Lebih setahun setengah berlalu, trauma yang ditanggung keluarga M Vinoth, yang meninggal dunia akibat ditetak kumpulan bertopeng dua tahun lalu, belum menemui titik noktah.
Bagi adiknya, M Deva Raj, 22, setiap detik kejadian berdarah pada malam 25 Ogos 2024 masih segar di ingatan, apatah lagi melihat satu per satu anggota keluarganya menjadi sasaran keganasan kumpulan bertopeng yang sehingga kini didakwa masih bebas.
Menceritakan semula detik cemas tersebut kepada Malaysiakini, Deva Raj berkata pada hari tersebut dia menerima panggilan kecemasan daripada abang yang dalam keadaan cemas memberitahu dia diserang.
"Apabila saya sampai di lokasi di Taman Rim Baru, luruh jantung saya melihat abang saya berlumuran darah. Kepalanya ditetak, malah tangannya hampir putus. Saya terus masukkan dia dalam kereta dan bergegas ke hospital.

"Cubaan menyelamatkan abang saya bertukar menjadi adegan ngeri apabila kereta dipandu oleh saya dikepung oleh dua buah kenderaan, termasuk sebuah Proton Wira biru milik suspek.
"Apa yang paling menyedihkan, serangan itu bukan setakat di situ, malah kumpulan itu mengejar kami sehingga ke pekarangan hospital seolah-olah tiada undang-undang di negara ini," katanya.
Dikejar sehingga ke hospital
Sebelum ini, dilaporkan Vinoth berusia 24 tahun maut dipercayai ditetak dan diserang lelaki bertopeng dekat Hospital Jasin di Melaka.
Lebih mencemaskan, kakitangan perubatan dan pesakit turut menyaksikan insiden serangan itu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi ketika itu berkata, mangsa pertama kali diserang sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru di Jasin, kira-kira jam 8.40 malam.
Mangsa yang cedera sempat menghubungi adik lelakinya bagi mendapatkan pertolongan dengan membawanya ke Hospital Jasin, kira-kira empat kilometer dari tempat itu, untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, sebaik tiba di bahagian kecemasan hospital, penyerang mengejarnya dan menyerangnya tanpa belas kasihan, malah memecahkan cermin depan kereta.
Ahmad Jamil berkata, adik lelaki mangsa cuba melarikan diri dan mencari perlindungan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di mana dia turut membuat laporan polis.
VIDEO
Katanya, sebuah ambulans yang diletakkan di unit kecemasan turut mengalami kerosakan dalam kejadian itu.
Menurut Ahmad Jamil, susulan kejadian itu tiga suspek berusia antara 21 dan 31 tahun ditahan pada 26 Ogos dan polis melancarkan gerakan memburu dua lagi suspek yang masih bebas.
Ketika itu polis mendapatkan perintah reman tujuh hari ke atas ketiga-tiga mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menceritakan lagi, Deva Raj berkata dalam usaha melarikan diri daripada kepungan untuk ke Bahagian Kecemasan Hospital Jasin, dia terpaksa memacu kenderaan ke arah IPD Jasin sebelum terlibat dalam kemalangan di Taman Maju akibat tindakan suspek yang berhenti mengejut di hadapannya.
"Saya yakin serangan ini dirancang rapi kerana pada masa yang sama, ibu bapa saya turut diserang di lokasi berbeza," katanya.
Bapa mangsa, Murthy Rajamanickam, 52, mendakwa kereta yang ditumpangnya pada malam kejadian untuk ke hospital ditahan dan ditetak berkali-kali, manakala isterinya yang berada di rumah turut menjadi sasaran gangguan.
Lebih memilukan, isteri mendiang Vinoth, Saraswati, mendedahkan dia sedang hamil tiga bulan ketika suaminya dibunuh dengan kejam.
Sekarang anaknya itu sudah pun berumur setahun.
"Suami saya pergi tanpa sempat melihat wajah anak kami. Berapa lama lagi saya harus menanggung penderitaan ini? Mereka yang membunuh suami saya masih bebas di luar sana," katanya sebak.

Saraswati mendakwa, walaupun beberapa laporan polis dibuat termasuk dua aduan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, namun tindakan tegas masih belum diambil terhadap pelaku yang didakwa telah dikenal pasti identitinya.
"Semua bukti termasuk rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di kedai gunting rambut tempat kejadian berlaku dan insiden ugutan di premis hospital telah diserahkan.
"Namun, sehingga hari ini, keadilan belum memihak kepada kami," katanya.
Polis nafi tak ambil serius
Ketika dihubungi Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar menafikan dakwaan siasatan tidak diambil serius.
Dia turut memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti yang mencukupi.
"Siasatan kes telah membawa kepada tangkapan seramai lapan orang lelaki berumur antara 20 sehingga 40 tahun. Semasa kejadian berlaku, suspek sekumpulan lelaki menutup muka dan bersenjata parang telah menyerang mangsa.
"Semua tangkapan telah ditahan reman, namun bukti yang diperoleh ke atas semua tangkapan dan siasatan tidak signifikan untuk mendapat arahan pendakwaan daripada Pejabat Peguam Negara. Semua suspek dilepaskan dengan bon di bawah Seksyen 118 KPJ," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, rakaman CCTV yang diperoleh dari tempat kejadian telah dianalisis sepenuhnya.
"Namun, tidak mengandungi bukti yang jelas atau konklusif yang boleh mengaitkan mana-mana individu secara langsung dengan kejadian tersebut memandangkan semasa kejadian kesemua suspek bertutup muka.
"Siasatan masih diteruskan dan pihak polis tidak menolak kemungkinan akan ada perkembangan baru sekiranya bukti tambahan diperoleh," katanya lagi.
Tambahnya, pada 23 Disember 2025, satu laporan polis dibuat dan kertas siasatan dibuka berhubung ancaman terhadap bapa mangsa, bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, berkaitan ugutan jenayah.
Percanggahan sekatan perjalanan
Sementara itu, Dzulkhairi memberitahu bahawa seramai lima orang suspek yang masih bebas disenaraihitamkan termasuk sekatan di laluan sempadan negara.
"Pada bulan Jun 2025 dan Ogos 2025, dua orang suspek telah berjaya ditangkap. Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan subjek dilepaskan dengan bon bawah Seksyen 118 KPJ.
"Usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan termasuk pemeriksaan ke atas alamat-alamat terakhir yang diketahui serta lokasi-lokasi berkaitan.
"Pihak IPD Jasin juga telah membuat hebahan suspek yang dikehendaki ini di dalam media sosial Facebook rasmi IPD Jasin," katanya.
Bagaimanapun, semakan Malaysiakini pada 28 Jan 2026 di laman web semakan perjalanan imigresen mendapati kesemua lapan suspek tiada halangan untuk ke luar negara.

Mereka dipercayai masih berada dalam negara berdasarkan rekod penggunaan subsidi minyak Budi 95 dan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
‘Keadilan yang ditangguh adalah keadilan yang dinafikan’
Sementara itu, peguam keluarga, Daniel Savarimuthu menggesa pihak berkuasa agar tidak melengahkan kes ini dan menuntut agar dalang serta semua ahli kumpulan yang terlibat segera ditangkap serta didakwa di mahkamah.
Dia juga menegaskan prinsip undang-undang bahawa "keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan".
“Pada awalnya, polis memberitahu bahawa tiga suspek ditahan. Namun, dibebaskan dengan jaminan polis. Sejak itu tiada sebarang perkembangan.

"Pada Disember 2025, kelewatan kes ini dilaporkan dalam media Tamil. Selepas itu polis tahan seorang lagi suspek. Tetap, tiada tindakan. Maksud saya, dia dibebaskan selepas direman beberapa hari.
"Keluarga anak guam kami juga kini tertekan dan bimbang akan kes anak mereka yang sehingga kini tidak dipandang serius oleh pihak berkuasa.
"Keluarga juga berharap bahawa Bukit Aman dan juga Pejabat Peguam Negara (AGC) perlu menyusul dalam siasatan ini dengan serius," katanya kepada Malaysiakini.

Daniel berkata setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi terbaru berhubung status terkini siasatan kes berkenaan.
"Dalam laporan polis, berdasarkan maklumat CCTV tempat kejadian, anak guamnya membuat aduan terhadap lapan individu yang turut tinggal di Jasin.
"Kami mendapat maklumat suspek-suspek bersembunyi tapi sering datang ke rumah mereka di Jasin. Walaupun, dimaklumkan kepada polis tiada sebarang tindakan pantas. Jasin ini bukan satu bandar besar seperti Kuala Lumpur. Takkan pihak polis tak dapat menjejaki mereka untuk setahun.
"Keluarga anak guam juga pernah mendapatkan ancaman daripada salah seorang suspek melalui panggilan WhatsApp," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi AGC untuk komen.
