Penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth mengesahkan perhimpunan esok akan tetap diteruskan seperti dirancang.
Dia membuat pengesahan itu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa orang ramai supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan awam semasa lawatan rasmi Perdana Menteri India Narendra Modi hujung minggu ini.
"Jangan terperdaya dengan propaganda dan taktik mereka. Kita lawan jenayah ceroboh.
"Esok ‘on’ (diteruskan) jam 8 malam di pekarangan Sogo KL," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Walaupun kenyataan KDN sebelum ini tidak merujuk perhimpunan tertentu, ia dikaitkan dengan himpunan yang dipimpin bagi membantah rumah ibadat "haram" yang dipimpin Zamri.
Terdahulu, penganjur kepada satu lagi perhimpunan yang dijadualkan pada Ahad ini di India Gate, Brickfields di ibu kota bersetuju menangguhkan himpunan mereka ke satu tarikh yang baru.
Gabungan Hindu Temple Task Force yang merupakan penganjur himpunan dikenali sebagai 'Perhimpunan Membantah Keengganan Polis-Kerajaan untuk Mengambil Tindakan Terhadap Penghinaan Agama Hindu di Malaysia', berkata keputusan itu diambil selepas mendapat nasihat polis.
"Kami dimaklumkan oleh pihak polis bahawa perhimpunan semai kebencian terhadap masyarakat Hindu juga tidak dibenarkan pada esok.
"Atas nasihat Ibu Pejabat Polis Brickfields, Hindu Temple Task Force menunda perhimpunan aman yang dijadualkan pada 8 Feb 2026, ditunda ke 15 Feb 2026.
"Permintaan polis supaya perhimpunan tidak diteruskan pada esok, supaya imej negara tidak terkesan semasa lawatan pemimpin luar (PM India) dihormati.
“Perhimpunan ini ditunda, bukan kerana takut, tetapi kita adalah masyarakat yang mahu imej negara tidak tercalar," kata penasihat kumpulan itu, Satees Muniandy.
Lawatan Modi pada Sabtu dan Ahad ini adalah sebagai balasan kepada lawatan Anwar ke India pada Ogos 2024.
Pemimpin kedua-dua negara dijangka meneroka kerjasama lanjut, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, tenaga kerja, pelancongan, ketersambungan, pertanian dan pendidikan.
Zamri sebelum ini menafikan bahawa protes mereka Sabtu ini ada kaitan dengan lawatan Modi, sebaliknya menyifatkan ia hanyalah satu kebetulan.
Protes itu dikatakan melibatkan kira-kira 141 NGO yang menuntut tindakan penguatkuasaan terhadap tempat ibadat yang dibina tanpa kelulusan.
Kumpulan lain seperti Pusat Komas telah menyifatkan protes itu sebagai "regresif" dan menyeru pendekatan yang kurang konfrontatif, kerana kuil Hindu di Malaysia mempunyai hubungan yang kompleks dengan pengiktirafan rasmi, yang dirumitkan lagi oleh undang-undang pascapenjajahan.
Tahun lalu, di tengah-tengah kebangkitan semula perbincangan mengenai kuil tanpa pengiktirafan rasmi, bekas presiden Hindu Sangam Malaysia, A Vaithilingam berkata kuil-kuil lama di Malaysia sering dibina di dalam hutan oleh pekerja estet yang dibawa masuk oleh British dari Asia Selatan.
Dia menjelaskan bahawa banyak kuil kemudiannya terdedah kepada orang ramai apabila pembangunan selama beberapa dekad menjadikan estet-estet tersebut sebagai kawasan bandar.
