mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan kembalikan kesalahan 'menghina', 'menjengkelkan'

Mahkamah Persekutuan mengembalikan semula peruntukan dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang menjadikan kandungan yang 'menghina' (offensive) dan 'menjengkelkan' (annoy) sebagai kesalahan, iaitu dua istilah yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lalu.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebulat suara memutuskan bahawa istilah berkenaan tidak melanggar kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, panel itu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati pertuduhan terhadap aktivis Heidy Quah di bawah peruntukan tersebut pada September 2021, berhubung hantaran Facebooknya, tidak berasas.

“Kami memutuskan bahawa perkataan ‘offensive’ dengan niat untuk ‘annoy’ dalam Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

“Kedua-dua perkataan dalam seksyen itu tidak melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan kerana tujuan utamanya adalah melindungi pengguna kemudahan atau perkhidmatan rangkaian daripada kandungan yang berada di luar takrif kebebasan bersuara dan berekspresi.”

Penghakiman panel tersebut dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan.

Turut bersidang bersama Wan Ahmad Farid dan Nallini ialah hakim Mahkamah Persekutuan Che Ruzima Ghazali, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS