Sekumpulan pelajar universiti dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta hari ini mengumumkan penubuhan sebuah badan bertaraf nasional untuk menuntut agar Akta Universiti dan Koleh Universiti (Auku) dimansuhkan.
Penubuhan Sekretariat Mansuh Auku itu diumumkan dalam sidang media di Petaling Jaya dengan dihadiri mahasiswa dari pelbagai organisasi pelajar seluruh Malaysia.
Setakat ini gabungan tersebut didakwa dianggotai kira-kira 50 mahasiswa dari lebih 30 organisasi.
Presiden Liga Mahasiswa Universiti Malaya, Alyaah Hani Anuar, berkata penubuhan sekretariat itu dibuat susulan kekecewaan mereka terhadap pendirian kerajaan yang enggan memansuhkan Auku meskipun pelbagai janji reformasi pendidikan tinggi dibuat sebelum ini.
“Auku digunakan sebagai alasan oleh pihak pentadbiran universiti untuk menekan pelajar yang bersuara secara kritikal, sama ada dalam isu politik atau bukan politik.
“Ini tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila pemimpin kerajaan hari ini sendiri pernah memperjuangkan pemansuhan tersebut,” katanya.
Sebagai langkah awal, katanya, Sekretariat Mansuh Auku akan menyerahkan satu memorandum kepada ahli parlimen pada minggu hadapan bagi menyatakan pendirian dan tuntutan rasmi mereka berhubung isu kebebasan akademik, kebebasan bersuara dan autonomi universiti.

Sekretariat itu menegaskan tindakan segera perlu diambil sejurus selepas memorandum diserahkan, memandangkan isu pemansuhan Aku sudah berlarutan terlalu lama dan tiada sebarang penyelesaian konkrit dicapai.
Antara organisasi yang terlibat dalam Sekretariat Mansuh Auku ialah Liga Mahasiswa Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), dan Demokrat UKM dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Turut memberikan dukungan ialah pelajar dari Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan Universiti Malaysia Sabah.
Alyaah menegaskan perbincangan mengenai pemansuhan Auku telah berlangsung bertahun-tahun tanpa sebarang hasil yang jelas, menyebabkan pelajar terus berdepan sekatan dan tekanan.
Sementara itu Alyaah memberitahu sekretariat terbabit turut menyatakan hasrat untuk memperluaskan penyertaan gerakan tersebut dengan menarik lebih ramai mahasiswa dari IPT dalam negara.
Katanya Sekretariat Mansuh Auku mahu agar universiti menjadi ruang wacana yang bebas dan kritikal, serta menolak sebarang undang-undang yang dianggap menyekat suara mahasiswa dan kebebasan akademik.
“Kerajaan perlu menunjukkan komitmen politik dengan memulakan langkah segera ke arah pemansuhan Auku,” katanya.
