PARLIMEN l Tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menggunakan pelbagai "kalimah Islam" ketika ucapan penggulungan kementeriannya hari ini mencetuskan persoalan daripada seorang Ahli Parlimen PAS yang memberi amaran supaya tidak “mengelirukan rakyat”.
Siti Zailah Yusoff (PN-Rantau Panjang), yang bangun mencelah ucapan Nga, ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut bertanya secara terus kepada Ahli Parlimen Teluk Intan itu jika dia "sudah beriman".

“Saya ucap tahniah di atas usaha yang dibuat oleh YB. Cuma saya ingin kepastian, YB dalam penggulungan banyak menggunakan kalimah-kalimah orang Islam. Nak sujud syukur, Alhamdulillah, bersyukur.
“Adakah YB beriman? Adakah YB percaya dengan Allah? Kami tak mahu kalimah ini dipermain-mainkan. Saya takut mengelirukan orang Islam.
“Jadi kalau perkara ini dipermainkan, soalan ini menyentuh 3R yang kami diminta supaya menjaga.
“Jadi saya tak nak kalimah-kalimah Islam dipermainkan untuk mengelirukan orang bukan Islam. Kalau YB Islam, saya tak kisah. Tetapi jangan menggunakan kalimah untuk mengelirukan rakyat,” kata Siti Zailah.
Projek sakit
Terdahulu, Nga menggunakan istilah berkenaan bagi menzahirkan rasa syukur atas kejayaan kementeriannya memulihkan 40,000 unit "projek sakit" di bawah skim perumahan PR1MA di Bukit Katil, Melaka — yang merupakan projek terbengkalai terakhir daripada 34 projek seumpamanya di seluruh negara.

“Sebelum itu, di bawah kerajaan terdahulu, PR1MA memiliki 34 projek sakit. Ada juga projek yang sudah masuk ICU dan CCU.
“Tapi Alhamdulillah, menjelang hari ini, saya pilih tarikh keramat hari ini, projek sakit terakhir di Bukit Katil di PR1MA akhirnya saya malam ini dah buat sujud syukur. Sudah dapat CCC. Lebih 40,000 unit telah kita selamatkan. 40,000 unit projek sakit di bawah prima.
“Itu semua kerajaan dulu, termasuk rakan-rakan di sebelah sana. Saya kerja bertungkus-lumus, tapi sebelum Hari Raya Aidilfitri, janji ditepati. Semua projek siap sepenuhnya. Kunci akan serah sebelum Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Jangan emosi, kita rasionalisasi
Menjawap kenyataan Siti Zailah, Nga menggesa bekas Ketua Dewan Muslimat PAS itu agar tidak "emosi", dan berseloroh bahawa dirinya juga adalah "orang Kelantan" dan sudah biasa dengan istilah yang lazim digunakan oleh umat Islam.
“Jangan emosi. Kita rasionalisasi. YB IC(kad pengenlan) 03. Saya pun IC 03. Saya anak Kelate…
“Kita sebagai anak Malaysia, kita menghormati agama Islam sebagai agama persekutuan. Mana ada dipermain-mainkan supaya itu perkataan seperti kulang elok. Sebagai seorang yang beriman, saya yakin YB pun harap kita semua ini sama-sama hormat menghormati.
“Dalam kerangka Madani itu, ada hormat. Dalam kerangka Madani itu, ada ihsan,” kata Nga.
Dia seterusnya berharap isu terbabit tidak diperbesarkan, kerana ia hanya cenderung membawa kepada keretakan dalam perpaduan kaum di negara ini dan kemudiannya menerangkan perkataan-perkataan yang digunakannya itu.
“Alhamdulillah, perkataan itu is Arabic words. Betul tak? Ini bahasa Arab. Dia dengan kata lain, if God willing, insya-Allah, if God willing,.
“Alhamdulillah bermaksud okay, telah pun saya bersyukur. Dalam bahasa bersyukurlah. Dalam bahasa Arab, Alhamdulillah.
“Sebab itu saya rasa jangan kita selalu cenderung kepada isu yang bercanggah dengan perpaduan…Sebab itu saya akan jemput YB datang ke rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri kementerian saya. Nanti jemput, jangan tak datang pula,” sindirnya.
Semoga diberikan hidayah

Dalam celahan berasingan, Azli Yusof (PH-Shah Alam) berkata dia berasa bangga sebagai seorang Muslim apabila Nga mampu menggunakan istilah yang lazim digunakan oleh umat Islam.
“Saya sangat rasa berbesar hati dan berbangga sebagai orang Islam apabila YB mampu untuk mengucapkan kalimah-kalimah yang sering digunakan oleh masyarakat Islam.
“Kalau di negara Arab, perkataan-perkataan tersebut sangat biasa digunakan. Tidak kira oleh orang Islam ataupun tidak. Jadi saya sangat rasa berbangga dan saya doakan mudah-mudahan suatu hari nanti YB akan diberikan hidayah oleh Allah SWT,” katanya.
