Penjenamaan semula Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur mencerminkan komitmen institusi itu menawarkan perkhidmatan kesihatan berkualiti berteraskan nilai ihsan selari dengan aspirasi kerajaan Madani yang memperkasakan kesejahteraan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata penjenamaan semula itu bukan sekadar melibatkan imej dan identiti korporat, malah merangkumi peningkatan infrastruktur, kemudahan moden, peralatan perubatan, kepakaran serta keseluruhan ekosistem institusi sebagai hospital pakar yang mesra ibadah, patuh syariah dan inklusif.
“Pusrawi merupakan jenama kesihatan yang telah lama dikenali serta diiktiraf, dan untuk membawa institusi itu ke tahap lebih tinggi memerlukan penjenamaan yang tersusun, strategi jelas serta ekosistem perkhidmatan yang kukuh.
“Usaha ini mencerminkan indikator rahmatan lil alamin iaitu pendekatan inklusif dan berteraskan nilai, selari dengan perkhidmatan rawatan kesihatan terbaik untuk seluruh lapisan masyarakat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu Zulkifli merasmikan penjenamaan semula Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur dan merasmikan Jabatan Rawatan Kanser Azman Hashim (JRKAH).

Hadir sama Pengerusi Pusrawi Heritage Sdn Bhd, Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, serta Pengerusi Emeritus dan penasihat kehormat Kumpulan AmBank Azman Hashim, yang juga Pengerusi Yayasan Azman Hashim.
Ditubuhkan pada 1984 di Wisma Baitulmal, Jalan Ipoh sebelum berpindah ke Jalan Tun Razak pada 2006 sehingga kini, Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur yang dahulu dikenali sebagai Hospital Pusrawi Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, iaitu Pusrawi Holdings Heritage Sdn Bhd.
Mengenai JRKAH, Zulkifli berkata dia berpuas hati dengan kemudahan perkhidmatan yang selari dengan keperluan rawatan kanser masa kini.
Katanya dengan kepakaran dan teknologi yang dimiliki, institusi kesihatan itu disaran lebih aktif mendekati masyarakat bagi meningkatkan kesedaran terhadap peningkatan penyakit kanser serta kepentingan pencegahan dan rawatan awal.
“Selain menjana pendapatan bagi kelangsungan operasi, Pusrawi juga perlu terus menunaikan tanggungjawab sosial melalui inisiatif meningkatkan kesedaran awam tentang penyakit dan rawatan kanser, selari dengan agenda kerajaan Madani yang mengangkat nilai membantu rakyat sebaik mungkin,” katanya.
JRKAH merupakan inisiatif strategik Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur dalam memperkukuh perkhidmatan rawatan kanser yang lebih komprehensif serta bersepadu.
Ia ditubuhkan hasil sumbangan Yayasan Azman Hashim yang berjumlah RM5.8 juta.
- Bernama
