PKR Johor berpandangan cadangan menamakan pemimpin tertentu sebagai pengganti Anwar Ibrahim bagi jawatan presiden parti adalah kurang manis dan terlalu awal.
Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ketika ini PKR sudah mempunyai struktur dan institusi kepimpinan yang jelas, dengan Anwar sebagai presiden serta Nurul Izzah Anwar sebagai timbalan presiden yang dipilih secara sah melalui proses demokrasi parti.
“Prinsip utama perjuangan PKR sentiasa berpaksikan hormat kepada suara dan keputusan yang telah dibuat oleh akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jimmy berkata demikian mengulas pandangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim supaya bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli diberikan peranan lebih besar tidak lama lagi, termasuklah mengetuai parti itu.
Hassan ketika diminta mengulas kelantangan Rafizi melontarkan kritikan berkata bahawa Ahli Parlimen Pandan itu wajar terus diberi ruang untuk menyuarakan pandangan kritikal terhadap kerajaan.
Kata Hassan, seandainya PKR – dan PH – memenangi PRU akan datang, mereka wajar memberikan ruang lebih signifikan kepada Rafizi.
Tambahan pula, katanya, Anwar tidak akan menjadi presiden PKR selama-lamanya.

“Saya cadangkan kalau kita (PH) menang lagi, kita lantik dia (Anwar) jadi perdana menteri sepenggal lagi, tetapi dalam PKR, saya cadangkan Rafizi jadi sebagai presiden manakala Nurul Izzah (Anwar) kekal sebagai timbalan presiden,” kata Hassan.
Mengulas lanjut, Puah menegaskan semua pihak, tanpa mengira kedudukan, wajar menghormati institusi kepimpinan sedia ada serta mengelakkan polemik yang boleh menjejaskan kestabilan dan fokus gerak kerja parti.
Menurutnya, isu berkaitan kepimpinan masa hadapan tidak perlu dibangkitkan buat masa ini dan hanya wajar dibincangkan apabila tiba masanya kelak.
“Apabila sampai waktunya, biarlah akar umbi membuat pilihan, dan pimpinan tertinggi akan melaksanakan amanah berdasarkan mandat yang diberikan,” katanya.
Bagaimanapun, Puah bersetuju bahawa Rafizi selaku Ahli Parlimen, Rafizi wajar terus diberi ruang untuk menyuarakan pandangan serta kritikan, khususnya berkaitan isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Contoh kritikan yang relevan seperti isu tunggakan bayaran balik cukai, isu ekonomi dan lain-lain adalah penting bagi memastikan dasar kerajaan sentiasa ditambah baik demi kepentingan rakyat” katanya.
Rafizi merupakan orang nombor dua PKR pada 2022 dan bertanding untuk mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan pada tahun lalu. Bagaimanapun dia tewas kepada Nurul Izzah.
Pemilihan yang berlangsung pada Mei 2025 itu bukan saja menyaksikan Rafizi kalah dengan perbezaan lebih 5,900 undi berbanding Nurul Izzah, malah dia mengotakan janjinya dengan meletak jawatan sebagai menteri ekonomi.
