Berjaya menukar jantina melalui pembedahan dianggap satu pencapaian terbesar dalam hidup seorang transgender atau mak nyah kerana menganggap ia selari dengan naluri dan keinginannya.
Di Malaysia, walaupun isu itu dianggap sebagai tabu, namun pada realitinya ia bukan perkara baru dan dikatakan sudah berlaku sejak era 1970-an, malah mungkin lebih awal lagi.
Semalam Malaysiakini melaporkan Kelantan merekodkan pendakwaan melibatkan kesalahan mengubah jantina mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Ia adalah pendakwaan pertama sejak undang-undang itu diwartakan dan berkuat kuasa pada 2020.
Pendakwaan kes itu berlangsung di Mahkamah Syariah Kelantan di Kota Bharu pada pertengahan bulan lalu, melibatkan seorang individu disyaki transgender.
Walaupun tiada fakta jelas atau rekod yang sahih melaporkan statistik warganegara Malaysia yang melakukan penukaran jantina dan ketiadaan perkhidmatan itu di negara ini, ia sama sekali tidak menghalang transgender merealisasikan hasrat mereka.
Hal itu kerana, mereka hanya perlu menempuh perjalanan tidak lebih 500 kilometer dari Kuala Lumpur ke Hat Yai, Thailand, bagi mendapatkan khidmat pembedahan menukar jantina.
Tinjauan Malaysiakini mendapati setiap individu yang ingin menjalani pembedahan tersebut perlu menyediakan sekitar RM25,000, tetapi ia tidak termasuk kos tambahan bagi penjagaan selepas pembedahan (berpantang).
Perkara itu didedahkan dalam perkongsian beberapa individu transgender bersama Malaysiakini. Ikuti kisah mereka:
Kisah Sabrina
Pada 12 tahun lalu ketika usianya mencecah 28 tahun dan menjalani kehidupan penuh warna-warni sebagai seorang mak nyah, Sabrina (bukan nama sebenar), akhirnya nekad.
Dia melangkah masuk ke sebuah klinik di Bangkok, Thailand, untuk menjalani pembedahan penukaran jantina.
Mengimbau kembali saat yang mengubah seluruh hidupnya itu, Sabrina menegaskan betapa ia adalah detik paling indah pernah dilalui walaupun pada masa sama dia berdepan seribu satu rasa.
Selepas persediaan rapi selama setahun, katanya, keputusan untuk memotong zakar agar dia memiliki alat sulit wanita itu akhirnya dibuat dengan yakin.
Malam sebelum pembedahan, kata Sabrina, dia mendirikan solat hajat dan istikharah. Tujuannya – bukan untuk memudahkan urusan pembedahan sebaliknya berharap agar ada ‘isyarat’ dihantar berupa sebarang halangan atau gendala sehingga prosedur itu tidak dapat diteruskan.
Katanya, dia berdoa bersungguh-sungguh berharap ada sesuatu berlaku. Pada masa sama, kata Sabrina, dia memang sudah bersedia untuk menyerahkan tubuhnya ke tangan doktor.
“Bahkan ketika berjalan masuk ke bilik bedah pun saya masih berharap akan ada ‘sesuatu’ tuhan hantar untuk menyekat pembedahan itu,” katanya.
Rasa macam kena sepit
Namun semuanya berjalan lancar. Menurut Sabrina, 40-an, dia berasa begitu tenang dan prosedur itu berlangsung seperti yang dirancang.
Dia yang bersetuju ditemu bual dengan syarat identitinya tidak didedahkan berkata, sebelum pembedahan dia menjalani proses pemeriksaan yang ketat oleh pihak klinik untuk memastikan tahap kesihatannya benar-benar dalam keadaan terbaik.
Katanya kepastian itu penting bagi mengelak sebarang komplikasi selepas prosedur dijalankan.
Pembedahan pun berlangsung kira-kira enam jam dalam keadaan dia dibius penuh.
