosedur pengurusan kes tersebut hari ini.
Terdahulu, Rajesh mengemukakan lima alasan secara lisan untuk mendapatkan perintah larangan berkenaan. Antara lain dia berpendapat kenyataan awam Anwar - seperti dilaporkan dalam media antara Ogos 2024 hingga Julai tahun lalu - melibatkan tertuduh dan keluarganya.
“Kami mempunyai lima alasan (mengenai) mengapa kami memohon campur tangan kehakiman (iaitu kenyataan-kenyataan ini adalah) subjudis, penyalahgunaan proses, hak untuk perbicaraan yang adil, kebebasan pendakwaan dan prejudis terhadap pihak pembelaan," katanya.
Tambah peguam berkenaan, Anwar bukanlah orang biasa dan sebarang kenyataan yang dikeluarkan memberi kesan besar dan boleh memberi pengaruh terhadap persepsi awam.
Anwar, kata Rajesh, juga boleh mempengaruhi saksi dan persekitaran keadilan di negara ini.
Justeru, katanya, tanpa larangan bersuara ke atas perdana menteri, Na'mah akan 'dibicarakan' melalui pandangan awam yang sama sekali tidak adil.
"Mahkamahlah yang mesti memutuskan nasib tertuduh, dan bukannya ahli politik,” katanya.
Komen sekadar bersifat umum
Rajesh mendakwa ulasan terbuka Anwar yang berterusan merupakan gangguan terhadap proses kehakiman.
Katanya mahkamah berdepan ujian sama ada tindakan oleh perdana menteri itu berisiko mewujudkan ketidakadilan yang sebenar atau membawa keburukan baru kepada pentadbiran keadilan.
“Prejudis sebenar mungkin tidak dapat dibuktikan (tetapi) prejudis yang difahami sudah memadai.
“Memang menjadi pendirian kami bahawa jelas (bahawa) disebabkan oleh kedudukan perdana menteri sebagai ketua eksekutif, akan ada prejudis yang melampau terhadap tertuduh.
"Dan mahkamah ini ada bidang kuasa yang wujud untuk mencegah penyalahgunaan proses," katanya.
Sementara itu, Mohd Fadhly Mohd Zambry yang bertindak sebagai timbalan pendakwa raya berhujah, pihak pendakwaan amat terkejut dengan permohonan dibuat Na'mah kerana mereka hanya dimaklumkan mengenainya lima minit sebelum prosiding bermula.
Mohd Fadhly kemudian menyangkal Rajesh dengan mengatakan bahawa tiada bukti kukuh membuktikan komen Anwar - merujuk 17 laporan media - memadai untuk membuktikan Na'imah mungkin tidak mendapat perbicaraan yang adil.
Hal itu kerana, katanya, perbicaraan belum dilangsungkan dan pihak yang terbabit belum mengemukakan pembelaan, manakala pihak pendakwaan belum mengemukakan sebarang bukti di mahkamah.
"Berdasarkan perkara ini, dakwaan (tertuduh) bahawa akan ada ketidakadilan di pihak pendakwaan dalam menjalankan (kes) hanyalah andaian.
"Komen-komen tersebut bersifat umum, melibatkan pertuduhan di mahkamah.
“Ia tidak bermaksud mempersoalkan sebarang perbicaraan yang telah berlangsung atau bukti yang dikemukakan dalam kes ini,” katanya.

Na’imah, 69, didakwa pada 2024 atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Wanita terbabit sebelum itu diarah untuk mendedahkan asetnya.
Dia dituduh mengikut seksyen 36(2) akta tersebut yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000.
Aset yang didakwanya tidak didedahkan melibatkan pelbagai tanah, hartanah, dan kenderaan Mercedes-Benz.
Sementara itu, terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk mendengar permohonan Na’imah yang cuba mencabar sekali lagi beberapa peruntukan dalam Akta SPRM 2009.
Dia memfailkan permohonan itu pada 2024 dengan mendakwa beberapa peruntukan dalam akta tersebut melanggar hak perlembagaannya berkaitan dengan pertuduhan ke atas aset yang didakwa tidak didedahkan.
Mahkamah pada mulanya dijadualkan untuk mengemukakan soalan untuk rujukan Mahkamah Persekutuan hari ini.
Namun hakim Mohd Emran Ariffin memutuskan untuk mendengar hujah daripada peguam, Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au, serta pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Wan Shaharuddin Wan Ladin, Law Chin How dan Mohd Fadhly sekali lagi.
Ia diputuskan begitu walaupun hakim K Muniandy telah membenarkan permohonannya pada tahun lalu.
Mohd Emran berkata permohonan Na’imah perlu didengar selaras dengan Seksyen 84 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 kerana dia perlu menentukan sama ada persoalan perlembagaan yang dicadangkan itu melepasi ambang di bawah seksyen atau sebaliknya sebelum ia dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 dan 13 Mac untuk mendengar permohonan tersebut.
