PANDUANKINI | Pengesanan virus Nipah di Bengal Barat, India bulan lalu (Jan 2026) mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya wabak baru serta penularan rentas sempadan.
Perkembangan itu menyebabkan pihak berkuasa kesihatan Malaysia memperketat saringan di pintu masuk antarabangsa negara serta mengeluarkan nasihat perjalanan supaya orang ramai sentiasa berwaspada, terutama jika berkunjung ke negara berisiko tinggi.
Panduankini bertujuan memberi gambaran keseluruhan mengenai virus Nipah serta mengemas kini pembaca tentang situasi di Malaysia.
Apa berlaku?
Pada 26 Januari, pihak berkuasa kesihatan India memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai dua kes virus Nipah yang disahkan, melibatkan seorang jururawat lelaki dan seorang jururawat wanita di negeri Bengal Barat.
Menurut badan dunia itu, petugas kesihatan berusia antara 20 hingga 30 tahun dimasukkan ke hospital pada awal Januari selepas menunjukkan gejala yang lazim dikaitkan dengan jangkitan virus Nipah pada penghujung Disember 2025.
Institut Virologi Kebangsaan India kemudian mengesahkan mereka dijangkiti penyakit tersebut, sekali gus mendorong Kementerian Kesihatan negara itu menguji lebih 190 individu yang dikenal pasti mempunyai kontak dengan pesakit.

Kesemua mereka didapati negatif virus itu dan setakat 27 Januari, Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan India mengumumkan tiada kes baru disahkan di Bengal Barat.
WHO memaklumkan jururawat lelaki menunjukkan pemulihan klinikal manakala seorang lagi pesakit masih berada dalam keadaan kritikal setakat 21 Januari, dengan laporan berita menyatakan beliau memerlukan bantuan pernafasan mekanikal.
Apakah virus Nipah?
Virus Nipah, atau Henipavirus nipahense, ialah patogen zoonotik yang jarang berlaku dengan kadar kematian tinggi antara 40 hingga 75 peratus.
Menurut WHO, virus ini lazimnya hidup dan membiak dalam kelawar buah atau keluang yang terdapat di kawasan pesisir dan beberapa pulau di Lautan Hindi, India, Asia Tenggara dan Oceania.

Virus ini boleh merebak kepada manusia melalui haiwan liar dan haiwan ternakan, selain berupaya menular antara manusia.
Setakat ini, tiada vaksin atau rawatan khusus diluluskan untuk virus Nipah.
Kes pertama yang disahkan dikenal pasti di Kampung Sungai Nipah, berhampiran Bukit Pelandok di Port Dickson, Negeri Sembilan — lokasi yang memberi nama kepada virus tersebut.
Sejak itu, jangkitan virus Nipah turut dilaporkan di Singapura, Bangladesh, India dan Filipina.
Walaupun Malaysia tidak melaporkan kes baru selepas 1999, WHO menyatakan virus itu masih wujud di India dengan wabak bermusim antara Disember hingga Mei yang dikaitkan dengan aktiviti kelawar dan amalan budaya tempatan.
Sejarah wabak pertama Nipah
Virus Nipah pertama kali dikesan di Malaysia semasa wabak dalam kalangan penternak babi pada 1998, yang pada awalnya disalah anggap sebagai Japanese Encephalitis (JE), iaitu virus bawaan nyamuk.
Kampung Bukit Pelandok yang mempunyai 700 ladang babi, merupakan komuniti penternakan babi terbesar seumpamanya di Asia Tenggara ketika itu.
Pihak berkuasa kesihatan yang percaya virus itu disebarkan nyamuk melancarkan operasi besar-besaran menentang JE, termasuk semburan kabus, vaksinasi besar-besaran terhadap 5,000 penduduk kampung serta langkah keselamatan lain.

Bagaimanapun, usaha tersebut gagal menghentikan wabak dan jumlah kematian terus meningkat.
Antara Oktober 1998 hingga Mei 1999, pihak berkuasa kesihatan Malaysia merekodkan lebih 258 kes ensefalitis dengan sekurang-kurangnya 104 kematian.
Ribuan babi dilupuskan dalam usaha mengawal wabak maut itu. Peningkatan jumlah kematian memaksa penduduk kampung meninggalkan kediaman mereka demi keselamatan.
Bagaimana virus ini merebak?
Manusia boleh dijangkiti virus Nipah melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti kelawar, babi atau kuda, atau melalui pengambilan buah-buahan dan produk buah yang tercemar oleh kelawar buah.
Virus ini juga boleh menyebabkan penyakit serius kepada haiwan ternakan seperti babi.
Penularan antara manusia juga boleh berlaku, dengan wabak sebelum ini menunjukkan jangkitan biasanya berlaku dalam persekitaran penjagaan kesihatan serta dalam kalangan ahli keluarga atau penjaga yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), individu dijangkiti boleh menunjukkan gejala seperti demam, sakit kepala, muntah, batuk, kesukaran bernafas, sawan dan kekeliruan selepas tempoh inkubasi antara lima hingga 14 hari dari masa jangkitan.