Cabaran terawal bermula apabila dia tersedar dan kesan bius habis. Sabrina mula merasai kesakitan dan pedih pada bahagian kemaluannya.
"Rasa macam kulit disiat-siat dengan pisau, selain rasa amat senak seperti terkena hentakan bola dengan kuat.
"Pada masa sama saya rasa seperti kemaluan sedang dikepit. Bayangkan macam terkepit di celah daun pintu," katanya.
Penderitaan itu, jelas Sabrina, diatasinya dengan mengambil ubat penahan sakit.

Selepas itu dia dijaga rapi oleh pihak klinik selama kira-kira seminggu sebelum dibenarkan pulang. Namun cabaran belum berakhir. Di rumah pun dia mesti berpantang selama kira-kira tiga bulan lagi sebelum dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa.
"Saya rasa seperti bebas, mental saya lapang. Saya rasa inilah diri saya, seperti mana naluri, pemikiran dan nafsu saya, rasa sangat selesa.
“Saya melalui proses ini tanpa dipengaruhi oleh sesiapa, saya buat pilihan sendiri kerana ini hidup saya,” katanya.
Menjelaskan situasi dialaminya, Sabrina berkata, dia hanya tahu membuat keputusan untuk diri sendiri. Kerana itu jika ada orang lain bertanya pandangan sama ada mereka perlu mengikut jejak langkahnya atau tidak, dia tidak mampu memberikan jawapan.
Hal itu kerana, katanya, setiap orang perlu membuat keputusan sendiri.
“Jangan buat pembedahan sebab terikut-ikut orang lain, apa lagi untuk bermegah-megah," katanya.
Menceritakan tentang kehidupannya selepas pembedahan, Sabrina berkata, dia berasa matang dan menjadi seorang yang pemalu berbanding sebelum itu.
Dia juga yakin Sabrina yang selepas pembedahan adalah dirinya yang sebenar.
“Ketika itu saya perlu lebih menjaga keperibadian sebagai seorang wanita yang selari dengan naluri semula jadi, jaga kelakuan dan bermaruah walaupun berdepan cabaran persekitaran.
"Stigma masyarakat akan sentiasa wujud, tapi saya tak ganggu hidup orang walaupun ada kekangan termasuk di sudut undang-undang.
“Saya buat hal sendiri, walaupun rasa terasing inilah kehidupan saya," katanya.
Teringin nak ke Mekah
Tambahnya, sebelum itu dia pernah terlibat dalam program mukhayyam (perkhemahan) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha mendekatkan diri dengan agama.
Sehingga kini pun, kata Sabrina, dia masih menghadiri kelas mengaji al-Quran yang dianjurkan NGO untuk golongan sepertinya.
"Sebagai seorang Muslim, saya pun rindu nak berjemaah di masjid.
“Ada sekali tu, saja kena halau dari masjid, padahal saya dah cover pakai jubah lelaki tapi orang tetap tak boleh terima. Agaknya orang gila pun tak nak jadi mak nyah.
"Jadi saya sedar diri, kena tahu had dan batas-batas dalam aktiviti harian. Saya kena jaga pergerakan ke sana sini, tak boleh terlalu bebas dan menonjol kerana boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa," katanya yang terlebih dahulu menjalani pembedahan membesarkan payudara dengan kos RM10,000 sekitar 20 tahun lalu.
Sabrina menyedari individu sepertinya sentiasa berdepan dengan intimidasi dan mendakwa undang-undang di Malaysia tidak menyebelahi mereka dalam aspek kebebasan ekspresi diri.
Dia turut meluahkan impiannya sebagai seorang Muslim untuk mengerjakan ibadah umrah dalam masa terdekat.
"Saya sangat berharap dapat peluang ke Mekah untuk buat umrah. Saya pasang impian itu dan mahu berdoa di depan Kaabah, insya-Allah
"Sama ada saya pergi ke sana sebagai seorang lelaki atau wanita, itu saya serah pada takdir yang menentukan," katanya.
