Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi: Pindaan AKM 2024 halang salah guna kuasa ke atas aktivis

Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 menjadikannya lebih sukar untuk "disalah guna" terhadap aktivis seperti Heidy Quah, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengekalkan peruntukan dalam akta tersebut yang menjenayahkan semula kandungan yang bersifat “jelik" dan "menyakitkan hati", Fahmi berkata pindaan tahun 2024 telah meletakkan undang-undang itu pada tahap yang lebih tinggi.

"Kita percaya dengan pindaan ini, insya-Allah, Seksyen 233(1) (AKM) lebih sukar atau tidak begitu mudah untuk disalahgunakan,” katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya, petang tadi.

Pindaan tersebut memperhalusi seksyen berkenaan supaya komunikasi yang boleh dibantah mestilah bersifat "amat jelek" (grossly offensive) dan bukan sekadar "jelek" (offensive).

Definisi bagi "amat jelek" diperincikan di bawah Penjelasan 6 bagi seksyen yang dipinda, yang menyatakan ia mungkin merangkumi kata-kata carutan dan makian yang menyinggung perasaan ramai orang — seperti rujukan kasar, ucapan kebencian, dan keganasan.

Bagaimanapun, ia secara jelas menyatakan bahawa komunikasi yang dibuat dengan niat baik tidak dianggap sebagai menjengkelkan selagi komunikasi tersebut bersifat faktual dan terdiri daripada "kenyataan serta pendapat".

Selepas pindaan tersebut diluluskan di Dewan Rakyat, sembilan organisasi masyarakat sivil melabelkan perubahan itu sebagai "regresif", dengan mengambil kira "perluasan kuasa yang membimbangkan" bagi SKMM serta kegagalan untuk memansuhkan peruntukan kontroversial, termasuk Seksyen 233.

Pagi tadi, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa perkataan “jelik" dan "menyakitkan hati" tidak melanggar kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, panel hakim mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati pertuduhan pendakwaan terhadap Quah di bawah peruntukan itu pada September 2021 berhubung hantaran Facebooknya sebagai tidak wajar.

Panel itu juga menyatakan bahawa hantaran Facebook aktivis berkenaan berada dalam definisi hak kebebasan bercakap dan bersuara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan.

Tindakan sivil tersebut dimulakan selepas Quah didakwa pada Julai 2021 di bawah seksyen tersebut berhubung hantaran Facebook yang mendedahkan layanan buruk terhadap pelarian di pusat tahanan imigresen.

Pada April 2022, Mahkamah Sesyen membenarkan Quah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) kerana pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) akta tersebut didapati cacat.

Pada September 2023, Mahkamah Tinggi menolak saman tersebut, dan Quah kemudian merayu keputusan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS