Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima menghadap seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pertama yang berjaya menamatkan pengajian ketika menjalani hukuman di penjara.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Selangor Royal Office, pertemuan seumpama itu kali pertama diadakan membabitkan Sultan Sharafuddin bersama bekas banduan yang mendapat pengampunan baginda sempena Hari Keputeraan baginda pada 2024.

Pertemuan di sebuah hotel di Shah Alam hari ini bukan sekadar pertemuan protokol biasa, malah ia menjadi saksi kepada satu naratif kemanusiaan yang cukup luar biasa.
Buat pertama kalinya, Sultan Sharafuddin, berkenan menerima menghadap seorang insan yang pernah kehilangan kebebasannya selama lebih dua dekad — Dr Malik Yatam.
Pertemuan yang berlangsung selama hampir satu jam itu diselubungi suasana hening dan penuh emosi. Bagi Malik, ia adalah detik yang tidak pernah terbayang di ruang fikirannya ketika meringkuk di sebalik tembok batu lebih dua dekad lalu.
Sinar hari ini
Mengimbas kembali sejarah hitam yang membawa kepada sinar hari ini, Malik mula menjalani hukuman sejak tahun 2001 ketika beliau baru berusia 14 tahun. Atas faktor usia di bawah 18 tahun, beliau dijatuhkan hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) — sebuah hukuman tanpa tarikh bebas yang bergantung sepenuhnya kepada budi bicara dan pengampunan Raja.

Namun, tembok Penjara Kajang tidak menjadi penghalang buat jiwa yang ingin berubah. Malik membuktikan bahawa taubat bukan sekadar kata-kata apabila dia berjaya menggenggam ijazah tertinggi, Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, hasil ketekunan belajar di dalam sel.
Peluang kedua
Kecekalan inilah yang menarik perhatian Sultan Sharafuddin. Sempena Hari Keputeraan Baginda pada tahun 2024 lalu, Malik dikurniakan pengampunan penuh selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan mempertimbangkan transformasi positifnya secara mendalam.
Dia akhirnya melangkah keluar sebagai manusia bebas pada 11 Disember 2024.
Pada pertemuan hari ini, Malik dilihat bersalaman serta memeluk Sultan Sharafuddin sambil mengusap air mata dan ditenangkan oleh baginda.

“Pertemuan berlangsung hampir sejam dalam suasana yang hening, sedih dan pilu,” menurut hantaran itu.
Baginda dilaporkan amat terharu mendengar perkembangan terkini kehidupan Malik di luar jeriji besi. Baginda bukan sahaja bertanya tentang perancangan masa hadapannya, malah menitipkan nasihat yang cukup mendalam:
"Terus jaga nama baik keluarga dan sentiasa bersemangat untuk memperbaiki taraf hidup," titah Baginda.
Simbol harapan
Kisah Malik adalah bukti nyata bahawa sistem pemulihan negara mampu melahirkan insan yang berguna jika diberi sokongan dan peluang.
Ia juga menyerlahkan sisi kebajikan seorang Sultan yang sentiasa memerhati dan menilai setiap rakyatnya dengan timbangan belas kasihan (mercy).

Hari ini, Malik bukan lagi seorang "banduan," tetapi seorang doktor falsafah yang membawa harapan baru — bahawa sekelam mana pun masa lalu seseorang, masa depan masih boleh dicorakkan dengan ilmu dan keazaman.
Menjalani hukuman sejak 2001, Malik akhirnya berjaya memperoleh PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Terbuka Malaysia (OUM), hasil usaha melanjutkan pelajaran semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang.