Kisah Elly
Tanpa perancangan dan persediaan rapi, Elly (bukan nama sebenar) mengambil langkah spontan dengan melakukan pembedahan menukar jantina pada tahun lalu. Ketika itu dia bercuti di Hat Yai, Thailand.
Transgender berusia 20-an itu berkata, walaupun sudah lama menyimpan hasrat melakukan pembedahan itu, dia sama sekali tidak menyangka akhirnya langkah spontanlah yang membawa dia membuat janji temu dengan doktor berkaitan.
"Ketika itu saya pergi bercuti, tapi entah macam mana terdetik nak buat pembedahan tiba-tiba.
“Saya pun hubungi doktor di sebuah klinik di situ dan terus buat janji temu keesokan harinya.
"Di situ saya terlebih dahulu diberikan nasihat oleh pakar-pakar perubatan mengenai proses yang perlu dijalani, selain membuat pemeriksaan kesihatan yang rapi dan penerangan terperinci.
“Walaupun agak drastik, saya tetap teruskan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar selepas pembedahan sekitar tiga jam,” katanya.
Selepas selesai pembedahan berkenaan, Elly dijaga oleh pihak klinik selama 10 hari sebelum dibenarkan pulang. Di rumah dia menyambung berpantang selama dua bulan.
Kemaluan ‘hidup segan mati tak mahu’
Berkongsi pengalaman pembedahan itu, Elly berkata, dia mengalami kesakitan seperti dialami Sabrina sebaik kesan ubat bius hilang sekali gus terpaksa bertahan dengan ubat tahan sakit sehingga luka sembuh.
Katanya, keputusannya untuk melakukan menukar jantina itu juga didorong oleh kegagalan zakarnya berfungsi seperti sepatutnya. Dia mengesyaki keadaan itu dipengaruhi oleh kesan pengambilan hormon.
“Kecenderungan seksual dan naluri saya seorang perempuan. Alat sulit (zakar) saya pula sudah seperti hidup segan mati tak mahu,” katanya.
Elly juga memaklumkan, sebelum membuat keputusan tersebut dia mendapatkan pandangan daripada pakar psikiatri sebagai persediaan dari segi mental dan fizikal.
“Saya tidaklah membuat keputusan berdasarkan kata hati semata-mata, sebaliknya banyak buat kajian dan rujukan juga.
"Mungkin sebab itu saya yakin untuk terus buat pembedahan walaupun pada awalnya ke Hat Yai untuk bercuti," katanya yang bekerja pembantu salon kecantikan di Pantai Timur.

Ditanya mengenai perubahan yang berlaku susulan langkah itu, jelas Elly, dia kini lebih bersemangat, aktif dan yakin dalam menjalani kehidupan harian.
"Saya sedar ini memang kehendak diri saya yang selari dengan naluri sejak sekian lama. Saya rasa lebih bersemangat, tenang dan rasa yakin perubahan ini adalah diri saya sebenar.
"Walaupun terpaksa rahsiakan daripada pengetahuan keluarga, saya yakin perubahan ini menggembirakan diri sendiri dan lebih matang menjalani kehidupan," katanya yang menghabiskan kos RM23,000 untuk pembedahan itu.
Kisah Kim Farisha
Dia merupakan seorang transgender berusia 33 tahun yang mendakwa mengalami kecelaruan identiti gender seawal usia kanak-kanak lagi.
Walaupun dilahirkan sebagai lelaki, Kim Farisha (bukan nama sebenar) yakin dia sebenarnya seorang perempuan.
Dibesarkan dengan penuh kasih sayang dengan latar keluarga ahli akademik, dia menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di sebuah universiti awam kira-kira sembilan tahun lalu.
Katanya selama tempoh itu dia mengharungi kehidupan yang bertentangan dengan apa yang sebenarnya dirasa.
