Cadangan memperkenalkan pilihan raya bagi memilih datuk bandar Kuala Lumpur terus menerima bantahan kumpulan pendesak Melayu.
Terbaru Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyatakan bantahan mereka atas dakwaan tidak selari dengan kerangka undang-undang sedia ada, serta berpotensi menjejaskan tadbir urus Wilayah Persekutuan.
"DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) bukan pihak berkuasa tempatan yang wujud di bawah kuasa undang-undang negeri, tetapi merupakan suatu entiti pentadbiran Persekutuan.
“Maka, tidak timbul sebarang keperluan perlembagaan atau statutori untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi DBKL," kata Pengerusi Pembela Zainul Rijal Abu Bakar yang juga seorang peguam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh awal bulan ini mengumumkan bahawa dia mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian mengenai kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur.

Katanya, kementerian sedang mempertimbangkan pilihan raya sedemikian kerana ia dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya melalui pilihan raya kerajaan tempatan.
Yeoh turut berkata satu kajian berasingan mengenai pilihan raya kerajaan tempatan akan dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dengan dapatan dijangka diumumkan pada Mac dan akan didedahkan kepada umum.
Zainul menambah bahawa pelantikan datuk bandar dan ahli majlis DBKL oleh pihak berkuasa Persekutuan merupakan pelaksanaan kuasa eksekutif yang sah di sisi undang-undang dan tidak bercanggah dengan prinsip demokrasi berperlembagaan.
Pertindihan mandat
Zainul menjelaskan bahawa pelaksanaan pilihan raya tersebut berisiko mewujudkan pertindihan mandat antara datuk bandar yang mempunyai legitimasi politik dengan kerajaan Persekutuan yang memegang kuasa terhadap tanah, kewangan, dan keselamatan.
Katanya, sebagai ibu negara yang menempatkan institusi Persekutuan dan misi diplomatik asing, pentadbiran Kuala Lumpur melibatkan pertimbangan keselamatan nasional yang melangkaui kepentingan tempatan semata-mata.
"Sekiranya datuk bandar dipilih melalui pilihan raya, prinsip tanggungjawab menteri akan terjejas kerana timbul persoalan pihak manakah yang harus dipertanggungjawabkan kepada Parlimen sekiranya berlaku kegagalan pentadbiran atau dasar," jelasnya.

Sebagai alternatif, Zainul mencadangkan agar pembetulan terhadap kelemahan tadbir urus dilakukan melalui mekanisme sedia ada seperti pengukuhan audit, akauntabiliti, dan pengawasan Parlimen tanpa perlu memperkenalkan pilihan raya tempatan.
Dia turut menegaskan bahawa penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan sejak 1965 adalah berdasarkan pertimbangan kestabilan negara dan sistem pelantikan sedia ada tidak pernah diputuskan oleh mahkamah sebagai bercanggah dengan perlembagaan.
Ketika ini, Kuala Lumpur dan DBKL berada bawah kawalan persekutuan, dengan bandar raya itu ditadbir oleh seorang datuk bandar yang dilantik kerajaan.
Pengkritik berpendapat struktur ini menumpukan kuasa yang besar kepada datuk bandar, dengan semak dan imbang yang terhad berbanding majlis tempatan lain.
Bagaimanapun, parti-parti politik berteras Melayu berideologi kanan menentang pilihan raya kerajaan tempatan, dengan alasan ia akan menghakis kuasa Melayu di kawasan bandar yang majoritinya bukan Melayu.
