PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kawasan seluas 5,207 hektar yang dituntut oleh Indonesia baru-baru ini bukan merupakan milik mana-mana negara sebelum ini.
Ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menjelaskan bahawa kawasan tersebut tidak boleh dianggap sebagai milik mana-mana negara memandangkan status pemilikan tanah itu tertakluk kepada rundingan dan "sempadan yang masih belum dimuktamadkan".
Justeru, katanya laporan media bahawa Malaysia menyerahkan tanah berkenaan kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan adalah tidak benar dan satu penipuan.


“Kawasan OPB (Masalah Sempadan Tertangguh) sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai kawasan milik mana-mana negara.
“Kerana kawasan itu merupakan kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dulu lagi.
“Saya ingin menegaskan bahawa penentuan sempadan tidak bersandarkan pada prinsip pampasan atau timbal balik atau untung rugi sepertimana didakwa, sebaliknya penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia adalah bersandarkan kepada konvensyen dan perjanjian seperti yang dijelaskan,” kata Anwar pada sesi penerangan khas Parlimen mengenai Isu Jajaran Sempadan Malaysia-Indonesia, di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana menteri turut menegaskan, kedua-dua negara, Malaysia dan Indonesia terikat dengan perjanjian yang dimeterai sejak 1915.
"Dakwaan Malaysia serah seluas 5,207 hektar sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan penipuan, kalau pun tidak dengan niat jahat sama sekali.
"Jadi sebab itu kita harus terikat dengan perjanjian dan yang (kawasan) dipertikai itu, saya lihat di peta di bahagian bawah adalah kawasan dari awal sejak (perjanjian) 1915 ditekankan dalam semua rekod kita.
"Itu tidak kita sahkan tapi tak pernah kita tuntut sebagai milik Malaysia," katanya.
Menurut perdana menteri, berdasarkan rekod seawal 1919, kawasan seluas 5,207 hektar itu tidak pernah disahkan sebagai milik Malaysia dan tidak pernah dituntut sebagai wilayah negara.
“Pendirian kerajaan adalah jelas bahawa segala penentuan sempadan hendaklah berasaskan perjanjian dan konvensyen yang sah.
“Malaysia juga amat menghormati kesepakatan bersama antara Malaysia dan Indonesia dalam menentukan sempadan darat antara kedua-dua negara,” katanya.
Justeru, Anwar meminta semua pihak supaya berhati-hati dan berhemah dalam mengeluarkan kenyataan serta tidak menjadikan isu berkenaan sebagai bahan politik sempit sehingga boleh menjejaskan kepentingan Malaysia dan hubungan baik dua hala antara kedua-dua negara.
Dia berkata kerajaan tidak dapat menerima kenyataan sesetengah pihak yang disifatkan menghina usaha negara termasuk pengorbanan pegawai yang terlibat dalam melaksanakan tugasan lapangan bagi menyelesaikan isu persempadanan dengan negara jiran berkenaan.
"Kita harus menggunakan kesempatan ini juga untuk mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada pegawai-pegawai di bahagian hal ehwal persempadanan, topografi, Jabatan Peguam Negara, pemetaan serta anggota tentera yang terpaksa meredah hutan belantara bagi memastikan peta itu dapat dimuktamadkan.

"Jadi saya harap, walaupun pembangkang memilih untuk tidak menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai terlibat...tidak perlulah mengeluarkan kenyataan biadab dan menghina.
“Jika tidak tahu (mengenai sesuatu isu) bertanyalah dan jangan maki hamun," katanya.
Perdana menteri juga menegaskan rundingan persempadanan Malaysia-Indonesia masih berjalan dan melibatkan beberapa perkara sensitif yang belum dimuktamadkan.
Ini, katanya, termasuk isu lima kawasan sempadan darat, kawasan intertidal di sektor Sabah-Kalimantan Utara serta empat kawasan OBP di sektor Sarawak-Kalimantan Barat.
Dia berkata proses rundingan dan pengukuran sempadan itu telah berjalan selama 47 tahun sejak 1977 dan diselesaikan berperingkat, namun kerajaan berpandangan proses berkenaan harus disegerakan untuk menjaga hubungan baik antara kedua-dua negara berdasarkan perjanjian dan konvensyen antarabangsa.
“Dalam semua rundingan melibatkan Sabah dan Sarawak, wakil Kerajaan Negeri Sabah, termasuk Pejabat Ketua Menteri, Pejabat Peguam Negeri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta agensi berkaitan, telah dilibatkan sepenuhnya.
“Setiap inci tanah dirunding dan dipersetujui sebelum dimuktamadkan di peringkat kerajaan dengan kerajaan Indonesia,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menolak dakwaan bahawa kerajaan telah menyerahkan kawasan Ambalat, sambil menegaskan perkara itu belum dimuktamadkan dan menyifatkan tuduhan berkenaan dibuat tanpa merujuk fakta serta data yang tepat.
Dia turut membidas kenyataan yang menuduhnya khianat kepada negara dan menegaskan perkara itu perlu diperbetulkan.
“Hal-hal yang menyentuh kepentingan negara termasuk sempadan haruslah dibincang dengan cara berhemah. Saya tidak ada masalah (dengan) mana-mana ahli pembangkang untuk bertanya, tetapi saya bantah keras tuduhan dan fitnah menyatakan kita khianat kepada negara.
“Jadi sebaiknya kerana saya telah bentangkan dengan fakta dan peta, teliti semula... ada bahagian yang belum dimuktamadkan dan ada yang sudah,” katanya.
Mengulas mengenai hubungan dua hala, perdana menteri berkata Malaysia dan Indonesia telah mengekalkan kerjasama baik dalam isu persempadanan sejak sekian lama.
“Kita kena jaga hubungan kita dengan Indonesia sejak 1974 itu sangat baik.
“Kita boleh berbeza pendapat, tapi jangan menjatuhkan hukuman dan jangan juga menyinggung perasaan rakan-rakan kita di Indonesia yang berusaha menjadikan hubungan antara kedua-dua negara sangat baik dan akrab,” katanya lagi.