“Dari zaman kanak-kanak dan alam persekolahan saya lalui dengan cara tersendiri. Saya menyerlah dalam pendidikan sejak sekolah rendah, kemudian ke sekolah menengah aliran agama.
"Saya menghafaz beberapa juzuk al-Quran selepas belajar di sebuah sekolah tahfiz.
“Di situ saya dididik untuk mengambil berat tentang agama dan pendidikan.
“Hingga sekarang pun saya beramal dan jadi guru mengaji untuk anak-anak saudara," katanya ketika memperkenalkan latar belakang dirinya.
Namun di sebalik latar belakang keluarga sebegitu, Kim Farisha mendakwa dia perlu mengiktiraf dirinya yang “sebenar” lantas menjalani hidup sebagai seorang transgender.
Tiga tahun lalu, dia menjalani pembedahan menukar jantina di Hat Yai selepas membuat pertimbangan rapi termasuk merujuk kepada pihak-pihak yang pakar dalam pelbagai aspek.
“Sebelum pembedahan doktor juga beritahu saya akan kehilangan zakar, tiada lagi hormon lelaki dan lain-lain hal yang pro dan kontra.
“Saya diingatkan tentang risikonya termasuk jika pembedahan gagal dan saya berisiko berdepan kematian, namun dalam keadaan begitu saya nekad nak buat juga,” tegasnya.
Banyak tumpu pada keluarga
Mengimbau pengalaman tiga tahun lalu, pembedahan Kim Farisya bermula seawal jam 7 pagi dan selesai kira-kira lima jam kemudian.
Ketika itu, katanya, dia begitu teruja dan yakin dengan proses yang dilalui untuk menjadi diri sendiri.
“Ini diri saya yang mutlak,” katanya.
Sama seperti yang lain-lain dia mengakui berdepan kesakitan tidak lama selepas pembedahan itu berakhir. Dia berdepan dengan pelbagai rasa yang mencabar seperti ngilu, berdenyut, kulit seperti kena siat, pedih, dan seolah-oleh terkepit.
“Saya dijaga selama 10 hari di wad klinik tersebut. Pulang ke rumah saya sambung berpantang dan dijaga oleh keluarga,” katanya yang berhabis sebanyak RM27,000 kos pembedahan.
Dengan perubahan itu, Kim Farisya berkata, dia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri sebelum benar-benar ‘sebati’.
“Yang penting sekarang rasa begitu selesa dan jadi diri saya sebenar. Saya betul-betul menikmati.
“Disebabkan itu saya rasa lebih sayang diri sendiri, lebih menjaga keperibadian.
“Kalau dulu tak malu sangat nak buat apa-apa, bukan orang tahu, rasa bukan diri sebenar. Sekarang kena jaga, sebab ini diri saya yang sebenar,” katanya.

Semasa zaman remaja, menurut Kim Farisya, dia agak menonjol dan bebas bergaul sehingga berkali-kali ditahan penguat kuasa kerana didakwa berpakaian seperti wanita.
Dia agak bernasib baik kerana semua kes itu digugurkan.
“Selepas pembedahan saya berubah, mungkin lebih matang,” katanya yang kini turut aktif dengan aktiviti kemasyarakatan bersama NGO.
Walaupun tiada pekerjaan tetap, rutin harian Kim Farisya turut sibuk kerana menguruskan ayahnya yang uzur, selain membantu hal ehwal persekolahan anak-anak saudara.
Ketika ini, katanya, dia lebih banyak memberi perhatian kepada keluarga.
“Saya ada juga perancangan untuk buka perniagaan sendiri sedikit masa lagi, selain berhajat menunai umrah bersama keluarga,” katanya.
Ditanya kemungkinan berdepan sekatan untuk menunaikan umrah kerana identitinya, Kim Farisya bagaimanapun yakin perkara itu boleh diatasi.
“Insya-Allah boleh, niat kita nak jadi tetamu Allah. Kita pergi dengan jasad dan hati yang seikhlas mungkin,” tambahnya lagi.
