Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Status 'selebriti' bukan alasan perogol diberi simpati

ULASAN | Pada 23 Jan lalu seorang peserta siri realiti TV, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, diperintah untuk dihantar ke Penjara Kajang serta-merta bagi menjalani hukuman penjara 10 tahun.

Dia disabitkan bersalah atas tuduhan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.  

Syed Shah didapati bersalah selepas menjalani proses perbicaraan dan Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan dia untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terdahulu – yang ditetapkan mahkamah sesyen pada 30 Ogos 2024.

Apabila mahkamah menolak permohonan penangguhan hukuman, jelas menunjukkan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah sangat serius.

Pun begitu amat menghairankan apabila masih ada ramai peminat membelanya di media sosial.  Tidak ada manusia yang waras tidak membenci jenayah rogol.  Justeru tindakan sesetengah pihak yang menyalahkan mangsa – dan bukan perogol – sebenarnya boleh mendatangkan trauma berpanjangan.

Apakah yang dikatakan rogol berdasarkan undang-undang?

Rogol ialah suatu kesalahan yang diperuntukkan dalam seksyen 375 Kanun Keseksaan.  Kesalahan tersebut boleh dihukum mengikut seksyen 376(1) akta yang sama.

Jika disabitkan dengan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga  20 tahun serta hendaklah dihukum dengan sebat.

Peranan penting masing-masing

Seseorang lelaki dianggap melakukan "rogol" jika ia – kecuali dalam hal yang dikecualikan kemudian daripada ini – bersetubuh dengan seseorang perempuan dalam keadaan yang termasuk mana-mana keadaan berikut:

(a) bertentangan dengan kemahuan perempuan itu;
(b) dengan tiada kerelaan perempuan itu;
(c) dengan kerelaan perempuan itu tetapi kerelaannya diperoleh dengan mendatangkan kepada mangsa atau mana-mana orang lain ketakutan mati atau cedera, atau melalui salah tanggapan fakta, dan lelaki terbabit tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kerelaan itu diberi akibat dari salah tanggapan tersebut;
(d) dengan kerelaan perempuan itu tetapi si lelaki tahu bahawa dia bukan suami mangsa, dan kerelaan itu diberi kerana perempuan terbabit percaya lelaki berkenaan ialah lelaki yang menjadi atau yang dipercaya menjadi suaminya yang sah di sisi undang-undang, atau yang kepadanya dia akan memberi kerelaan;
(e) dengan kerelaannya, jika pada masa memberi kerelaan itu perempuan berkenaan tidak boleh memahami jenis dan akibat mengenai tindakannya;
(f) dengan kerelaan perempuan itu yang didapati dengan menggunakan kedudukannya yang berkuasa ke atas perempuan terbabit, atau atas sebab hubungan profesional, atau hubungan amanah lain yang berkaitan dengannya;
(g) sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak ketika perempuan terbabit berusia kurang daripada 16 tahun.

Seorang lelaki juga boleh dituduh dan disabitkan dengan hukuman merogol jika hubungan seks dengan kerelaan berlaku membabitkan perempuan berusia bawah umur 16 tahun.

Secara perundangan perkara utama yang perlu dibuktikan oleh pendakwa dalam perbicaraan rogol ialah:

(a)   tertuduh melakukan hubungan seks dengan mangsa
(b)   hubungan tersebut berlaku tanpa kerelaan mangsa (kecuali melibatkan perempuan berumur 16 tahun dan ke bawah, aspek kerelaan tidak diambil kira).

Kedua-dua elemen penting ‘mesti’ dibuktikan semasa perbicaraan melalui bukti-bukti dan saksi-saksi pendakwaan.

Justeru saksi-saksi berikut memainkan peranan penting:

(a)   pakar-pakar perubatan yang memeriksa mangsa yang boleh membuktikan berlakunya hubungan kelamin tersebut atau tidak, dan sama ada hubungan kelamin tersebut dilakukan dengan atau tanpa kerelaan;
(b)   Pakar-pakar perubatan boleh mengesahkan identiti tertuduh dengan tepat apabila DNA tertuduh diperolegi di tempat kejadian mahupun di dalam kemaluan mangsa.

Dalam kes selebriti TV itu, pendakwa berjaya membuktikan bahawa berlaku “hubungan seks” yang diakui oleh tertuduh dan mangsa, serta hubungan tersebut berlaku secara paksa dan tanpa kerelaan mangsa.

Ambil kesempatan dari kemurungan

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Adlin Abdul Majid, memutuskan untuk menolak rayuan tertuduh selepas mendapati sabitan dan hukuman yang diputuskan mahkamah sesyen adalah selamat.

Hakim juga mengambil kira faktor kesalahan mengikut seksyen 376(1) itu yang dianggap serius.

Dalam pembelaannya Syed Shah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, malah ia hanya bersifat penafian semata-mata.

Selain itu mahkamah mendapati wujud percanggahan dalam keterangannya mengenai kejadian yang berlaku.

Kita wajar berasa kecewa apabila ramai yang menjadi ‘pembela’ kepada seseorang yang sudah disabitkan bersalah merogol oleh mahkamah. Lebih menyedihkan ialah ‘pembela’ itu kebanyakannya adalah wanita.  

Melihat kepada penghakiman yang dibuat, ia memang tepat, namun tidak keterlaluan untuk menganggap sebenarnya ada orang yang berharap hukuman berkenaan ditetapkan lebih berat.

Seorang perogol ialah penghancur masa depan seseorang dan meletakkan mangsa dalam trauma berpanjangan.

Kes-kes terdahulu menunjukkan kejadian rogol boleh berlanjutan sehingga menjadi kes liwat dan dibunuh.

Dalam kes Syed Shah tadi, dia mengambil kesempatan ke atas seorang penderita gangguan kemurungan utama (major depressive disorder) iaitu keadaan kesihatan mental yang serius.

Kerana itu jika kita merujuk kepada penghakiman setebal 77 halaman yang dibuat hakim, sukar untuk memahami mengapa masih ada pihak yang begitu bersimpati terhadap tertuduh dan pada masa sama menyalahkan mangsa.


SHAHRAY ZULKIFLI ialah pernah bertugas sebagai peguam syarie di Brunei Darussalam sebelum bersara pada hujung 2023. Dia kini menjadi penulis dan penceramah bebas dalam bidang undang-undang keluarga Islam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS