Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Latheefa persoal jika amaran tegas Anwar hanya kerana ada PM India
Diterbitkan:  Feb 7, 2026 6:32 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Peguam dan aktivis Latheefa Koya mempertikaikan sama ada kenyataan tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap pendakwah kontroversi Zamri Vinoth mempunyai kaitan dengan lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Latheefa berkata walaupun dia tidak bersetuju dengan pandangan Zamri, perdana menteri tidak boleh mengugut untuk menangkap seseorang sebelum sebarang jenayah dilakukan.

"Ini adalah negara undang-undang, negara hukum. Malah Zamri berhak mengadakan protes - tetapi tanpa menghasut kebencian," katanya.

Awal hari ini, Anwar mengeluarkan amaran tegas bahawa "tindakan maksimum", termasuk penangkapan, akan dilaksanakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu keamanan semasa negara menerima tetamu luar.

Anwar menekankan bahawa walaupun kerajaan menegakkan hak untuk mengkritik dan kebebasan bersuara, sebarang tindakan yang melanggar undang-undang negara atau menghasut ketegangan kaum tidak akan diterima.

Zamri, yang juga penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram telah menegaskan perhimpunan di luar kompleks beli-belah Sogo akan diteruskan seperti yang dirancang.

Zamri Vinoth

Pada sidang media petang ini, Zamri mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan mendakwa telah "diberi ruang untuk mengadakan perhimpunan itu dengan cara yang aman dan damai".

"Saya mahu ingatkan semua pihak, supaya jangan putar belit dan mengelirukan kenyataan perdana menteri. Kita juga agak kecewa apabila kenyataan itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa sendiri tanpa merujuk initpati kenyataan perdana menteri," katanya dalam sidang media petang tadi di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus sebelum ini berkata polis tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan itu.

Sementara itu, Latheefa turut mempertikaikan apa yang dia sifatkan sebagai kegagalan kepimpinan moral berhubung penggunaan istilah "kuil haram", yang katanya telah digunakan sebagai penghinaan terhadap kuil Hindu sejak tahun lepas.

"Pihak yang tidak bertanggungjawab telah mencetuskan ketegangan menggunakan istilah 'kuil haram' secara salah sejak tahun lepas. Namun Anwar tidak melakukan apa-apa selama ini,” katanya.

Dia berhujah bahawa pelabelan kuil Hindu sebagai “haram” mendapat perhatian selepas Anwar mengkritik kuil berhampiran Jalan Masjid India sebagai “haram”.

“Dia kemudian melancarkan Masjid Madani dan mengisytiharkan ‘kemenangan’. Kata-katanya yang tidak bijak itu merosakkan dan mewujudkan situasi yang tidak sihat di negara ini,” tambahnya.

Latheefa selanjutnya berhujah bahawa banyak laporan telah dibuat terhadap Zamri tetapi tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

“Terdapat banyak laporan terhadap Zamri, tetapi pentadbiran Anwar tidak mengambil sebarang tindakan selama ini,” katanya.

Mempersoalkan amaran tegas Anwar hari ini, Latheefa bertanya sama ada undang-undang dikuatkuasakan secara selektif.

“Jadi adakah kita menguatkuasakan undang-undang hanya kerana Modi ada di sini? Dan apabila Modi tiada, adakah Anwar akan berdiam diri lagi mengenai isu ‘kuil haram’?” soalnya.

“Jika Anwar bimbang tentang hubungan kaum, dia mesti bertanggungjawab atas kenyataannya tentang ‘kuil haram’ dan menyeru agar polemik ‘kuil haram’ ditamatkan. Adakah dia akan melakukannya?” soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS