PARLIMEN l Seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini menegur budaya 'mencium' tangan menteri dalam kalangan kepemimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menurutnya perlu dihentikan.
Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) membuat teguran itu ketika bertanya soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Kenyataannya itu dibuat susulan tularnya sebuah video di media sosial yang memaparkan Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Jeneral Malek Razak Sulaiman yang berlangsung pada 3 Februari lalu tunduk ketika bersalaman dengan Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin.
Tindakan itu kelihatan seolah-oleh dia mencium tangan.

“Apa ini? Tak boleh macam ini. Ibu bapa kita tak apa. Tapi cium tangan menteri pertahanan ini tak betul.
“Jadi, saya harap Mindef (Kementerian Pertahanan )betulkan benda ini,” katanya yang juga adalah seorang bekas pegawai tentera kanan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas perkara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata kenyataan Khlir itu boleh dijadikan peringatan kepada semua ahli parlimen juga.
"Persoalan kedua itu tak perlu jawab, itu mungkin sebagai peringatan kepada kita semua," katanya.
Aminolhuda Hassan (PH – Sri Gading) kemudian mencelah dengan berkata bahawa keputusan untuk mencium tangan seseorang atau tidak adalah pilihan peribadi.
“Bekaitan dengan cium tangan tak cium tangan itu, terpulang kepada individu. Cuma bila disebut dalam Parlimen ini, kesian juga jeneral masing-masing,” katanya.

Perbincangan itu timbul ketika angkatan tentera Malaysia dilanda dakwaan rasuah dan beberapa skandal lain.
Awal bulan lalu, timbul dakwaan bahawa "parti yeye" atau parti liar yang melibatkan minuman beralkohol dan kehadiran peneman wanita dianjurkan dalam pangkalan tentera.
Selain itu, bekas Panglima Tentera Darat, Hafizuddeain Jantan; bekas Panglima Angkatan Tentera, Nizam Jaffar; dan bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MiDA), Razali Alias sedang berdepan pertuduhan berkaitan rasuah.
Pada 23 Januari, Nizam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan, termasuk penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah (CBT) melibatkan wang berjumlah RM3.75 juta.
Ini termasuk dakwaan menyalahgunakan kuasanya untuk mengaut lebih RM550,000 daripada penganugerahan kontrak pembekalan kain sarung, tuala mandi dan barangan lain bagi pakej hadiah Hari Raya.

Dalam kes berasingan, bakal penggantinya, Hafizuddeain, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM145,000.
Sehari sebelum itu, dia turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima lebih RM2.12 juta hasil daripada aktiviti haram.
Hafizuddeain adalah bekas Panglima Tentera Darat pertama yang didakwa di mahkamah berkaitan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan tender perolehan tentera darat Malaysia.
Pada 29 Januari pula, Razali mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan rasuah, termasuk suapan untuk dirinya sendiri dan dua tiket penerbangan pergi-balik ke Eropah untuk isterinya.
