ULASAN | Pameran koleksi tetap, Cinta Buatan Malaysia 1979-1989 merupakan projek penting yang sedang dipamerkan di Balai Seni Negara di Kuala Lumpur.
Ia membuka lembaran sejarah dan perkembangan seni visual serta budaya Malaysia sepanjang dekad 1979 hingga 1989, yakni satu era yang dianggap penuh perubahan sosial, ekonomi dan estetik dalam negara.
Pameran itu adalah sebahagian daripada koleksi tetap Balai Seni Negara dan kumpulan karya yang dipilih untuk menceritakan peristiwa seni dan budaya Malaysia dalam era satu dekad.
Ia bukan pameran sementara yang biasa-biasa, sebaliknya sebuah penceritaan sejarah yang dirangka melalui koleksi seni visual dan bahan-bahan lain yang penting dari arkib institusi tersebut.
Kata Cinta Buatan Malaysia mula diperkenalkan oleh kumpulan Search melalui album pertama mereka, namun dalam konteks Balai Seni Negara, ia membawa makna bahawa pameran tersebut mahu menonjolkan kreativiti, pengalaman, dan identiti tempatan dalam bentuk seni visual dan budaya.

Dan dengan secara sedar ia mengangkat pengalaman tempatan sebagai bahan penceritaan yang penting.
Ia juga mencerminkan cara institusi melihat kembali sejarah seni tempatan dari perspektif yang lebih buatan sendiri atau dibentuk oleh latar belakang Malaysia, bukan sekadar pengkisahan yang diimport.
Era 1979 hingga 1989 merupakan dekad yang menarik dalam perkembangan seni dan budaya negara.
Pada waktu itu negara melalui perubahan perindustrian, sosial dan politik yang memberi impak besar terhadap kisah visual seni.
Pemikiran seni tempatan juga berkembang apabila ramai artis mula meluahkan identiti, perasaan dan pengalaman masing-masing melalui pelbagai medium.

Cinta Buatan Malaysia memilih kumpulan bahan untuk memperlihatkan alur sejarah visual zaman tersebut secara menyeluruh.
Ia dirancang dengan beberapa objektif jelas seperti mendokumentasikan dan memaparkan karya serta bahan budaya visual yang berkaitan dengan era tersebut.
Ia juga menunjukkan hubungan seni dengan masyarakat – termasuk cara karya seni mencerminkan keadaan sosial, budaya, dan ekonomi pada masa itu.
Cerita di sebalik lukisan
Di samping itu, pameran berkenaan juga menawarkan cara baru melihat sejarah visual Malaysia yang bukan hanya sebagai koleksi objek tetapi naratif yang saling berkaitan.
Cinta Buatan Malaysia juga mengangkat pengalaman tempatan sebagai sebahagian daripada pemahaman kolektif terhadap perubahan seni visual di Malaysia.
Pameran tersebut disusun dalam beberapa segmen utama yang membantu penonton memahami era tersebut dari pelbagai sudut.
Setiap segmen membawa kisah tersendiri, yang jika digabungkan, menjadi gambaran besar tentang sejarah seni dan budaya Malaysia pada dekad berkenaan.
Antara segmen yang diketengahkan ialah Bakat Muda Sezaman yang menonjolkan artis generasi awal yang memberi impak pada dekad 1980‑an.

Segmen Dunia Filem pula menjelaskan hubungan seni visual dengan sinema dan bagaimana media bergerak turut mencerminkan budaya bangsa, manakala segmen Perintis dan Peneraju Semangat Zaman mengkaji tokoh seni dan pemikir yang membentuk naratif estetika pada era 1979–1989.
Segmen lain ialah Jaringan Asean, Sukan, Mural Ikonik Ibrahim Hussein dan Lokasi dan Ruang.

Susunan segmen-segmen itu bukan saja menunjukkan karya seni berkaitan, tetapi situasi sosial di sebalik karya tersebut – bagaimana ia lahir dan bagaimana ia menyentuh kehidupan masyarakat pada ketika itu, misalnya.
Pameran berkenaan termasuk pelbagai jenis bahan visual yang berasal dari koleksi tetap Balai Seni Negara. Ia termasuk medium cat minyak, cetakan dan grafik, fotografi dan juga instalasi.
Kumpulan medium berkenaan dipilih untuk memberi gambaran lengkap tentang cara artis dan pembuat budaya melihat dunia mereka sendiri pada masa itu melalui sudut pandangan, pengalaman dan pengaruh persekitaran.
Cinta Buatan Malaysia bukan sekadar paparan seni. Ia turut berfungsi sebagai dokumen visual sejarah bagi membantu generasi kini memahami sejarah rasa seni Malaysia berdasarkan pengalaman sendiri sebagai bahan yang bernilai.
Ia juga menjadi bahan cerita tentang impian orang banyak dan bukan sekadar objek keindahan semata-mata.
Penonton bukan sekadar melihat karya tetapi memahami komuniti dan budaya yang menjadi sebahagian dari isi karya yang dipamerkan.
