Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi selar 'ceplos' PKR, sekolahkan Fahmi, JKOM isu kawal persepsi rakyat
Diterbitkan:  Feb 3, 2026 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kembali mencetuskan polemik panas apabila secara terbuka membidas jentera penerangan kerajaan dan parti yang didakwanya gagal menguruskan persepsi rakyat dengan matang.

Dalam kenyataan terbarunya, Rafizi yang sebelum ini sering dilabel sebagai "Raja Formula", kini mendakwa dirinya menjadi sasaran gelaran baharu iaitu "Raja Bitter" oleh pihak yang tidak senang dengan pandangan kritikalnya terhadap pentadbiran Madani.

Bagaimanapun dia menyifatkan serangan peribadi tersebut sebagai taktik lapuk yang diwarisi daripada zaman Umno/BN dan penyokong PAS, yang kini menurutnya mula diamalkan oleh "ceplos-ceplos" di dalam partinya sendiri, PKR.

“Saya dah masak kena kecam macam-macam. Raja Formula pun pernah, sekarang Raja Bitter pulak.

“Bila apa yang saya utarakan itu fakta atau hujah yang mereka tidak boleh sangkal, mereka serang peribadi. Kononnya saya berdendam, sakit hati dan kecewa. Bitter la kononnya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ceplos merujuk kepada penyokong tegar yang mengikut arahan pemimpin secara membuta tuli atau mengiyakan sahaja kata-kata pemimpin tanpa usul periksa.

Tak laku buat Gen Z

Mengulas lanjut, Rafizi memberi amaran bahawa pendekatan menyerang peribadi atau menggunakan label menghina tidak akan berkesan untuk jangka masa panjang, terutamanya dalam memikat hati pengundi atas pagar dan generasi muda atau Gen Z.

Katanya, kumpulan pengundi ini tidak mempunyai kesetiaan membuta tuli kepada mana-mana parti dan mempunyai kecenderungan untuk beralih arah (swing) pada bila-bila masa.

“Pengundi Gen Z lagi kuat swing mereka. Hari ini mereka boleh suka, esok mereka tak suka.

“Paling baik dengan pengundi atas pagar dan Gen Z ialah memberikan pencerahan yang disertakan dengan hujah bersandarkan fakta. Mereka akan buat keputusan sendiri,” katanya.

Budaya 'jumloh ceplos' dalam PKR

Ahli Parlimen Pandan itu turut melancarkan kritikan tajam terhadap dinamika dalaman PKR.

Dia mendakwa wujud kecenderungan dalam pimpinan parti untuk menggunakan "ceplos-ceplos" bagi menyingkirkan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan berbeza melalui perubahan sistem dan peraturan parti.

“Dalam PKR, kalau pimpinan kurang selesa dengan pandangan berbeza, pimpinan akan ambil tindakan, keluar pekeliling, ambil tindakan disiplin.

“Kalau rasa susah nak kuasai sokongan, tukar sistem... semua boleh ditukar untuk menendang sesiapa yang tidak serasi dengan pandangan mereka, sebab cukup jumloh ceplos dalam parti yang sanggup menjulang apa-apa yang disebut pimpinan,” katanya dengan nada sinis.

Sekolahkan Fahmi dan JKOM

Tidak terhenti di situ, Rafizi turut "menyekolahkan" Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) mengenai cara yang betul untuk mengemudi persepsi rakyat.

Bekas menteri ekonomi itu menasihatkan agar jentera kerajaan berhenti bergantung kepada troll farm atau akaun palsu, sebaliknya mula menggunakan data kualitatif dan kuantitatif untuk menguji naratif di medan media sosial.

“Saya nak bagi tip kepada Fahmi Fadzil dan JKOM. Gunakan data untuk kenal pasti naratif yang ada tindak balas rakyat.

“Kalau saya kata persepsi tentang rasuah semakin buruk di bawah Madani, perkara itu telah diuji secara kuantitatif, kualitatif dan terbukti di medan media sosial. Tugas jentera komunikasi kerajaan ialah memperbaiki persepsi rakyat itu, bukannya beri label Raja Bitter,” sindirnya.

Dia mengakhiri kenyataannya dengan pesanan pedas kepada strategi komunikasi PKR yang didakwa masih bergantung kepada sokongan membuta tuli.

“Satu-satunya kaedah yang berjaya ialah dengan memberi hujah dan fakta yang boleh mematahkan hujah lawan.

“Tapi kalau strategi komunikasi PKR terus bergantung harap kepada ceplos-ceplos yang ada, selamat maju jaya lah korang!” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS