Dalam masyarakat Malaysia yang majmuk, isu penggunaan kalimah-kalimah Arab seperti “Insya-Allah,” “Alhamdulillah,” dan “Masya-Allah” sering meletus menjadi polemik yang sebenarnya tidak perlu pun terjadi. Ada pihak yang menganggap kalimah-kalimah tersebut eksklusif untuk orang Islam sahaja, malah ada yang berani menyebut kononnya “haram” orang bukan Islam menggunakannya, dan ada juga yang berkata “kena masuk Islam dulu baru boleh sebut kalimah itu.”
Persoalannya, adakah dakwaan ini benar dari sudut dalil al-Quran dan hadis? Jawapannya, jika kita jujur pada ilmu, ialah: tidak ada satu pun ayat al-Quran yang secara jelas menyatakan larangan bukan Islam menyebut kalimah-kalimah tersebut, dan tidak ada hadis sahih yang menetapkan ia sebagai kesalahan syarak.
Bahkan, jika menelusuri ayat-ayat Allah, kita akan mendapati bahawa al-Quran merekodkan ucapan manusia bukan Islam dan musyrikin yang menyebut nama Allah tanpa mereka beriman. Antaranya ialah firman Allah bahawa orang musyrik Makkah apabila ditimpa kesusahan di lautan, mereka akan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas, namun apabila diselamatkan mereka kembali mensyirikkan-Nya. Allah berfirman:
“Maka apabila mereka naik kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan agama kepada-Nya, kemudian apabila Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka mempersekutukan Allah.” (Surah Al-Ankabut 29:65).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa orang musyrik pun menyebut Allah dan berdoa kepada-Nya, sedangkan mereka belum Islam. Jika menyebut “Allah” atau berdoa kepada Allah itu sendiri tidak dilarang dari sudut syarak untuk mereka, maka bagaimana mungkin ada orang tiba-tiba mahu melarang kalimah seperti “Insya-Allah” yang maknanya hanya “Jika Allah mengkehendaki?”
Malah, dalam ayat lain Allah menyebut: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Mereka pasti akan menjawab: Allah.” (Surah Luqman 31:25).
Jangan Jadi ‘polis kalimah’
Ini menunjukkan bahawa orang kafir Quraisy sendiri mengucapkan nama Allah sebagai pengakuan penciptaan, walaupun akidah mereka rosak. Jadi, al-Quran tidak pernah mengajar umat Islam untuk menjadi ‘polis kalimah’ sehingga melarang orang bukan Islam daripada menyebut nama Tuhan dalam bahasa Arab. Yang ditegah oleh al-Quran bukanlah sekadar sebutan, tetapi kekufuran dan syirik.
Daripada sudut hadis pula, kita dapati bahawa Nabi SAW hidup dalam masyarakat yang bercampur, ada Yahudi, Nasrani, musyrikin, dan munafiqin. Namun tidak ada satu pun riwayat sahih yang menyebut Nabi SAW pernah mengeluarkan larangan berbentuk “jangan bagi orang kafir sebut Insya-Allah.”
Sebaliknya, Nabi SAW mengajar bahawa perkataan yang baik ialah sedekah. Baginda bersabda: “Perkataan yang baik adalah sedekah.” (Riwayat al-Bukhari, no. 2989; Muslim, no 1009).

Justeru, apabila seorang bukan Islam menyebut “Alhamdulillah” setelah mendapat nikmat, atau menyebut “Insya-Allah” sebagai tanda menghormati adat masyarakat Muslim, ia pada asasnya termasuk dalam perkataan baik yang boleh membuka pintu hidayah, bukan pintu permusuhan.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Open University Malaysia (OUM) Prof Madya Hamidah Mat berkata bahasa Arab bukanlah agama Islam, sebaliknya ia ialah sebuah bahasa yang berfungsi sebagai alat komunikasi dan medium penyampaian ilmu, sama seperti bahasa-bahasa lain di dunia.
“Islam pula merupakan agama wahyu yang bersifat sejagat dan tidak terikat dengan mana-mana bangsa atau bahasa tertentu. Hubungan rapat antara bahasa Arab dan Islam wujud kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab dan ibadah tertentu menggunakan lafaz Arab, namun hubungan ini bersifat fungsional, bukan identiti akidah.”
Hakikatnya, bahasa Arab turut digunakan oleh penganut agama lain, dan majoriti umat Islam sendiri bukan berbangsa Arab.
“Memahami perbezaan ini penting bagi mengelakkan salah faham yang menyempitkan Islam sebagai agama etnik, serta bagi memupuk kefahaman, toleransi dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan tamadun,” tegas beliau lagi.
Prinsip dakwah rasulullah
Kita juga perlu faham bahawa istilah seperti “Masya-Allah” dan “Alhamdulillah” bukan “milik bangsa Arab” and bukan juga “password masuk Islam,” tetapi ia adalah ungkapan tauhid dan pengakuan bahawa segala nikmat datang daripada Allah.
Sementara itu, jika seorang bukan Islam menyebutnya dengan niat menghina, mempermainkan, atau menjadikan ia bahan lawak, maka itu isu lain kerana ia termasuk dalam penghinaan terhadap agama, dan Islam memang tegas dalam hal tersebut. Allah berfirman:
“Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu memperolok-olokkan? Jangan kamu meminta maaf, sesungguhnya kamu telah kafir selepas iman kamu.” (Surah Al-Taubah 9:65-66).
Namun, jelas sekali bahawa ayat ini bukan dalil melarang penggunaan kalimah oleh bukan Islam secara umum, tetapi dalil bahawa mempermainkan agama adalah dosa besar. Maka, fokus sebenar ialah adab dan niat, bukan status kad pengenalan.
Hujah terbaik untuk membidas golongan yang menyempitkan isu ini ialah dengan mengembalikan mereka kepada prinsip dakwah Rasulullah SAW. Islam tidak berkembang dengan cara menghalau manusia dari kalimah-kalimah Allah, tetapi Islam berkembang dengan cara menarik manusia mendekati Allah. Jika seorang bukan Islam mula menyebut “Insya-Allah,” itu sebenarnya satu ruang psikologi yang besar iaitu, dia sudah mula selesa dengan bahasa Islam, sudah mula menghormati budaya Islam, dan barangkali, hatinya sedang terbuka untuk menerima tentang Islam.
Mengapa kita mahu mematikan ruang itu dengan ego dan sikap seolah-olah kita pemilik syurga? Sedangkan Allah sendiri berfirman kepada Nabi SAW:
“Maka dengan rahmat daripada Allah engkau berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras lagi berhati kasar, nescaya mereka akan lari dari sekelilingmu.” (Surah Ali ‘Imran 3:159).
Janganlah menghukum tanpa sandaran
Ayat ini menjadi senjata paling tajam untuk menjawab golongan ekstrem. Sedangkan, Rasulullah SAW pun dilarang bersikap keras hingga orang lari, maka siapakah kita untuk bersikap lebih keras daripada Rasulullah?
Tambahan pula, dari sudut fiqh, larangan dalam agama memerlukan dalil yang jelas. Kaedah usul fiqh menyebut:
“Hukum asal sesuatu perkara adalah harus.” Kaedah ini disebut oleh ramai ulama usul seperti Imam al-Suyuti dalam Al-Ashbah wa Al-Nazair dan juga dinyatakan dalam karya-arya usul fiqh yang muktabar. Maka sesiapa yang mendakwa “haram” bukan Islam menyebut kalimah tersebut, dialah yang wajib membawa dalil qat‘i.
Jika dia tidak mampu, maka dakwaannya adalah satu bentuk “mengharamkan tanpa ilmu,” sedangkan Allah memberi amaran keras:
“Dan janganlah kamu mengatakan dengan lidah kamu secara dusta, ini halal dan ini haram, untuk kamu mengada-adakan dusta terhadap Allah.” (Surah Al-Nahl 16:116).
Justeru, ini adalah ayat yang sangat kuat untuk menundukkan mereka yang suka menghukum tanpa sandaran.
Apa yang sebenarnya perlu ditakutkan?
Hakikatnya, kita perlu jujur bahawa Islam tidak pernah takut pada kalimah-kalimahnya disebut oleh agama lain. Yang Islam takut ialah apabila umat Islam sendiri kehilangan ruh kalimah itu. Ada orang Islam yang mulutnya penuh “Alhamdulillah” tetapi hidupnya penuh zalim. Ada yang menjerit “Masya-Allah” tetapi hatinya penuh dengki.
Maka isu sebenarnya bukanlah siapa yang boleh menyebut atau tidak, tetapi siapa yang benar-benar menghayati. Kalau bukan Islam menyebut “Alhamdulillah” kerana dia bersyukur, mungkin ia lebih dekat kepada fitrah daripada Muslim yang tidak pernah bersyukur.
Kesimpulannya, tiada dalil sahih yang melarang bukan Islam menggunakan kalimah seperti “Insya-Allah,” “Masya-Allah,” and “Alhamdulillah.” Yang wajib dijaga ialah adab, penghormatan, dan tidak menjadikannya bahan hinaan. Bahkan jika ia disebut dalam suasana baik, ia boleh menjadi jambatan dakwah yang sangat indah. Kita tidak selayaknya menjadi umat yang membina tembok dengan kalimah Allah, tetapi umat yang membina jambatan menuju Yang Maha Esa.
ATRIZA UMAR adalah calon ijazah kedoktoran (PhD) merangkap Sahabat Penggerak Madani.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
