Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menasihatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, supaya mendapatkan pengetahuan yang lebih mendalam terlebih dahulu sebelum menggunakan istilah atau merujuk kepada amalan dalam agama Islam.
Peringatan salah satu sayap PAS itu dibuat susulan kenyataan Ahli Parlimen Teluk Intan berkenaan yang mendakwa mahu melakukan sujud syukur atas kejayaan pihaknya menyelesaikan isu Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit.
Ketua Penerangan DHPP Pusat, Balachandran G Krishnan, berkata isu sebenar yang timbul bukan berkaitan penggunaan lafaz seperti “alhamdulillah” atau “insya-Allah”.
Sebaliknya kata ahli politik itu lagi, ia melibatkan rujukan kepada sujud syukur yang mempunyai konteks dan kefahaman khusus dalam Islam.
“Tak ada isu apabila dia (Nga) nak cakap alhamdulillah atau insya-Allah.
“Isunya ialah apabila dia bercakap tentang sujud syukur atau solat hajat untuk mendapatkan pertolongan.
“Apabila seseorang menyebut sujud syukur dan solat hajat, dia perlu ada pengetahuan mengenainya,” kata kata pegawai khas kepada Menteri Besar Terengganu itu ketika dihubungi Malaysiakini.
Balachandran berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, terhadap Nga di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.
Nga ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPKT di Dewan Rakyat menzahirkan rasa syukur selepas lebih 40,000 unit kediaman PR1MA yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit berjaya disiapkan sepenuhnya.
Malah projek tersebut – termasuk yang terakhir di Bukit Katil, Melaka – memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Tak ada masalah pelajari Islam
Kata Nga, kejayaan itu bermakna masalah pada 34 projek sakit yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu berjaya diatasi.
“Sebelum itu, di bawah kerajaan terdahulu, PR1MA memiliki 34 projek sakit. Ada juga projek yang sudah masuk ‘ICU’ dan ‘CCU’.
“Tapi, alhamdulillah, menjelang hari ini (4 Febuari) dan saya pilih tarikh keramat hari ini (untuk umumkan) projek sakit terakhir di Bukit Katil sudah dapat CCC.
“Lebih 40,000 unit telah kita (kerajaan) selamatkan. Malam ini dah (boleh) buat sujud syukur,” katanya di parlimen.
Bagaimanapun, Siti Zailah bangkit mencelah ucapan penggulungan Nga untuk bertanya secara langsung kepada ahli parlimen terbabit sama ada dia “beriman” atau tidak.
Anggota Jawatankuasa PAS Pusat itu menegaskan bahawa ungkapan “alhamdulillah” bukan sekadar istilah Arab, tetapi istilah yang berkaitan secara langsung dengan kepercayaan umat Islam.
Mengulas lanjut penegasan Siti Zailah, Balachandran berkata, kenyataan yang dibuat bekas Ketua Muslimat PAS Pusat itu memang berasaskan fakta.

Kata Balachadran, sujud syukur dan solat hajat merupakan amalan khusus orang Islam.
“Kalau bercakap tentang solat hajat atau sujud syukur, kita tak boleh buat begitu sebab kita bukan Islam. Jika bercakap nak solat hajat, sujud syukur ia seolah-olah mengaitkan diri kita dengan Islam,” katanya.
Sebaliknya, Balachandra berkata, DHPP beranggapan tidak ada isu timbul sekiranya seseorang bukan Islam menyatakan hasrat untuk berdoa mengikut kepercayaan masing-masing, seperti berdoa di gereja bagi memohon pertolongan Tuhan.
“Kalau kamu kata nak pergi sembahyang di gereja dan mohon Tuhan percepatkan sesuatu, itu tidak menjadi masalah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Balachandran menasihatkan semua pihak agar memahami dan menghormati hak penganut Islam, sama seperti mereka mengharapkan hak penganut agama lain dihormati.
Katanya isu agama sangat sensitif justeru ia mesti dihormati dan diharmonikan.
“Islam terbuka untuk semua belajar, tidak ada masalah untuk belajar tentang Islam, tetapi jangan memperlekehkan agama,” katanya.