Virus Nipah boleh menyebabkan komplikasi perubatan seperti ensefalitis dan masalah pernafasan, dengan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus.
Bagaimanapun, tanpa ujian makmal, sukar membezakan jangkitan virus Nipah dengan penyakit berjangkit lain atau punca ensefalitis dan pneumonia, kata WHO.
Perlukah orang ramai bimbang?
Menurut pakar virologi terkenal Malaysia Dr Lam Sai Kit (gambar bawah), orang ramai tidak perlu panik kerana virus Nipah tidak merebak melalui udara dan wabak yang dikesan di India setakat ini kecil serta terkawal.
"Tambahan pula, sistem pemantauan moden, ujian pantas dan protokol hospital yang ketat telah membantu menghalang penularan yang lebih besar," katanya.

Namun, Lam yang dikreditkan sebagai antara individu yang menemui virus Nipah pada 1999, mengingatkan bahawa virus tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana kadar kematiannya yang tinggi.
"Kadar kematian Nipah yang tinggi, keupayaannya menular antara manusia serta ketiadaan rawatan atau vaksin bermaksud walaupun hanya beberapa kes, ia tetap memerlukan perhatian serius."
Pencegahan dan rawatan
Pihak berkuasa kesihatan menyeru orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dan mengelakkan menyentuh haiwan sakit atau mengambil produk yang disyaki tercemar virus.
KKM dalam nasihat perjalanan pada 28 Januari menggesa pelancong, khususnya mereka yang melawat kawasan berisiko tinggi wabak Nipah, supaya lebih berhati-hati dan memantau tahap kesihatan masing-masing.
Individu yang berasa tidak sihat serta menunjukkan gejala seperti jangkitan Nipah digesa mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran.
"Sebarang kes jangkitan mesti dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti yang diwajibkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," kata KKM.

Bagi individu yang menjaga pesakit virus Nipah, mereka dinasihatkan mengelakkan sentuhan fizikal rapat tanpa perlindungan serta mengamalkan langkah pencegahan termasuk mencuci tangan secara berkala.
Lam turut menasihatkan supaya tidak mengambil minuman mentah atau buah-buahan yang mungkin tercemar kelawar serta memakai pelitup muka di kawasan sesak.
Walaupun tiada ubat atau vaksin diluluskan setakat ini, WHO menyatakan diagnosis awal boleh membantu rawatan sokongan lebih awal.
"Bagi semua jangkitan virus serius, rawatan sokongan perubatan berkualiti tinggi mampu mencegah kematian," katanya.
Antara langkah yang disyorkan badan dunia itu termasuk:
mengenal pasti komplikasi seperti pembengkakan otak, pneumonia dan kerosakan organ lain;
menyesuaikan rawatan berdasarkan keadaan kesihatan pesakit;
memberikan oksigen apabila diperlukan;
menyediakan rawatan sokongan organ khusus seperti ventilasi dan dialisis buah pinggang; dan
memastikan penghidratan serta pemakanan mencukupi dengan pemantauan berkala.
Situasi di Malaysia sekarang
Menurut KKM, tiada kes virus Nipah disahkan di Malaysia sejak 1999.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan memperketat langkah saringan di semua lapangan terbang antarabangsa dan pintu masuk negara, dengan sistem pengimbasan suhu badan diaktifkan secara berterusan bagi mengesan simptom awal seperti demam dalam kalangan pelancong.

"Kami beri tumpuan kepada pelancong yang datang, khususnya dari India dan Bangladesh, yang (dari negara) lain pun kami tak ambil ringan dan mustahaknya saringan bersasar itu telah kami mulakan.
"Tiada laluan khas untuk mereka, andainya ada indikator untuk demam dan sebagainya, kemudian kami akan panggil mereka. Kami berjaga-jaga tapi saringan masih dijalankan di pintu masuk,” katanya pada 29 Januari seperti dipetik Bernama.
KKM turut memantau situasi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), serta memaklumkan tiada virus Nipah dikesan dalam haiwan domestik dan liar setakat ini.
WHO dalam penilaian terbarunya turut mengklasifikasikan risiko kesihatan awam akibat virus Nipah di peringkat serantau sebagai rendah, namun memberi amaran risiko penularan penyakit masih wujud.
"Tiada laporan penularan rentas sempadan dan wabak semasa masih terhad dari segi geografi.
"Namun begitu, risiko berlakunya penyakit masih wujud disebabkan perkongsian koridor ekologi kelawar buah serta sejarah kes manusia yang pernah dilaporkan di rantau ini. India telah menunjukkan keupayaan dan pengalaman kukuh dalam mengurus wabak virus Nipah sebelum ini.
"WHO menilai risiko kesihatan awam akibat virus Nipah di peringkat global sebagai rendah kerana tiada penularan kes disahkan di luar India."
