Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pilihan raya datuk bandar: MP Gopeng petik contoh penduduk London, New York
Diterbitkan:  Feb 5, 2026 5:59 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, mengecam "ironi" yang dihadapi Malaysia apabila penentang kajian mengenai pilihan raya datuk bandar meletakkan sudut pandangan perkauman dalam hujah mereka.

Dia berhujah bahawa pengundi bukan sahaja mempertimbangkan bangsa atau agama calon datuk bandar, tetapi juga kualiti kepimpinan dan dasar-dasarnya.

Dia menambah bahawa penduduk di bandar-bandar utama di negara lain seperti London dan New York telah mengundi orang Islam sebagai pemimpin mereka, walaupun mempunyai populasi Islam hanya 15 peratus atau kurang.

“Zohran Kwame Mamdani berkhidmat sebagai Datuk Bandar New York, Amerika Syarikat mulai Januari 2026, sebuah kota dengan populasi muslimnya sekitar 10%.

"Di United Kingdom, Sadiq Khan mula menyandang jawatan Datuk Bandar London sejak tahun 2016, ibu kota UK yang kini kira-kira 15% populasinya adalah muslim.

"Dalam kedua-dua kes pilihan raya New York dan London, majoriti pengundi telah memilih calon berketurunan kaum minoriti sebagai Datuk Bandar. Zohran Mamdani meraih 51.5% undi (2025), dan Sadiq Khan meraih 56.8% undi (2016).

"Dengan kata lain, pengundi tidak membuat keputusan berdasarkan warna kulit atau anutan agama semata-mata, tetapi mengambil kira kualiti kepimpinan calon," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas pemimpin PKR itu, pengundi menilai dan membandingkan antara calon-calon yang bertanding – sejauh manakah mereka mampu melindungi hak dan kepentingan penduduk kota.

Sedangkan di Malaysia, kata Tan, pemimpin politik seharusnya memimpin, bukannya "memundurkan bangsanya hanya kerana ketidakmampuan dirinya untuk bersaing dalam hal kecekapan mentadbir."

"Rakyat tidak harus ditambat langkahnya ke depan semata-mata ketakutan yang dimomokkan," tegasnya.

Dia menambah bahawa di bawah mekanisme pilihan raya tempatan, pengundi bebas dan berhak untuk menukar datuk bandar, jika prestasi penyandang tidak memuaskan.

Walaupun demokrasi tidak dapat menjamin calon datuk bandar terbaik akan dipilih, namun, kata Tan, pengundi akan mendapat datuk bandar yang majoriti inginkan.

"Lantas Datuk Bandar akan melakukan segala yang terbaik untuk meraih sokongan majoriti pengundinya," katanya.

Pada 1 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata bahawa dia telah mengarahkan pejabatnya untuk menjalankan kajian tentang kemungkinan mengadakan pilihan raya datuk bandar untuk Kuala Lumpur, kerana pilihan raya sedemikian akan lebih praktikal daripada memilih beberapa ahli majlis bandar melalui pilihan raya majlis tempatan.

Dua hari kemudian, Yeoh berkata Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah ditugaskan untuk menjalankan kajian kemungkinan mengenai pilihan raya datuk bandar dan hasil kajian itu akan dibawa ke perhatian kabinet.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS