Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menggantung tiga anggota pengurusannya susulan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam kenyataan hari ini, agensi berkaitan kerajaan itu berkata tindakan berkenaan diambil berdasarkan dapatan dan syor yang diperincikan dalam laporan berkaitan pengurusan “levi tidak digunakan”, pemerolehan Menara Ikhlas, serta pelaburan ekuiti HRD Corp.
Penggantungan itu, menurutnya turut dibuat susulan “penemuan baru” berkaitan Sistem Teras Baru (NCS), yang melibatkan perolehan bernilai RM14 juta dan mengalami kelewatan lebih empat tahun selepas tiga ujian penerimaan pengguna gagal.
Tiga anggota pengurusan yang terlibat tidak dinamakan oleh agensi pembangunan modal insan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Shamir Aziz (gambar atas) yang dilantik pada 23 Jan berkata agensi tersebut akan melaksanakan proses siasatan dalaman yang telus dan berintegriti, dengan mandat, skop dan terma rujukan yang jelas.
Proses itu, katanya, merangkumi semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat serta jejak audit berkaitan, selain pengambilan kenyataan dan pengesahan fakta daripada pegawai yang terlibat.
Dia memberi jaminan bahawa usaha tersebut akan mematuhi prinsip keadilan asasi serta keperluan kerahsiaan siasatan.
Tambahnya, langkah tadbir urus dan pemulihan sedang dilaksanakan selaras dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia R Ramanan.

Shamir berkata Ramanan menekankan standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam institusi tenaga kerja, bagi memastikan peranan HRD Corp menghasilkan manfaat nyata dan boleh diukur kepada majikan serta pekerja Malaysia.
Pada Julai 2024, HRD Corp menjadi perhatian selepas laporan Jabatan Audit Negara menegur syarikat itu kerana salah urus ratusan juta ringgit dalam geran latihan, pelaburan dan pembelian hartanah.
Antara isu yang dikenal pasti ialah lebih RM50 juta geran latihan disalurkan berulang kali kepada individu sama, manakala lebih 200 transaksi dianggap “mencurigakan” oleh juruaudit.
Juruaudit, yang menggesa Kementerian Sumber Manusia merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguat kuasa berkaitan, turut mendapati kelemahan tadbir urus dalam pelaburan HRD Corp berjumlah RM3.727 bilion yang menyebabkan kerugian tidak direalisasi sebanyak RM49.38 juta.

PAC Parlimen turut menemui kebimbangan serupa apabila siasatannya mendedahkan penganjuran acara mewah, perjalanan ke luar negara dan pelaburan berisiko tinggi — dibiayai daripada faedah levi terkumpul yang dibayar majikan.
Pada 9 Dis 2024, PAC menyatakan kekeliruan terhadap keputusan SPRM untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap HRD Corp, walaupun Ketua Audit Negara menyatakan terdapat unsur jenayah atau salah guna kuasa.
Sebelum itu, dalam prosiding PAC berkaitan dakwaan terhadap HRD Corp, pegawai penyiasat SPRM Fuad Sedet memaklumkan jawatankuasa berkenaan bahawa siasatan agensi antirasuah itu tidak menemui sebarang salah laku.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kemudian menjelaskan siasatan terhadap HRD Corp masih berjalan.

Dalam kenyataan hari ini, HRD Corp berikrar memastikan tadbir urus yang kukuh dan pemantauan berkesan.
Menurutnya, antara langkah yang akan dilaksanakan ialah memastikan program latihan yang diluluskan hanya boleh dilaksanakan selepas tempoh minimum 21 hari hingga tiga bulan dari tarikh kelulusan.
“Tempoh masa ini memberi majikan dan penyedia latihan ruang mencukupi untuk membuat perancangan dan persediaan sewajarnya, termasuk tempahan tempat, pendaftaran peserta dan penyelarasan logistik,” kata HRD Corp.
Ia memaklumkan bahawa ketiadaan pemantauan sistematik terhadap program latihan yang diluluskan sebelum ini telah melemahkan kawalan tadbir urus dan penyeliaan, termasuk kes program latihan dijalankan sebelum kelulusan diperoleh, manakala permohonan geran hanya dikemukakan selepas latihan berlangsung.
“Bagi menangani jurang ini, HRD Corp akan memperkukuh secara berperingkat kerangka pemantauan dan penguatkuasaan dengan menempatkan pegawai di lapangan bagi memantau pelaksanaan program latihan.
“Pendekatan ini bertujuan mengukuhkan pematuhan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, selain memastikan semua aktiviti latihan yang diluluskan dilaksanakan mengikut dasar baru yang dipertingkatkan, syarat kelulusan sedia ada dan keperluan kawal selia,” katanya.
